Kerja anjal sudah lenyap? - Utusan Malaysia

Kerja anjal sudah lenyap?

Walaupun waktu Covid-19 lalu kita membuktikan ramai dalam kalangan pekerja boleh berkerja anjal, namun sekarang hampir semua beroperasi di pejabat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kalangan warga Kuala Lumpur kesesakan jalan raya atau bukan perkara luar biasa. Kalau lengang dan tidak sesak, baharulah ia menjadi bahan cerita untuk dibualkan.

Namun situasi ini memang jarang sekali berlaku. Kalau terjadipun mungkin pada musim perayaan. Itupun tidak lama, sebelum kembali sesak seperti sedia kala.

Suatu laporan menyebut warga kota mensia-siakan sekurang-kurangnya tiga jam sehari, menempuh jem. Tidak kira dengan kenderaan sendiri mahupun awam.

Sebelah pagi waktu pergi kerja dan sebelah petang waktu pulang daripada kerja. Itu belum lagi dikira waktu malam atau kala keluar bersiar dengan keluarga pada hujung minggu.

Berbicara soal kesesakan jalan raya, selalunya tidak ada jawapan selain daripada ‘ia adalah makanan warga kota’. Hari ini situasinya makin teruk. Sukar bertemu janji dengan kawan pukul berapa ingin bertemu, sebab jem. Waze dan googlemap pun kadangkala gagal menjangka kesesakan jalan.

Walaupun waktu Covid-19 lalu kita membuktikan ramai dalam kalangan pekerja boleh berkerja anjal, namun sekarang hampir semua beroperasi di pejabat.

Kemudahan kerja anjal tidak lagi berlaku walaupun dalam sektor kerja tertentu, boleh sahaja melakukan kerja daripada mana-mana lokasi asalkan ada capaian terhadap internet dan kemudahan teknologi yang lain.

Begitupun tidak ramai yang boleh menerima konsep kerja dari rumah. Konsep yang kita faham, bila kerja dari rumah, ramai yang akan curi tulang.

Tepuk dada tanya selera. Namun memukul rata semua pekerja itu sama adalah sesuatu yang tidak adil.

Realitinya, perlaksanaan kerja anjal dan boleh kerja dari rumah memudahkan pekerja. Tidak perlu membazir waktu mengharungi kesesakan jalan raya.

Duduk di pejabat lebih daripada lapan jam seharipun bukan jaminan 100 peratus waktu dihabiskan dengan bekerja.

Hari ini kita kembali kepada proses kehidupan sebelum munculnya virus Covid-19 yang bersesak-sesak bukan setakat di jalan raya tetapi di pasaraya, kedai-kedai makan dengan harapan diri tidak terdedah dengan virus lagi.

Prosedur Operasi Standard (SOP) pun sudah kita semakin lupakan. Mana mungkin dengan kawan-kawan nak menjaga jarak lagi?

Hanya dipremis tertentu sahaja SOP dipatuhi, selebihnya terpulang kepada diri sendiri.

Hari ini Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) pula diperkatakan.

Walaupun orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat-tempat yang berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam, tetapi di mana-mana sahaja ada keluarga membawa keluarga berjalan atau keluar makan seolah-olah tidak reti duduk diam.

HFMD menyebabkan banyak taska dan pusat asuhan ditutup.

Bila kena kuarentin dan berulang ke klinik dan hospital, yang akan rugi bukan sahaja keluarga, tetapi majikan yang perlu membiayai kos perubatan.

Dalam hal ini terpulang kepada kesedaran majikan. Kita pekerja ini hanya mengikut arahan.

—-
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita,
Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya