Dicerai ketika dalam pantang

Dicerai ketika dalam pantang

pantang
Seluruh keluarganya terkesima tatkala mengetahui apa yang telah berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan adalah fasa baru dalam kehidupan yang semestinya diharap menganugerahkan kebahagiaan. Bahagia hingga ke hujung usia, itulah harapan bagi setiap pasangan yang berkahwin.

Waima pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang, setiap pasangan mengharapkan mereka mampu menempuhi segalanya bersama.

Tidak semua perkahwinan menjanjikan bahagia. Tidak semua ijab kabul menjanjikan ‘syurga’ dambaan menjadi kenyataan.

Minggu ini kita telusuri kisah Zaimah (bukan nama sebenar) yang sudi berkongsi pengalaman hidupnya tentang perkahwinan yang pernah diharapkan bahagia sehingga ke Jannah.

Perkahwinan Zaimah dengan Rashid (bukan nama sebenar) terbina atas dasar cinta sama cinta.

Perkenalan hampir dua tahun membawa mereka ke jinjang pelamin setelah mendapat restu keluarga masing-masing.

Pada awal melayari bahtera rumah tangga mereka semuanya indah. Sebagaimana pasangan suami isteri yang lain, mereka mengecapi bahagia yang diimpikan selama ini.

Walaupun rumah tangga mereka tidak dilimpahi kemewahan lantaran kedua-dua mereka hanya bekerja biasa-biasa, tetapi sinar kebahagiaan yang mereka harapkan sentiasa bernyala di hati masing-masing.

Zaimah bekerja sebagai promoter di sebuah pusat membeli-belah manakala Rashid pula bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang berhampiran tempat tinggal mereka di pinggir ibukota.

Setahun melayari rumah tangga, pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata. Namun ia tidak sedikitpun merencatkan kebahagiaan yang mereka kecapi.

Bagi Zaimah, setahun melayari bahtera rumah tangga tanpa cahaya mata umpama ruang waktu yang diberikan untuk berusaha mengumpul pendapatan agar mereka benar-benar bersedia sebelum dikurnakan cahaya mata.

Setahun berlalu tanpa cahaya mata. Tahun kedua pun berlalu tanpa cahaya mata. Waima sedikit gusar, namun Zaimah reda. Rashid juga tidak pernah merungut, bahkan selalu memberi kata-kata semangat kepada Zaimah agar terus bersabar dan reda dengan ketentuan Allah.

Setelah dua tahun rumah tangga mereka berlalu tanpa tanda-tanda akan hadir ahli baru, tahun ketiga menjadi detik yang indah bagi Zaimah setelah dia disahkan hamil.

Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba jua. Hati Zaimah berbunga bahagia. Zaimah sangat bersyukur kerana cahaya mata yang diharap menjadi pelengkap kebahagiaan dalam rumah tangganya bakal hadir.

Pengalaman baru hamil untuk pertama kali itu bagi Zaimah cukup indah, walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran.

Sakit pening, penat lelah mengandungkan cahaya mata pertama bukan satu bebanan kerana di hatinya penuh dengan rasa keterujaan serta tidak sabar untuk menimang cahaya mata.

Zaimah juga cukup teruja kerana Rashid sentiasa di sampingnya di saat dia memerlukan kekuatan dan semangat untuk menghadapi cabaran sebagai wanita hamil.

Tiba waktunya, Zaimah selamat melahirkan cahaya mata pertamanya, seorang bayi perempuan.

Airmatanya kesyukuran membasahi pipinya tatkala pertama kali menatap wajah anak pertamanya itu.

Untuk melalui tempoh berpantang, setelah berbincang suami isteri, mereka bersetuju untuk Zaimah berpantang di kampung agar Zaimah dan bayi mereka lebih terjaga.

Hampir sebulan Zaimah berpantang di kampung, semuanya berjalan lancar. Walaupun berjauhan dengan Rashid, tetapi mereka selalu berhubung melalui telefon. Tiada apa masalah yang berlaku.

Zaimah tidak sabar menghabiskan tempoh berpantang dan kembali ke pangkuan Rashid.

Zaimah begitu teruja untuk menjalani kehidupan sebagai ibu bapa bersama Rashid dan membesarkan anak mereka bersama-sama.

Bagi Zaimah, rumah tangganya kini telah sempurna kerana cahaya mata yang ditunggu-tunggu telah hadir sebagai pelengkap kebahagiaan mereka.

Namun, takdir Tuhan tiada siapa yang mampu menelahnya. Setelah sebulan berpantang, suatu hari Zaimah menerima pesanan whatsapp dari suaminya yang terasa seperti racun sedang mengalir di segenap saraf tubuhnya yang masih lemah.

Sepotong ayat yang ringkas “Maaf, kita terpaksa bercerai. Saya ceraikan awak dengan talak satu.”

Zaimah hampir pitam tatkala membacanya. Tanpa disedari raungan deras terpancul dari mulut Zaimah hingga mengejutkan ibunya yang ketika itu sedang mendodoikan bayinya di buaian.

Seluruh keluarganya terkesima tatkala mengetahui apa yang telah berlaku. Hanya airmata yang menjadi teman tanda simpati terhadap apa yang berlaku kepada Zaimah.

Zaimah dan keluarganya cuba untuk bersemuka dengan Rashid namun tidak berjaya.

Rashid telah berpindah dari rumah yang mereka sewa. Mereka mencari Rashid di tempat kerjanya, namun diberitahu bahawa Rashid telah berhenti kerja.

Keluarga Zaimah juga telah bersemuka dengan keluarga Rashid namun mereka juga tidak tahu apa yang berlaku. Menurut mereka Rashid telah lama tidak menghubungi mereka, apatah lagi balik ke rumah keluarganya.

Zaimah bingung. Tidak tahu apa sebenarnya telah berlaku sehingga Rashid bertindak sedemikian.

Kini setelah hampir setahun berlalu, Zaimah pasrah. Zaimah membujuk hati untuk reda dan tabah menghadapi dugaan melanda. Bagi Zaimah demi anak yang masih tidak mengerti apa-apa, dia harus kuat untuk menghapi semua ini.

Waima tanda tanya di sebalik apa yang berlaku masih belum terurai, namun Zaimah nekad untuk terus melihat ke hadapan.

Zaimah tidak mahu terus dibelenggu persoalan yang sehingga kini belum ditemui jawapannya. Andai ditakdirkan semua itu akan terus berlalu tanpa sebarang jawapan, Zaimah reda.

Bagi Zaimah masa depan diri sendiri dan anaknya yang lebih penting berbanding jawapan kepada tanda tanya yang telah ditinggalkan oleh Rashid.

Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masingnya dari limpahan kurnia-Nya.
Dan sesungguhnya Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Bijaksana.(Surah al-Nisa’: 130)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya