Dia tidak pernah berdendam walaupun pernah menjadi mangsa langgar lari gara-gara pemandu mabuk sehingga separuh badannya lumpuh ketika berusia 18 tahun.
Malah kejadian berlaku di Singapura pada tahun 2008 itu, diterima Nur Ashikeen Iqbal,32 sebagai ketentuan takdir walaupun seluruh usia remajanya terpaksa dihabiskan di atas kerusi roda.
Enam bulan dirinya terlantar di katil hospital menjalani rawatan akibat pendarahan dalam paru-paru dan menjalani fisioterapi untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya baru saja menamatkan sekolah di Singapura dan sementara menunggu peluang menyambung pengajian, saya bekerja sambilan di bankuet sebuah hotel di sana. Kejadian itu berlaku ketika saya baru pulang dari kerja kira-kira jam 11 malam.
“Kawan menjemput saya balik dengan motosikal di stesen bas. Ketika saya baru hendak naik motor, tiba-tiba kami dilanggar oleh sebuah van. Saya tidak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu kerana bila sedar saja sudah berada di hospital,” katanya kepada Seri.
Nur Ashikeen ditemui selepas menerima Sijil Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke 50, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM Bangi baru-baru ini.
TIUB MELINGKAR
Sebaik sedar, tiub melingkar di dadanya untuk keluarkan darah dari dalam badan.
Dia ingin bangun dari katil tetapi tidak dapat menggerakkan kakinya.
Beberapa kali dicuba tetapi masih juga tidak berjaya bangun dari katil. Kakinya tidak terasa apa-apa.
“Saya bertanya kepada ayah kenapa kaki saya tidak boleh bergerak. Selama lebih tiga minggu saya di hospital, rupa-rupanya ayah merahsiakan yang saya tidak boleh lagi berjalan seperti biasa.
Pada mulanya saya rasa dunia sudah berakhir tetapi syukur saya tidak bersedih terlalu lama, hanya sehari dua.
“Saya bersyukur kerana kawan saya selamat dan tidak cedera langsung walaupun dia juga tidak sedar selepas dilanggar. Di hospital, dia hantar mesej bagitahu tidak dapat menjemput saya balik. Saya beritahu dia, saya pun kena langgar juga. Rupa-rupanya dia tidak tahu saya pun jadi mangsa. Sekarang dia sihat dan sudah berkahwin,” katanya.
Berpegang kepada falsafah, memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain, dia sudah memaafkan individu yang melanggarnya kerana menganggap ia sebagai ketentuan.
Namun, Nur Ashikeen tetap menggesa kerajaan untuk mengenakan tindakan tegas dengan melarang pemandu mabuk daripada memandu dan mengenakan hukuman setimpal termasuk membatalkan lesen memandu mereka.
Anak kedua daripada empat beradik semua perempuan ini tidak mudah putus asa malah semangatnya untuk meneruskan hidup semakin kuat. Beliau gigih mempelajari selok-belok hidup dengan berkerusi roda sepanjang berada di hospital.
Begitupun, impak kemalangan turut memberikan komplikasi buat dirinya termasuk pendarahan dalam paru-paru yang memakan masa sehingga sebulan untuk dikeluarkan. Malah kakinya turut bergegar dengan sendiri dan menendang bila-bila masa saja.
Bagi menghentikan kesan sampingan itu, Nur Ashikeen perlu makan 20 biji pil setiap hari.
Begitupun, semua dugaan dihadapinya itu tidak menghalangnya untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya sambung belajar untuk memastikan dapat kerja yang lebih baik dan pendapatan stabil untuk diri sendiri. Saya mengambil Ijazah Psikologi di Universiti Terbuka Wawasan untuk memahami cara berfikir yang positif.
“Sikap saya yang mesra dan gemar bercakap membuatkan saya senang mengenali ramai kawan ketika belajar. Memang tidak dinafikan ada masanya saya mengalami kemurungan tetapi saya cuba mengalih tumpuan dengan bermain bersama anak buah atau keluar bersama keluarga,” katanya yang memilih untuk meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan kerana ia berkaitan dengan bidang psikologi.
Malah bidang pentadbiran perniagaan turut menawarkan peluang kerja yang luas.
Nur Ashikeen tidak menafikan cabaran perlu dihadapi pekerja OKU sepertinya yang sukar mendapat keyakinan majikan.
Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana sebelum ini pernah bekerja di sebuah syarikat yang ramai pekerja OKU dan bercadang untuk kembali bekerja di syarikat berkenaan.
