Penderaan, dasar dan penguatkuasaan - Utusan Malaysia

Penderaan, dasar dan penguatkuasaan

Penderaan menganggu kelangsungan hidup kanak-kanak yang seharusnya sarat dengan kasih sayang dan keceriaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menangani penderaan kanak-kanak memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak. Ayat ini memang kedengarannya klise sebab memang itulah realitinya, namun sayangnya sejak dulu hingga kini, kesnya tidak pernah surut.

Yang membezakannya adalah perlakukannya semakin tidak masuk akal seolah-olah pelakunya dirasuk iblis.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor merekodkan sehingga September 2021, penderaan mencatatkan 1,076 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Itu yang dilaporkan, yang tidak diketahui pastinya terlalu banyak.

Memperlakukan kanak-kanak dan bayi yang tidak tahu apa-apa hanya kerana marah atau atas apa sebab sekalipun, menunjukkan pelaku memerlukan rawatan sebab ‘sakit’.

Kanak-kanak yang tidak tahu membalas, pastinya hanya kaku bila diperlakukan sedemikian.

Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran serius terhadap hak kanak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah. Ia menganggu kelangsungan hidup mereka yang seharusnya sarat dengan kasih sayang dan keceriaan.

Penderaan itu banyak kategori. Dera fizikal, emosi, seksual mahupun pengabaian. Nampak pada mata kasar parut dan luka atau langsung tidak kelihatan, apa yang pasti impak penderaan meninggalkan parut mental berpanjangan dalam diri si cilik. Lebih memburukkan keadaan apabila trauma itu ada dalam hela nafasnya. Kajian turut menunjukkan mangsa boleh melakukan perbuatan sama apabila dewasa kelak.

Mahukah kita melahirkan generasi masa depan yang tidak sihat hanya kerana pengalaman zaman kanak-kanak yang hitam, redup dan suram?.

Negara ada banyak undang-undang sebagai hukuman kepada pelaku yang selayakkan di panggil penjenayah itu.

Tetapi kenapa penjenayah seolah-olah tidak takut dengan hukuman menanti? Ada kes yang siap dirakam dan dimuatkan ke media sosial lagi.

Adakah sebab sukar mencari pembuktian atau undang-undang yang ada tidak cukup menggerunkan?.

Lebih penting untuk kita renungkan, sampai bila kita mahu meletakkan hukuman sebagai alat dalam memperbaiki masalah sosial dalam masyarakat?.

Saya kira selain promosi berterusan hotline untuk melaporkan sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, kerjasama masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dilakukan secara berterusan, bukannya bermusim atau bila ada kes sahaja.

Bukan sedikit mangsa dera yang meninggal dunia daripada didera.

Fikirkanlah bagaimana kaedah menangani jenayah ini. Lakukan kajian atau pendekatan baharu.

Kalau plan A tak jadi, fikirkan plan B. Turun padang dan dekati masyarakat.

Usah sekadar membuat dasar tetapi masalah akar umbi tidak diselesaikan dengan baik. Bak kata pepatah Melayu, menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak pula berserakan.

—————-

Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya