Menggapai angka keramat 112

Menggapai angka keramat 112

Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya membantu memeriksa semakan daftar pemilih di Putrajaya, baru-baru ini. – Mingguan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam tempoh beberapa minggu ini, sudah bermula pesta demokrasi negara kita dengan setiap calon dan parti politik bakal mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mereka yang akan menjadi panduan bagi setiap pengundi memilih calon yang mewakili mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Oleh kerana terdapat negeri yang telah sama ada membubarkan DUN terlebih awal atau belum mahu membubarkan DUN, maka kita akan dapati beberapa bulan selepas PRU15 nanti, rakyat akan turun semula untuk mengundi bagi DUN pula. Aduhai negara ini tidaklah sebesar mana, namun susah benar hendak dirungkai kemelut politik ini nampaknya.

Sementara rakyat terbanyak dan para peniaga hidup dalam fasa keresahan untuk mandiri kehidupan seharian nampaknya ahli politik di negara kita bersemangat sungguh untuk membentuk kerajaan baharu. Hari-hari mendatang ini bersedialah untuk mendengar ‘khutbah” dan ratib para politikus yang menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa parti mereka adalah doktor politik terbaik untuk merawati bumi bertuah ini dan mempunyai vaksin paling mujarab untuk mengubati kemelut politik ketika ini.

PRU-15 ini juga akan menyaksikan sama ada lanskap politik negara boleh sekali lagi berubah dek kerana pengaruh 3.8 juta pengundi berusia 18 tahun yang akan mengundi buat pertama kali.

Bukan sedikit yang meramalkan pasca PRU15 ini pun tidak akan ada parti atau gabungan parti politik yang mampu melepasi angka keramat iaitu 112 daripada 222 kerusi sedia ada dalam Dewan

Rakyat untuk mendapatkan majoiriti mudah bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan. Jika berlaku kedudukan sedemikian maka Parlimen kita akan tergantung sekali lagi dan akan berlaku proses tawar-menawar di antara gabungan parti politik untuk membentuk gabungan yang lebih besar.

Rentetan itu gabungan politik tersebut akan mem­persembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa pemimpin yang mewakili gabungan parti politik itu adalah Ahli

Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Menyelusuri ayat demi ayat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita dapati kuasa melantik Perdana Menteri adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong manakala kuasa melantik

Menteri Besar adalah kuasa Sultan negeri-negeri sebagaimana diperuntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri. Dalam keadaan terdapatnya parti politik atau gabungan parti politik yang mendakwa memperoleh sokongan majoriti ahli parlimen, maka Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong berbidangkuasa untuk menentukan berdasarkan timbang telek baginda pemim­pin sesebuah parti politik atau gabungan parti politik itu berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Sungguhpun baginda mempunyai kuasa agak meluas untuk menentukan siapakah gerangan Ahli Parlimen yang mempunyai kepercayaan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri namun Perlembagaan Persekutuan tidak pula menyatakan kaedah atau prosedur bagi baginda menentusahkan akan bagaimana seseorang Ahli Parlimen itu telah dengan sebenarnya mempunyai kepercayaan majoriti.

Maka dalam situasi ini tentunya rakyat Malaysia de­ngan penuh debaran ber­gan­tung sepenuhnya kepada ke­bijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk melakukan semua uji­an yang difikirkan sesuai manfaat untuk mendapat kepastian tersebut.

Masih kuat di ingatan kita bagaimana baginda menangani polemik politik ne­gara yang memancarkan kebijaksanaan baginda sebaik sahaja kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020. Mengimbau peristiwa bersejarah itu rakyat dikejutkan dengan perubahan komposisi parti dalam gabungan politik dari PH kepada Perikatan Nasional yang diingati sebagai Langkah Sheraton.

Dalam keadaan tidak stabil itu, ramai Ahli Parlimen yang mengubah arah tuju sokongan walaupun selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong dan tiga calon Perdana Menteri yang dinamakan gagal pula membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

Selain menemui sendiri semua Ahli Parlimen, baginda juga mengambil langkah yang amat molek dengan mengambil kira pandangan dari Majlis Raja-Raja hinggalah akhirnya Istana Negara mengeluarkan dapatan rasmi bahawa selepas mendapat pandangan dari semua wakil parti dan Ahli Parlimen secara individu maka pada hemat baginda, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sosok pada ketika itu paling berkemungkinan mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri kelapan. Ini menunjukkan baginda menggunakan kebijaksanaan dan budi bicaranya dalam menyelesaikan kemelut politik yang dihadapi negara tanpa melangkaui batasan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sungguhpun aktiviti melompat parti oleh Ahli Parlimen telah dibatasi oleh Akta Perlembagaan (Pindaan) (Akta A1663) 2022, namun kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong masih terus diperlukan dalam keadaan tiadanya parti atau gabungan parti meraih majoriti kerusi parlimen apatah lagi majoriti mudah di sekitar 112 tidaklah menjadikan kerajaan yang ditubuhkan sebagai kerajaan yang stabil.

Justeru, baginda mewakili Institusi Raja-raja Melayu tentunya sedaya upaya mahu memastikan hemat dan dapatan baginda adalah paling wajar kerana terdapat pula kemungkinan dapatan baginda akan Ahli Parlimen yang paling mendapat kepercayaan itu kemudiannya diakaskan keabsahannya oleh undi tidak percaya apabila sidang parlimen dipanggil kelak.

Walaupun terdapat ramalan Monson Timur Laut yang mengakibatkan banjir akan mula memasuki ke sempadan negara pada November ini, marilah kita bermohon kehadrat-Nya agar dijauhkan segala bentuk malapetaka dan bahaya sebelum, semasa dan selepas PRU15 ini.

Apa pun keputusan PRU15 yang akan diperoleh pada malam 19 November nanti atau melangkau ke awal pagi 20 November, percayalah rakyat Malaysia mahukan negara aman damai dan ditadbir urus dengan penuh integriti agar kita tidak tertinggal dengan negara-negara jiran dan kembali bangkit menjadi sebuah negara disegani kerana telah lama negara ini disebut atas perkara-perkara yang tidak enak didengar.

Dato’ Ikbal Salam ialah Peguambela dan Peguamcara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya