Tahun Baru bakal menjelma. Sambutan dan kemeriahan kali ini mungkin berbeza selepas dua tahun masyarakat seluruh dunia tidak meraikannya dek pandemik Covid-19. Sudah semestinya orang ramai tidak sabar menunggu detik 12 tengah malam dengan percikan bunga api itu nanti.
Jika anda tidak pernah mengambil gambar bunga api, percubaan pertama selalunya akan gagal jikalau tidak membuat persediaan rapi. Merakam bunga api sentiasa ada unsur di luar jangkaan. Anda perlu belajar menyesuaikan diri dan belajar daripada kesilapan.
Mempunyai dua set kamera ketika rakaman bunga api, memberi kelebihan kepada anda untuk membuat pilihan ketika bunga api meletup.
Berikut garis panduan mengambil gambar bunga api:
1. Tinjauan awal ke lokasi supaya mudah membuat keputusan, fikirkan tentang latar belakang dan latar hadapan. Jangan biarkan gambar kosong tanpa subjek.
2. Tripod dan alat kawalan jauh membantu memudahkan anda ketika rakaman. Tripod yang sturdy dapat menyokong ketika pendedahan yang lama berlaku tanpa ada gegaran.
3. Tetapkan kamera pada mod manual untuk pendedahan dan tetapkan bukaan anda kepada f/8.0 ke atas. Bukaan tersebut cukup optimum untuk bunga api. Lakukan beberapa ujian sepanjang merakam bunga api sehingga hasil yang anda mahu tercapai.
4. Tentukan kelajuan pengatup kepada paling minimum. Lakukan beberapa ujian sebelum pertunjukan bermula dan lihat jika langit terlalu gelap atau terlalu terang dan tetapkan masa pendedahan sewajarnya. Selagi anda berada di bawah 20 saat, anda boleh membenarkan kamera mengatur masa tangkapan. Atau anda boleh bertukar kepada Bulb dan hanya buka dan tutup secara manual menggunakan cardboard hitam.
5. Fokuskan lensa anda lebih awal sebelum pertunjukan bermula dan mematikan Auto Focus (AF) supaya lensa tidak berfungsi ketika proses rakaman berlangsung.
Realitinya, anda kena sentiasa bereksperimen dengan setting untuk mendapatkan rupa yang anda ingini. Panduan tetapan ini, hanya sebagai titik permulaan. Sesuaikan dengan situasi dan peralatan kamera sehingga anda berpuas hati dengan hasilnya.
Selamat mencuba. Jangan lupa berkongsi imej bunga api anda dan sebarang petua tambahan yang ingin anda tambahkan.