MALAM Sabtu lalu menjadi saksi kehebatan dua figura tersohor persada hiburan tanah air, Ziana Zain dan Anuar Zain bersatu dalam sebuah konsert istimewa yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala LUmpur (KLCC).
Sejarah tercipta, rindu terubat. Hampir 3,000 peminat yang hadir pada malam itu pulang dengan kepuasan. Ternyata, penantian mereka ternoktah bersama kenangan terindah.
Anuar, 52, dan Ziana, 54, belum pernah mengadakan konsert bersama-sama di Malaysia. Kalau ada pun, di Singapura, iaitu sekitar 12 tahun lalu. Jadi, tidak hairanlah, keterujaan peminat ‘menggila’ sebaik sahaja pasangan adik-beradik ini, pada Mei lalu, mengumumkan akan membuat konsert bersama-sama.
Dua penyanyi tersohor itu membuktikan, usia bukan penghalang. Vokal kedua-duanya kekal berbisa, menghidupkan lagu malar segar dengan penghayatan yang diberikan penuh jiwa.
Tiada gimik, apatah lagi drama yang sia-sia. Konsert malam itu ‘hidup’ dengan kekuatan dua anak seni yang lebih tiga dekad menghambakan diri kepada dunia tarik suara itu.
Lebih 17 lagu dipersembahkan malam itu, termasuk dua lagu yang jarang-jarang dinyanyikan Anuar dan Ziana iaitu Lara dan Terlerai Kasih. Lagu Madah Berhelah yang disampaikan dengan susunan muzik yang lebih berbeza menjadi antara persembahan yang paling memberi impak pada malam itu.
Segala emosi terangkum di atas pentas yang ibaratnya terlalu kecil untuk menampung aura dimiliki Anuar dan Ziana. Namun, kedua-duanya saling berkongsi rasa, sedih dan tawa bersama penonton hadir menyaksikan konsert berkenaan.
Mengakui bukan mudah untuk merealisasikan permintaan peminat, Ziana percaya segala yang tercatat malam itu adalah ketentuan Yang Maha Kuasa.
“Konsert ini umpama sebuah mimpi. Saya pernah katakan kepada Anuar, alangkah seronok kalau kami, adik-beradik dapat menjayakan sebuah konsert bersama-sama.
“Namun, saya berpegang kepada rezeki yang ditentukan Allah SWT. Akhirnya tertulis, tahun dan hari ini kami berdua dapat menjayakan sebuah konsert.
Bercakap soal pemilihan lagu, Anuar memaklumkan, pihaknya dan Ziana menerima terlalu banyak permintaan daripada peminat yang mahukan lagu kegemaran mereka dinyanyikan.
Namun katanya, semua (lagu) yang disampaikan malam itu adalah pilihan yang terbaik yang dibuat berdasarkan kesesuaian kedua-dua penyanyi.
“Bukan perkara yang mudah untuk kami menyanyikan lagu-lagu kami yang bernada tinggi. Tetapi, Alhamdulillah, Allah itu Maha Kaya, akhirnya kami tunaikan permintaan peminat yang selama ini ingin melihat kami bergabung menghiburkan anda semua,” katanya.
“Sebenarnya, banyak lagi lagu yang kami rasakan perlu kami nyanyikan dalam konsert tersebut. Setelah perbincangan dilakukan, kami rasakan, apa yang kami sampaikan malam ini adalah seleksi lagu terbaik yang ingin kami persembahkan kepada penonton.
“Memang permintaan untuk menyanyi lagu itu dan ini terlalu banyak kami terima. Disebabkan itulah, adanya sesi acapella yang memuatkan lagu yang menjadi permintaan peminat.
“Kami berharap peminat berpuas hati dengan lagu yang kami pilih pada malam ini dan mereka menerima gubahan baharu yang menjadikan lagu lama kami kedengaran segar dan terkini,” katanya.
KELUARGA PELENGKAP SEMANGAT
Ziana Zain & Anuar Zain Live In Kuala Lumpur 2022 bukan sahaja istimewa di mata peminat, tetapi juga buat Ziana dan Anuar yang menyaksikan kehadiran keluarga memberi sokongan buat mereka.
Lebih bermakna apabila dua anak lelaki diva tersohor itu, Muhammad Amar Armin Zaharin dan Muhammad Aiman hadir buat kali pertama menyaksikan ibu tercinta mereka menyanyi di atas pentas.
“Saya minta mereka berdua temani datuk dan nenek mereka untuk tengok konsert ini. Mereka tak pernah menyaksikan saya dan Anuar bekerja.
“Saya tak tahu apa reaksi mereka apabila kali pertama menonton persembahan kami. Cuma, Aiman ada berpesan jangan sebut namanya di hadapan khalayak.
“Tetapi, itukan anak saya. Kenalah juga sebut namanya. Jadi, saya amat bersyukur dengan sokongan yang mereka berikan kepada kami berdua,” katanya.
PERSEMBAHAN PENUH BERTENAGA
Satu perkara yang dijanjikan Anuar dan Ziana untuk konsert malam itu, persembahan bertenaga. Penonton bagai terlupa sejenak bahawa kedua-dua penghibur terbaik negara ini sudah berusia lebih lima dekad. Namun, tenaga yang mereka berikan untuk persembahan malam itu bukan kepalang.
“Sepanjang dua hingga tiga bulan sebelum ini saya banyak bersenam, perbanyakkan berjalan, ada kalanya saya cuba sehingga sejauh enam kilometer. Pada usia ini, saya perlukan semua itu.
“Alhamdulillah, saya dah kurus. Sebelum jalani pembedahan bariatrik, perut sentiasa berangin dan nafas jadi pendek. Selepas pembedahan, tenaga dan pernafasan menjadi semakin baik.
“Satu lagi, mental kena sentiasa bersedia. Masalah kecil-kecil itu buat tak tahu sahaja. Yang penting fokus. Saya katakan pada diri sendiri, ini kerja, orang datang, bayar tiket untuk tengok. Jadi, kita kena bersedia, seadanya kita,” katanya Ziana.
Bagi Anuar, dia lebih mementingkan kesihatan mental dan emosi, selain menjaga pemakanan agar stamina dan kesihatan tetap berada dalam keadaan baik.
“Saya jaga pemakanan dan pastikan mendapat rehat yang secukupnya. Namun, yang paling penting adalah minda.
“Banyak perkara yang kita lalui dalam hidup. Saya dijangkiti Covid-19 pada Februari lalu. Saya cukup bersyukur, kesihatan saya okey, walaupun ada yang kata untuk pulih daripada kesan selepas Covid-19 itu mengambil tempoh sekurang-kurangnya satu tahun lebih.
“Saya rasa semangat dan sokongan rakan-rakan dan pihak pengurusan saya banyak memudahkan saya untuk memberikan tumpuan kepada konsert ini. Alhamdulillah, emosi dan kesihatan mental terjaga dan saya bersyukur kerana dapat fokus untuk konsert ini,” jelasnya. – UTUSAN