Kanak-kanak bukan bahan lawak - Utusan Malaysia

Kanak-kanak bukan bahan lawak

TANGKAP layar rakaman video yang tular memaparkan seorang lelaki meletakkan vape pada mulut seorang bayi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tak fasal-fasal kena tangkap. Itulah nak sangat buat konten.

Kedengaran suara wanita mengomel sewaktu membaca berita di paparkan Utusan Malaysia mengenai seorang lelaki yang meletakkan vape ke mulut seorang bayi.

Walaupun lelaki berkenaan sudah membuat permohonan maaf dan kes itu dianggap selesai, tetapi ‘kepintaran’ dilakukan itu kekal berbekas di alam siber. Kalau tak percaya, cuba search.

Realitinya, bukan sikit kes orang dewasa yang selalunya membabitkan keluarga dan ibu bapa, melawak tak matang terhadap bayi dan budak kecil.

Bila sudah dikongsi di media sosial, sudah tentulah ia membuka ruang kepada pengguna media sosial lain memberikan reaksi termasuk kecaman.

Kalau disenaraikan, terlalu banyak senda guraun membabitkan kanak-kanak, seolah-olah sudah tidak ada modal lain.

Sukar dipastikan kenapa lawak sedemikian dilakukan, tetapi saya kira sebab sudah tidak ada kerja lain melainkan mahu mengundang tawa bagi yang suka dan kutukan bagi yang tidak mengemarinya.

Ramai berpandangan hidangan di media sosial begitulah rupanya. Jangan serius sangat. Kalau hidup tak boleh bergembira, tak perlu tengok media sosial.

Pada saya ia kurang tepat kerana bahan itulah yang menunjukkan sejauh mana bijaknya masyarakat kita.

Paling saya kesalkan waktu ini ialah mengenai aplikasi bunyi di TikTok yang memaparkan wajah bertukar hodoh dan berdarah. Suara mengilai menambah rasa seram seolah-olah kita bertukar menjadi hantu.

Untuk menambah rasa takut kepada si kecil, yang dewasa akan lari keluar daripada bilik meninggalkan si kecil menangis ketakutan.

Bukan orang biasa, selebriti pun tumpang sama bermain dengan anak mereka.

Pada saya perkara ini bukan lawak sebaliknya kasihan melihat si kecil yang terpingga-pingga ketakutan atau kehairanan di tinggalkan.

Kalau anak kecil itu terjatuh bagaimana? Masih mahu berlawak pada isu keselamatan?

Sewaktu kecil dahulu kita ditakutkan oleh ibu bapa bersebab. Mandi sebelum senja bagi membolehkan kita bersedia atas sejadah untuk bersolat.

Tidak boleh duduk atas bantal takut bisul, sedangkan ia bertujuan memastikan bantal sentiasa bersih.

Ada sahaja hikmah disebalik sesuatu tegahan itu. Hari ini ia dilakukan atas alasan suka-suka dan mahu seronok dan tertawa tanpa memikirkan aspek keselamatan.

Kanak-kanak bukan alat mainan sebaliknya mereka perlu dilindungi selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 dan Akta Kanak-Kanak 2001. Sampai bila kita nak beri alasan terlepas pandang dan sekadar bergurau?

Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya