Kalau zaman kanak-kanak dulu kita bergambar sambil berdiri tegak atau duduk atas kerusi yang disusun memanjang atau bertingkat. Itulah pose yang paling in waktu itu.
Kemeja masuk dalam dengan rambut bersisi rapi. Kalau budak perempuan berambut panjang rambut ditocang ekor kuda. Ada reben sebagai pemanis. yang rambut pendek comel dengan gaya Lady Diana berbelah tepi.
Melihat foto lama mengimbau kenangan bagaimana strugglenya mengambil gambar. Mak perlu bersedia menyiapkan anak-anak untuk diambil gambar.
Kamera menggunakan filem juga salah satu faktor kenapa orang lama begitu teliti dalam memastikan gambar diketik menjadi.
Kalau tidak memanglah rugi dan membazir sebab filem pun harganya agak mahal. Kosnya bergantung kepada jumlah filem. Kalau banyak maka harganya juga agak tinggi. Situasi menjadikan kita insan menghargai setiap momen. Kita berhati-hati melahirkan gambar bererti.
Hari ini bergambar sambil menampilkan dua jari atau peace dan mini love dengan merapatkan jari telunjuk dengan ibu jari jadi pilihan untuk tampak manis dan comel.
Lebih berani bergambar ala-ala seksi seperti memuncungkan bibir atau menjelir lidah. Di mana manisnya pun tak tahulah. Yang lelaki pula suka bergambar tak tengok kamera. Agaknya macho sangatlah bergambar begitu. Situasi mengambil gambar kini juga tidak susah. Hanya menggunakan telefon. Tidak perlu bersusah-payah membeli filem.
Ada yang berpandangan, kemudahan merakam gambar dan video menyebabkan kita kurang lagi menghargai momen? Gambar pula hanya disimpan di dalam telefon. Segelintir daripada kita juga gemar menyimpan kenangan dalam media sosial. Kaedah itu sebenarnya kurang praktikal sebab gambar itu boleh hilang begitu sahaja kalau tidak di backup di mana-mana drive.
Saya cuma nak ingatkan, simpanlah gambar sopan dan tertib di telefon, media sosial atau media mana pun. Teliti dan fikir sebelum berkongsi. Bukan apa, sesiapa sahaja boleh mencuri gambar itu.
Ramai sekarang ini seolah-olah kemaruk berkongsi tanpa memikirkan implikasi. Gambar anak atau pasangan yang tidak menutup aurat, suami tak pakai baju pun nak tayang? Tak manis. Kenapa nak tunjuk?
Paling menakutkan bila teknologi membenarkan gambar di screenschoot pihak tidak bertanggungjawab. Beringatlah sebelum terkena.
Wanita, khususnya emak boleh tegur anak masing-masing kalau berkongsi gambar. Hanya yang tertib sahajalah kongsi. Kenapa nak canang yang tidak sesuai ke seluruh dunia?
Simpan sikit rasa malu itu untuk diri sendiri. Lebih parah sebab hari ini gambar atau video tidak senonoh pun boleh menyebabkan kita didakwa. Bukan boleh suka-suka.
Kepada 407,097 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, bagaimanapun keputusannya, tahniah.
Anda berjaya melalui dalam serba mencabar, kala negara berdepan pandemik.
———-
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.