SEBUT sahaja penjara, sudah terbayang di benak fikiran akan suatu tempat yang sunyi, dikawal rapi pengawal bersenjata serta aksi ganas banduan dalam sel tahanan sel. Imaginasi yang terbit sama seperti dipaparkan dalam drama atau filem.
Bagaimanapun, tanggapan negatif itu cuba diolah secara kreatif oleh dua pemuda yang berani mengangkat suasana di balik tirai besi sebagai idea utama sebuah kafe.
Pengurus Kopi Jail, Anas Al-Afiq Azhar, 24, berkata, konsep yang diketengahkan itu disifatkan sebagai berani kerana belum ada kafe di Malaysia menggunakan konsep sedemikian, selain sikap masyarakat sendiri yang mudah tertarik kepada sesuatu yang unik.
Menurut anak jati Jitra, Kedah itu, konsep tersebut diinspirasikan daripada minatnya yang suka menonton filem berunsurkan penjara dan dia mengakui sedikit sukar untuk merealisasikan idea berkenaan pada peringkat awal.
“Pencarian konsep Kopi Jail bermula November tahun lepas termasuk tagline, logo dan reka bentuk kafe. Kerja pengubahsuaian bermula pada Januari membabitkan ruang galeri Muzium Penjara Melaka yang terletak di Jalan Parameswara, Banda Hilir.
“Kerja pengubahsuaian dibantu oleh pelajar lelaki Sekolah Henry Gurney (SHG) bagi menampakkan kafe ini seolah-olah berada dalam sel tahanan. Walaupun tidak mencerminkan suasana sebenar, namun ia sudah cukup untuk menggamit rasa setiap pelanggan yang singgah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah bekas pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) itu lagi, dia tidak mempunyai masalah untuk menguruskan sebuah kafe meskipun latar belakang pendidikannya dalam jurusan perancangan bandar.
Jelasnya, dia tidak kekok beralih bidang kerana pernah berniaga air balang bersama sepupu, Nur Aimi Irfan Nor Azian, 21, di bazar Ramadan.
“Saya tahu serba sedikit bagaimana untuk menarik minat pelanggan singgah ke kafe selepas melawat muzium. Pada mulanya penerimaan pelanggan agak perlahan, tapi selepas Kopi Jail tular di media sosial kehadiran pengunjung semakin bertambah.
“Kebanyakan pelanggan adalah penduduk setempat pada hari bekerja, namun hari minggu akan diserbu oleh pelancong. Ramai yang datang memberitahu suasana kafe ini lain dari yang lain,” katanya.
Menu kopi yang disediakan juga sangat unik kerana mengambil nama-nama hukuman di penjara seperti Kopi Sebatan, Kopi Sepanjang Hayat, Kopi Reman, Kopi Seumur Hidup, Kopi Gantung dan Kopi Jail yang berharga antara RM13 dan RM14 secawan.
Kopi Jail turut menyediakan ruang khas iaitu ‘bilik menunggu’ untuk pengunjung meluahkan isi hati di dinding, sama seperti dilakukan oleh banduan akhir sebelum menjalani hukuman.
Anas Al-Afiq memberitahu, dia terpaksa menyediakan sebuah lagi bilik untuk dijadikan bilik menunggu gara-gara tiada lagi ruang untuk menulis dalam bilik asal sebelum ini.
“Setiap pengunjung yang datang pasti akan meninggalkan coretan di dinding kafe. Terpulang apa yang mereka hendak tulis kerana kami mahu pengunjung merasai sendiri perasaan hari-hari terakhir banduan sebelum ke tali gantung,” ujarnya.
Melihat kepada sambutan yang amat baik terhadap Kopi Jail, Anas Al-Afiq merancang untuk menjadikan kafenya sebagai perniagaan francais dan membuka lebih banyak cawangan pada masa depan.
Promosi produk kraftangan banduan
MENJENGAH ke satu sudut di Kafe Jail, kelihatan banyak produk kraftangan yang halus buatannya seperti labu sayong, bakul, anyaman rotan dan ukiran kayu dipamerkan.
Pengurus Kopi Jail, Anas Al-Afiq Azhar berkata, produk tersebut dihasilkan sendiri oleh banduan dari lebih 10 penjara di Malaysia.
Menurutnya, Kopi Jail bukan sekadar tempat untuk mengopi, tetapi turut mempromosi dan membantu para banduan menambah pendapatan menerusi jualan kraftangan mereka.
“Kafe ini dahulunya sebuah galeri kraftangan Muzium Penjara Melaka. Sudah agak lama galeri ini tidak dibuka dan Kopi Jail mahu memainkan peranan penting dalam mempromosikan kembali hasil seni banduan.
“Beberapa hidangan pastri dan biskut yang dijual di sini juga merupakan air tangan pelajar perempuan dari Sekolah Henry Gurney (SHG). Kami turut membantu mereka menjual biskut raya pada Ramadan lalu,” katanya.
Anas Al-Afiq menambah, jualan perniagaan kafe dan galeri akan diasingkan kerana hasil tersebut akan diserahkan semula kepada pihak penjara.
Jelasnya, masih ramai yang tidak mengetahui apa sebenarnya yang dilakukan oleh banduan semasa dalam penjara.
“Kopi Jail mengambil kesempatan ini untuk mengetengahkan produk-produk banduan. Lain penjara lain aktiviti untuk penghuninya dan bila kita buat promosi seperti ini, orang ramai akan membuka mata terhadap kemahiran yang mereka miliki.
“Selain itu, dengan kerjasama pihak penjara, saya bercadang untuk melatih banduan yang hampir bebas dan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka. Banduan agak sukar untuk dapat kerja kerana mempunyai rekod lampau, tapi kita cuba bantu dan beri peluang untuk mulakan hidup baru.
“Jadi sesuailah dengan tagline Kopi Jail, ‘jahat tidak selamanya jahat’. Dengan inisiatif ini diharapkan mereka ada kesedaran untuk berubah,” ujarnya.