Filem epik Mat Kilau secara rasminya ditayangkan di seluruh negara pada 23 Jun lalu. Diarahkan Syamsul Yusof, filem berkenaan menampilkan barisan pelakon handalan seperti Adi Putra, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.
Dikatakan sebagai antara persembahan paling menyerlah, Beto Kusyairy yang memegang watak Wahid dalam filem tersebut, menonjol.
Beto yang menjawab tentang itu memaklumkan untuk menghidupkan sebuah watak fiksyen dalam filem yang menginspirasikan figura sebenar bukan satu perkara mudah.
“Bukanlah nak kata, kalau bawa watak fiksyen, tanggungjawab itu kurang. Sama sahaja. Tapi saya ada sedikit kelegaan.
“Saya dan pengarah berbincang, macam mana nak warnakan watak Wahid itu. Ia menjadi mudah bagi saya,” ujarnya.
Mengulas tentang cabaran, kata empunya nama sebenar NurKusyairy Zakuan Osman ini, ketahanan fizikal dan stamina adalah perkara yang paling dituntut kepada hampir kesemua pelakon filem ini.
“Bila buat filem aksi, cabaran lebih kepada sudut fizikalnya. Tempoh penggambaran yang panjang. Kemampuan untuk lakukan babak aksi, itu semua jadi tuntutan.
“Saya pun bukannya muda lagi. Dah masuk 40-an. Tapi Alhamdulillah, dengan koreografi yang dihasilkan pelakon, Yayan Ruhian sendiri membuatkan tuntutan pengarah diberikan dengan lancar.
Pada masa yang sama, Beto memberitahu, dia banyak merujuk orang-orang lama bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang waktu tersebut.
“Dahsyatnya watak Wahid ini adalah dia teguhkan pejuangan. Bukan bermaksud dia ketepikan isterinya yang hamil. Kalau dia tak berjuang, anak-anak dia akan dapat nasib yang menyedihkan.
“Bukan mudah untuk berikan emosi watak ini kerana ia bersandarkan imaginasi saya dan pengarah. Kita tidak melalui zaman itu, kesusahan, kepayahan, perjuangan. Jadi kita tak tahu.
“Semuanya berdasarkan bayangan. Cerita-cerita nenek atau moyang yang melalui kehidupan pada zaman itu,” kongsinya. – UTUSAN