Loceng PM10 untuk Anwar?

Loceng PM10 untuk Anwar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIHAN parti sudah, kongres atau perhimpunannya pun sudah. PKR serius, bahkan sudah bersiap sedia mendepani pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bila-bila masa sahaja.
Jadi atau tidak direalisasi ‘khemah besar’ dibawakan PKR melalui Pakatan Harapan (PH), segalanya berpandu pada politik yang cukup dinamik hari ini – boleh berubah sekelip mata walaupun kata putus pendirian sudah diambil.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya kembali bercita-cita tinggi untuk menakluki kembali Putrajaya. Bukan itu sahaja, matlamat menjadi Perdana Menteri ke-10 (PM10) kian bernyala.

Sebenarnya pada malam 9 Mei 2018 kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam PRU14 waktu terbaik untuk Anwar menjadi PM7 kerana PKR memiliki 50 kerusi Parlimen – terbesar dalam PH yang menguasai 135 daripada 222 kerusi. Isteri Anwar yang juga Pesiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail boleh terus sahaja mengadap Yang di-Pertuan Agong. Tetapi ia tidak berlaku.

Anwar sendiri selepas itu sudah salah kira. Sepatutnya pada hujung 2018 atau selewat Julai 2019 beliau sudah boleh buat perkiraan. Entah macam mana Anwar terlena dengan hayunan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Jangan gaduh, akan dapat tu. Kita dah buat keputusan, kita akan serahkan. I will transfer the power to you,” demikian antara ungkapan manis itu kepada Anwar.
‘Buaian’ itu saya kira sudah 11 kali. Tetapi semua maklum Dr. Mahathir tidak akan sesekalli menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar secara normal.

 

ANWAR Ibrahim tentu sekali menyedari sejarah kariernya dalam politik yang di ‘boost’ dari tahun 1982 hingga 1997 tidak lagi sama macam sekarang, 2022.

 

KEINGINAN

Anwar semestinya tidak boleh disalahkan sekiranya beliau melayani keinginannya menjadi PM. Lagi pun sudah 11 tahun dalam penjara yang tentu sekali merasakan usianya tidak tertanggung lagi untuk melangkah ma­suk ke Putrajaya.

Sebelum 1997, gandingan Dr. Mahathir dan Anwar adalah masing-masing selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Mereka tak ubah macam isi dengan kuku.

Benar, Dr. Mahathir senang dengan Anwar semenjak beliau memasuki UMNO lagi pada 1982. Bimbingannya untuk menjadikan Anwar sebagai pengganti terang lagi bersuluh kepada semua terutama buat Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Anwar selalu berada dalam Kabinet dalaman Mahathir.

Bagaimanapun pemecatan Anwar pada 1998 mengakibatkan titik mula orang Melayu berpecah-belah dengan terbahagi kepada kem-kem tertentu. Demonstrasi jalanan dan reformasi serta fitnah-memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum kritikal dengan kedatangan laman sosial.

Selepas 18 tahun berlalu, Dr. Mahathir akhirnya berjabat tangan dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September 2016. Permusuhan dinoktahkan.
“Beliau (Dr. Mahathir) sudah berubah dan komited terhadap agenda reformasi,” kata Anwar.

Gandingan Dr. Mahathir-Anwar serta parti-parti DAP, PKR, Bersatu dan Amanah dengan Dr. Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia menerusi strategi yang tersusun bersekali hembusan ‘tsunami rakyat’ akhirnya menumbangkan BN dalam PRU14.

Anwar tentu sekali menyedari sejarah kariernya dalam politik yang di ‘boost’ dari tahun 1982 hingga 1997 tidak lagi sama macam sekarang. Beliau yang muda baru berkeris masuk UMNO pada 1982 melalui loncatan tingkap, bukan menerusi pintu biasa.

Selama 16 tahun diasuh oleh pucuk pimpinan UMNO waktu itu, meloncat dari satu tahap ke tahap yang lain hingga sampai menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, tetapi ‘tersadung’ pada 1998, hanya selangkah ke pangkalan.

Anwar sudah dua kali mengungkapkan perkataan que sera sera – “apa yang terjadi, terjadilah”. Pendek kata, ‘Masa hadapan di luar kawalan”.

Menghayatinya membuatkan saya mengingatkan diri sendiri akan keperluan menjalani hidup sebagai manusia yang bersahaja, manusia seutuhnya dan manusia yang baik. Yakni, tetap melangkah dan menerima apapun yang terjadi nanti.

STRATEGI TAJAM
Jangan dilupai nasib, jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya jua.

Selepas keputusan pilihan raya kecil Port Dickson tempoh hari, ramai percaya bahawa ‘nasib politik’ telah meninggalkan Anwar. Dari seorang pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tidak dikenali pada 1982 hinggalah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993.

Beliau menduduki puncak kejayaan bagi tempoh yang lebih lama dari yang disangka ramai.

Dan suatu ketika, ia mungkin berlaku silap percaturan daripada pihak beliau atau daripada penasihat seperjuangan. Mungkin juga kerana tidak sabar. Bila dikelilingi dengan jeritan tidak henti-henti dan dorongan oleh penyokong, akhirnya Anwar ‘tersadung’. Nasib tidak menyebelahinya waktu itu.

Tetapi nasib juga mempunyai dua hala dan ia boleh senyum semula kepada mereka yang terus mencuba. Anwar adalah orang yang tidak akan berhenti mencuba.

Anwar, selepas Kongres PKR yang berakhir semalam pastinya menyusun strategi lebih tajam demi memastikan Langkah Sheraton 24 Februari 2020 tidak berulang.

Didukung wajah-wajah baharu dan muda dalam PKR, yang dipercayai sudah bersiap-siaga, parti-parti lawan terutama BN tidak boleh pandang enteng cabaran PKR.

Pencapaian mana-mana parti dalam siri pilihan raya kecil (PRK) dan empat pilihan raya negeri (PRN) sejak empat tahun ini elok sahaja ditinggalkan dalam kenangan setelah pandemik Covid-19 berjaya dilepasi. Dengan faktor wow parti tertentu dipercayai sudah berlalu setelah tarikh PRU15 dikatakan sepatutnya berlaku pada Mac, April atau Mei lalu, saingan kini sudah terbuka dengan BN, PH dan barangkali Perikatan Nasional (PN) juga dalam kedudukan 50:50 untuk meraih mandat rakyat.

Seperti tangan panjang jam, naik dan turunnya dalam satu bulatan. Tepat ketikanya, ia datang kembali pada waktu tertentu. Kemudian, seperti sebuah jam dinding, loceng akan berbunyi.

Sama ada ya atau tidak, ia akan berbunyi untuk Anwar sekali lagi. PM10?

Dan ia bergantung kepada daya tahannya dalam mengharungi hari-hari mendatang ini sebelum melangkah masuk Putrajaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya