Pak Non buat wau hingga ke nafas terakhir

Pak Non buat wau hingga ke nafas terakhir

wau
MESKIPUN sudah dipanjat usia Samat Man masih kuat dan terus bertahan dalam aktiviti seni pembuatan wau di Perlis di Kampung Tok Kaya, Kayang, Kuala Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN usianya sudah menjengah separuh abad, namun kudrat serta semangatnya masih kuat dan terus bertahan dalam bidang seni pembuatan wau di negeri ini.

Kecintaan Samat Man atau lebih dikenali sebagai Pak Non, 77 itu sememang layaklah dirinya diberi pengiktirafan sebagai Adiguru kraf wau.

Hampir seluruh hidupnya diperhambakan dengan kerja seni pembuatan wau. Selain sayangkan seni warisan bangsa, permainan tradisional ini turut menjadi sumber rezeki keluarga sejak dirinya berusia belasan tahun lagi iaitu sekitar tahun 60-an lagi.

“Hasil pendapatan daripada kerja-kerja pembuatan wau tradisional inilah juga saya menampung kehidupan dan membesarkan lima orang anak,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dikediamannya di Kampung Tok Kaya, Kayang, Kuala Perlis baru-baru ini.

Nama Pak Non bukanlah asing lagi dalam bidang seni wau tradisional. Beliau pakar dalam pembuatan wau tradisi negeri iaitu wau helang.

Malah turut arif dalam penghasilan wau tradisi dari negeri-negeri lain juga. Antaranya wau bulan, wau merak, wau jala budi, wau kucing dan wau puyuh. Tidak ketinggalan pelbagai lagi jenis wau moden lain yang seiring dengan perkembangan semasa, turut ada dalam senarai kearifannya.

Bakat itu membolehkan beliau menjana pendapatan sekitar RM2,000 sebulan. Pada usia sekarang, beliau masih aktif mengikuti Kraftangan Malaysia melalui aktiviti pameran wau tradisi di dalam, mahupun luar negara.

TAHUN 60-AN

“Saya mempelajari seni pembuatan wau dan wau hiasan tersebut sejak tahun 1963 yang saya warisi daripada datuk saya, Ishak Din,” katanya mengimbau kenangan perkenalaan dirinya dengan wau.

Beliau mengakui proses pembuatan wau tidaklah mudah, sebalik individu perlu memiliki kesabaran yang tinggi, telitian dan kreatif. “Teknik dan kemahiran juga penting dalam memastikan produk kita berkualiti,” katanya.

Kerja pembuatan wau bermula daripada mencari buluh duri yang kemudian dipotong kecil dan dijemur sehingga kering.

Buluh diraut dengan pisau sebelum mencipta rangka dan melekatkan kertas yang telah dihasilkan dengan corak daripada pelbagai ukiran motif.

Salah satu kelebihan Pak Non yang paling ketara ialah kehebatan dirinya menggunakan dan menggubah reka corak wau yang berunsurkan flora dengan penghasilan ukiran motif sebanyak lima lapis.
Keunikan karya itu menyebabkan wau sentuhannya sering dijadikan cenderamata dan hiasan.

“Pelanggan saya bukan sahaja daripada peminat wau sebaliknya membabitkan pelancong dan sektor korporat seperti hotel,” katanya.

Antara mendapat sambutan ialah wau helang. Kata Pap Non, rekaannya amat unik di mana ia berbentuk burung helang selain mudah diterbangkan.

“Wau helang merupakan tradisi negeri. Ia sudah berusia antara 300 sehingga 400 tahun,” katanya. Wau sentuhan Pak Non dijual pada harga serendah RM60 hingga RM500.

‘Masih ramai anak muda minat’

KEMAHIRAN seni pembuatan wau turut diwarisi dua orang anaknya iaitu Adnan,55, dan Amran. Bagaimanapun, Amran telah meninggal dunia.

Merupakan antara individu yang masih bertahan selepas lebih 60 tahun dalam seni pembuatan wau, kata Pak Non pembuatan wau helang di Perlis akan terus bertahan memandangkan masih ramai anak muda yang berminat mempelajarinya.

Datuk kepada tujuh orang cucu ini berkata, setakat ini ada lebih 10 anak didik termasuk wanita yang terlibat dalam seni pembuatan wau.

“Selagi masih ada hayat, saya akan terus mem­perta­hankan dan mela­kukan kerja pembuatan wau, khususnya wau helang, tradisi negeri ini.

“Malah, kemahiran dan pengalaman yang ada ini juga akan dikongsikan kepada anak-anak muda supaya seni pembuatan wau helang ini terus bertahan,” katanya.

Antaranya pencapaian Pak Non ialah memenangi pertandingan wau peringkat antarabangsa di pertandingan Pesta Layang-Layang di Pasir Gudang pada 1997. Beliau turut menang tiga kali berturut-turut pertandingan antarabangsa itu dari 2011 hingga 2013.

Usaha Pak Non dalam memartabatkan seni dan budaya itu juga telah diiktiraf oleh kerajaan negeri dengan penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis pada 2014.

Pengiktirafan tertinggi Pak Non ialah apabila bakat seninya diiktiraf dan dinobatkan sebagai penerima anugerah Tukang Ulung Kraf oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia pada tahun 2014 dan pelbagai lagi penganugerahan serta pencapaian hebat yang lain.

“Antara kenangan tidak boleh saya lupakan dan masih segar dalam ingatan adalah berpeluang menerbangkan wau bersama Sultan Johor ketika itu yang seingat saya pada perasmian pertandingan wau antarabangsa sekitar tahun 1990-an,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya