Najib tukar peguam, mohon tangguh rayuan akhir

Najib tukar peguam, mohon tangguh rayuan akhir

NAJIB Tun Razak menggugurkan Muhammad Shafee Abdullah dan melantik barisan peguam baharu yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik dalam rayuan akhir berhubung sabitan salah dan hukuman membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners mengesahkan telah dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu berhubung sabitan salah dan hukuman membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik pula telah dilantik sebagai peguam bela utama Najib menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

HISYAM TEH POH TEIK

Antara arahan pertama yang diterima daripada Ahli Parlimen Pekan itu ialah untuk menangguhkan pendengaran akhir kes tersebut yang dijadualkan bermula pada 15 Ogos ini.

TARIK BALIK

Selain itu, firma tersebut menyatakan, pihaknya juga diarahkan untuk menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Julai lalu yang menolak permohonan Queen’s Counsel, Johnathan Laidlaw untuk diterima masuk sebagai peguam bela Najib.

Menurut surat firma tersebut yang dihantar ke Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, pasukan pembelaan baharu akan diketuai oleh Hisyam dan dibantu oleh peguam-peguam, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam.

Hisyam merupakan peguam bela utama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi di sini dan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Teck Huat yang juga merupakan rakan kongsi kanan firma dalam surat berkenaan menyatakan, arahan untuk menarik balik rayuan berhubung QC dan permohonan penangguhan rayuan itu akan dinyatakan ketika pengurusan kes yang telah ditetapkan pada 29 Julai ini.

“Kami juga dengan rendah diri memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan satu tarikh sebutan atau tarikh pengurusan kes segera bagi membolehkan peguam mengemukakan maklumat terkini yang berkenaan dan mendapatkan arahan-arahan selanjutnya daripada Mahkamah,” menurut surat berkenaan.

Terdahulu, sekitar pukul 11.25 pagi, Tetuan Shafee & Co. melalui sepucuk surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa Muhammad Shafee, firma berkenaan dan seluruh pasukan pembelaan telah diberhentikan perkhidmatannya oleh Najib petang semalam.

Tanpa menyatakan sebarang alasan, surat tersebut turut menyatakan Tetuan Shafee & Co. akan menyerahkan segala dokumen berkaitan kes tersebut kepada pasukan pembelaan baharu.

Usaha mendapatkan komen daripada Muhammad Shafee atau Hisyam sejak berita pemberhentian tersebut tersebar masih tidak berjaya.

Rayuan akhir Najib dijadualkan untuk pendengaran selama 2 minggu bermula 15 Ogos ini.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mah­kamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya