Nak pilih kemahiran atau melanjutkan pengajian dalam bidang akademik? Utamakan minat atau masa depan memilih kerjaya?
Pilihan ini sering mencetuskan dilema dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Benar, selain menuntut masa dan tenaga, peruntukan kewangan besar diperlukan untuk sesebuah pengajian.
Ada yang memakan masa hingga dua ke empat tahun tempoh belajar sebelum berjaya mengenggam diploma atau ijazah.
Banyak padangan mengatakan kerja sia-sia kalau kita belajar lain tetapi bila kerja nanti. Tak ada kena mengenapun dengan bidang pengajian. Itupun kalau ada kerja, kalau tidak ada tawaran kerja?
Situasi lebih parah kalau kita sebenarnya tidak mempunyai minatpun dengan apa yang kita pelajari.
Isu ini bukan remeh. Kementerian Pendidikan akan melakukan post mortem ke atas 24,941 calon yang tidak menduduki SPM 2021. Mereka dianggap sebagai lost generations.
Remaja ini jugalah merupakan calon terkesan pandemik Covid-19 apabila berada di tingkatan empat dan tingkatan lima ketika tempoh mencabar dan getir.
Sebahagian besar adalah calon persendirian dan didapati ada yang memilih untuk tidak terus belajar kerana faktor peribadi, hal keluarga dan menceburkan diri dalam ekonomi gig. Sekarang gig diperlukan, bagaimana dengan masa akan datang?
Saya yang turut ada anak remaja lepasan SPM selalu ingatkan mereka untuk belajarlah dengan hati terbuka. Sebab kadangkala minat datang lambat. Tak kenal maka tak cinta. Belajar bersungguh-sungguh sebab ilmu Allah itu luas.
Mengenai peluang pekerjaan yang cerah atau sebaliknya, ia sebenarnya banyak bergantung kepada rezeki. Kita hanya membuat perancangan, ketentuan di tanganNYA.
Dengan situasi pandemik dan pelbagai perubahan landskap ekonomi dunia, kita tidak pasti apa yang akan berlaku kemudian hari.
Lagipun, kalau bab belajar dan menuntut ilmu ini tidak pernah ada ruginya. Yang penting sama ada kita ada kemahuan menyambung pengajian atau tidak.
Walaupun ramai orang cakap diploma atau ijazah hanya sekeping kertas yang menjadi buruan, tetapi ramai yang tidak tahu ialah mengenai nilai menuntut ilmu.
Proses belajar itu sendiri berupaya merubah personaliti dan cara berfikir dengan lebih matang.
Baru-baru ini tular di media sosial seorang wanita mengenai kisah anak gadisnya yang berjaya mendapat pasangan hidup walaupun tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Ada juga yang sudah hilang rasa malu bila berkongsi keputusan gagal SPM. Ke mana nilai kita sebagai manusia dalam menghargai ilmu?
——-
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.