Video dan kenyataan memaparkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar menyarankan orang ramai mengurangkan pengambilan telur berikutan isu kenaikan harga telur, bikin hati panas.
Panas bukanlah sebab harga telur melambung naik, sebab maklum kenaikan berlaku berikutan pelbagai faktor yang kita pun malas nak ketahui.
Tetapi kenyataan dangkal yang tidak sepatutnya keluar daripada individu bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.
Pepatah Melayu sudah lama menyebut kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Memberi pandangan tanpa penyelesaian kepada sesuatu masalah, sudah pastilah mengundang padah.
Namun ramai yang tidak mengambilnya sebagai pengajaran.
Sebenarnya ramai sahaja pemimpin kita yang tidak matang bila berdepan media. Suka mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan, tidak jelas seolah-olah mereka sendiri tak tahu isu.
Namun lebih malang bagi pihak media apabila mereka pula dipersalahkan hanya kerana kenyataan tidak jelas yang keluar daripada mulutnya. Netizen yang tidak tahu kerja media, pantas sahaja memberi pandangan tidak adil kepada tukang tulis.
Berdepan media pada waktu segala benda di hujung jari ini tidak sama dengan zaman tidak ada internet dulu.
Seharusnya pegawai kerajaan, pemimpin atau sesiapa sahaja yang suka berdepan kamera, ambil kursus jangka pendek sebelum memberanikan diri memberi komen sebab yang apa diperkatakan itulah yang menjadi contoh atau cerminan kepada generasi muda.
Tanpa kenyataan atau sekadar memberikan mimik muka pun, sudah mampu menjelaskan sesuatu maksud.
Kadangkala benda yang kita anggap kecil dan tidak penting inilah yang sebenarnya boleh mengguris hati ramai, lebih-lebih dalam situasi sekarang.
Hari ini harga barangan pengguna meningkat naik tanpa punca yang jelas. A salahkan B, B salahkan C. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah kita, sebab semua daripada kita adalah pengguna.
Saranan menyatakan untuk hati berasa tenang, kurangkan masa melayani media sosial ada benarnya.
Banyak perkongsian yang lebih kepada luahan rasa berbanding penyelesaian kepada sesuatu masalah. Kalau tidak kerana urusan kerja memang tidak mampu melayannya.
Namun gundah hati terubat menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. Siapa kata filem berat tidak ada peminat? Penuh sahaja panggung walaupun pada peringkat awalnya promosinya biasa-biasa sahaja? Seronok bila saya melihat panggung penuh dengan kanak-kanak yang tidak mahu terlepas menyelamai kehebatan pahlawan Melayu?
Selain menonton, bawalah bersama mesej yang cuba disampaikan sebagai pengajaran kehidupan.
—-
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita,
Utusan Malaysia.