RATU OKU
Bergelar OKU bukan halangan bagi Nur Ashikeen untuk mencuba pelbagai pengalaman baharu yang menyeronokkan.
Keyakinan tinggi membawa Nur Ashikeen merentasi dunia sehingga ke Mexico bagi menyertai pertandingan Miss Wheelchair World 2022 berlangsung selama 10 hari di Mexico.
Sikapnya yang mudah mesra menarik perhatian juri untuk menobatnya sebagai Miss Wheelchair World Popularity pada pertandingan yang turut disertai peserta yang menggunakan kerusi roda dari seluruh dunia.
“Saya terpilih untuk ke pertandingan akhir mewakili Malaysia pada Oktober lalu.
“Ia seperti pertandingan ratu lain tetapi semua peserta menggunakan kerusi roda. Tidak sangka pula saya memenangi kategori popular sebab tujuan saya masuk pertandingan ini sekadar untuk suka-suka,” katanya.
Pertandingan itu katanya, membolehkan dirinya berkongsi pengalaman dengan peserta lain dan apa yang penting dapat mengenali ramai kawan yang sangat mesra sehingga tidak rasa pun seperti sedang bertanding.
“Mexico negara cantik dan makanan pun ada yang halal. Sepanjang pertandingan, kami menyertai pelbagai acara seperti kelas solekan, bersiar-siar di sekitar Mexico dan kebanyakannya mereka menari dengan wheelchair. Tak rasa sedikit pun kekurangan sebagai OKU,” katanya.
Suka buat lagu, melukis
“Senyumanku, deritaku, tiada siapa yang mampu tahu. Hanya aku, sendirian tetap harus aku menempuh segalanya…”
Lirik berkenaan adalah hasil nukilan Nur Ashikeen bagi mengisahkan liku-liku hidup ditempuhinya akibat kemalangan ngeri itu. Lagu berjudul Ku Terima menerusi single Kimi Black Feat A-Trez itu diterbitkan pada 2019.
“Saya suka menyanyi dan setakat ini sudah ada tiga lagu kesemuanya dengan bantuan Caprice. Semuanya disiarkan dalam Youtube saja iaitu di kimiblack21 dan Instagram @kimiblackmusic, Facebook @kimiblackofficial dan twitter,@kimiblack. Semuanya dihasilkan untuk suka-suka sahaja,” katanya yang gemar menyanyi lagu bernada tinggi.
Nur Ashikeen yang mesra disapa Kimi, turut berbakat dalam bidang lukisan. Setiap kali ada kelapangan, masanya diisi dengan melukis. Pokok adalah subjek kegemarannya dalam melukis.
Abstrak pokok dihasilkan di atas kanvas dalam pelbagai warna seperti kuning keemasan, merah hati dan biru kehijauan yang menyegarkan pandangan.
“Saya banyak belajar melukis dengan teknik lukisan minyak dari Youtube saja. Saya pilih pokok sebab ia menggambarkan kehidupan manusia. Melukis membuatkan saya rasa lebih tenang,” katanya.
Bercita-cita membuka perniagaan sendiri di masa depan dengan menjual pewangi organik yang dihasilkannya sendiri, kata Nur Ashikeen, pewangi berkenaan sesuai digunakan untuk bayi dan mereka yang bermasalah kulit seperti ekzema.
Wanita serba boleh ini juga sudah menulis buku berjudul Will Of Success yang diterbitkan pada tahun 2018.
Buku setebal 250 muka surat itu ditulis ketika bosan berada di rumah dan tidak ke mana-mana ketika itu.
“Buku saya itu dijual di Amazon tapi saya tidak tahu sudah berapa banyak dijual setakat ini. Saya berhasrat menulis satu lagi buku mengenai bimbingan mentor tidak lama lagi untuk panduan mereka yang ingin menceburi bidang mentor.
“Dulu masa sukan di peringkat sekolah, saya suka masuk acara lumba lari dan selalu dapat nombor satu. Saya juga suka aktiviti menyelam dan menembak. Mungkin satu hari nanti boleh mewakili negara dalam acara sukan para limpik.
“Saya berhasrat menjadi contoh kepada OKU dan mahu membuktikan tidak mustahil untuk kita mencapai impian masing-masing,” katanya.
Ternyata sikap Nur Ashikeen yang enggan melawan takdir dan menyimpan dendam, sebaliknya terus bangkit untuk kelangsungan hidup, meletakkan dirinya sebagai insan yang cukup unik dengan caranya yang tersendiri. – UTUSAN