“SELAGI hayat ada saya akan keluar ride, kalau orang cakap suruh saya duduk rumah sajalah, dekat rumah pun saya tak duduk diam, saya bantu sapu dan kemas rumah.”
Demikian kata Kamarudin Wahid, 77 tahun, yang terkenal dan tular dalam media sosial dengan gelaran ‘Cik Din YP’ bersama jentera retro miliknya Yamaha RD YP 250.
Anak jati Selangor yang menetap di Petaling Jaya itu tidak pernah merasakan aktiviti konvoi atau ride bermotosikal yang sinonim dengan golongan muda penghalang buat dirinya yang sudah berusia.
Dia yang juga seorang atuk kepada lapan orang cucu dan dua cicit itu kekal bertenaga setiap kali berkonvoi bersama rakannya menjelajahi negeri-negeri di bawah nama YP RD Club Malaysia.
Menelusuri bibit-bibit permulaan minat terhadap kenderaan dua lejang itu, seakan tidak diduga menjadi sinonim terhadap gelaran dirinya yang kini disebut sebagai ‘Cik Din YP’.
Minat pada kenderaan motosikal ketika umur 18 tahun, bermula dengan Vespa dan diikuti dengan berapa siri model motosikal lain, dia akhirnya memilih Yamaha RD YP sekitar 1998 sebagai jentera terakhirnya.
“Sewaktu saya meniaga air tebu, ada sebuah kumpulan motosikal YP, jadi dari situ saya timbul minat dan beberapa minggu selepas itu saya pun dapatkan motor YP ini.
“Isteri saya tidak pernah menghalang saya untuk keluar berkonvoi, anak-anak juga kadang ikut. Contohnya baru baru ini pergi ke Terengganu untuk sokong minat saya,” katanya.
Dia yang dikategori sebagai ‘otai permotoran’, Cik Din YP menepis segala tohmahan yang ditujukan kepadanya di media sosial agar berehat di rumah sahaja atas faktor umur.
“Pada orang yang cakap begitu, saya tak boleh rehat, saya suka ride, saya tidak minta satu sen daripada mereka yang mengecam, jadi hormat semangat dan jiwa saya terhadap hobi ini,” katanya.
Bercakap mengenai situasi pendapatan untuk selalu keluar konvoi motosikal , Kamarudin menjelaskan sumber kewangan dirinya tidak banyak seperti disangka umum.
“Saya sudah lama bersara dari sebuah kilang di kawasan Petaling Jaya, jadi berbekalkan duit simpanan dan wang diberikan oleh anak-anak, itulah sumber kewangan saya.
“Sebulan saya juga dapat RM300 sahaja daripada Baitulmal, jadi bila orang kata perlu berduit nak keluar konvoi itu salah, hanya perlu minat dan sokongan daripada rakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Cik Din YP menasihati buat semua mat rempit untuk menjauhi dadah jika sayangkan diri serta tidak merosakkan pandangan orang awam terhadap aktiviti permotoran.
“Mat rempit dulu pandai menghormati orang tua dan juga ibu bapa, tapi sekarang tengok mereka terlibat dengan ragut dan bunuh, ini semua salah dadah. Jangan sesekali dekatkan diri dengan dadah,” katanya.
Sahabat seperjuangan
Individu yang berada di belakang kamera merakamkan setiap gerak-geri Cik Din YP ketika konvoi dan memuat naik dalam media sosial bukanlah pembantu peribadi tetapi rakannya.
Azhanyzam Zakaria, 47 tahun, sudah lebih 20 tahun mengenali Cik Din dan idea untuk memuat naik ke dalam sosial media adalah sekadar perkongsian kepada umum.
“Kenal Cik Din pada sekitar tahun 1998, masa tu saya selalu lepak di Bangsar berkumpul dengan geng motor YP.
“Cik Din pula nampak baru lepas beli motor model yang sama, jadi kita tegur dan ajak masuk jadi ahli kelab, lagipun Cik Din seorang yang mudah diajak kalau ada konvoi.
“Idea untuk menceritakan tentang Cik Din di sosial media datang secara spontan, tiada niat ambil kesempatan buat dia, niat hanya ingin berkongsi kepada semua bahawa minat terhadap motor tiada batasan umur,,” katanya.
Sedekad pelari marathon
Rahsia mempunyai kudrat dan tenaga seakan-akan orang muda adalah gaya hidup sihat diamalkan Cik Din suatu ketika dulu yang merupakan atlet lari jarak jauh atau maraton.
Aktiviti maraton mula disertainya ketika umur 35 tahun, sukan yang dianggap sebagai sebab penyakit lelah yang dihadapinya dahulu telah hilang.
Mempunyai lebih daripada 100 medal penyertaan maraton sepanjang usia 35 hingga 45, antara larian yang suka untuk Cik Din sertai adalah larian sepanjang 47 kilometer.
“Masa kecil dahulu saya ada masalah kesihatan iaitu asma, tapi dari kecil lagi saya sudah aktif dengan aktiviti lasak lagi.
“Saya dengan rakan dulu bina set jim bersebelah dengan rumah saya,sampai satu tahap arwah mak saya risau keadaan kesihatan saya semakin teruk jika bersukan.
“Tapi dengan aktiviti itu saya sudah hilang semput dan asma, sejak itu saya suka berpeluh, usia sekarang, waktu petang juga saya kemas keliling rumah untuk berpeluh,” katanya.
Pahit manis atas motor
Memori pahit dan manis masih segar di dalam ingatan Cik Din YP sepanjang menjalani sisa hidup di atas kenderaan retro miliknya itu.
Sepanjang 59 tahun menunggang motosikal menawan negeri-negeri, pengalaman manis baginya adalah saat bersama-sama dengan rakan yang membantu antara satu sama lain dalam apa jua keadaan.
Dan terburuk baginya apabila rekod ‘bersih’ tidak pernah menerima sebarang saman akhirnya terjejas pada 2019 disaman atas kesalahan nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan. – UTUSAN