SHAGUFTA Tabassum Ahmed bersetuju untuk melanjutkan pengajian perundangan atas nasihat kedua ibu dan bapanya, biarpun sebenarnya dia langsung tidak meminati bidang tersebut.
Namun, persepsinya berubah apabila bapanya mati dibunuh.
Menerusi wawancara bersama BBC, Shagufta menceritakan bagaimana dia berjuang selama 16 tahun untuk mencari keadilan bagi kematian bapanya lalu mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Memori dari hari saya terima berita bahawa bapa saya, Dr. Taher Ahmed mati dibunuh masih jelas dalam ingatan. Saya masih ingat bilik yang saya duduki, namun tidak dapat ingati siapa yang berada di dalam bilik itu.
“Saya masih ingat telefon berdering dan abang saya di talian memaklumkan, bapa saya sudah ditemukan dan di dibunuh,” katanya.
Jelas Shagufta, masih jelas bagaimana reaksi ibunya sebaik sahaja bapanya disahkan mati dibunuh, iaitu menangis sepuas hati.
Katanya, dia dan keluarganya hanya mampu duduk diam dengan wajah sugul apabila dimaklumkan mayat bapanya ditemukan dalam tangki septik di Universiti Rajshahi, iaitu tempat kerja bapanya sebagai pensyarah dalam bidang geologi dan perlombongan.
“Tidak lama selepas itu, kami sekeluarga mula bersuara, saling bertanya dan mempersoalkan apa sebenarnya yang berlaku? Bagaimana bapa saya boleh dibunuh dan yang paling penting, siapa pelakunya?
“Bapa saya hanyalah seorang pendidik yang sanggup berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam daripada beli kereta mahal.
“Dia juga merupakan seorang pensyarah yang berdedikasi dan sanggup buat apa sahaja bagi memastikan pelajarnya menerima ilmu secukupnya. Tapi, siapakah yang berdendam dengannya sehingga sanggup membunuhnya?,” soal Shagufta.
Wanita itu memberitahu, kesemua persoalan tersebut merupakan titik permulaan mimpi ngeri buat mereka sekeluarga.
SEBELUM KEJADIAN
Dua hari sebelum kejadian berlaku, iaitu pada hari Rabu, 1 Februari 2006, Shagufta memberitahu bapanya menaiki bas dari Dhaka ke Universiti Rajshahi.
Katanya, bapanya suka suasana di kampus yang sibuk dan meriah, selain mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah di dalam kawasan kampus ketika Shagufta dan abangnya masih kecil.
“Saya dan abang, Sanzid akan berjalan kaki ke sekolah setiap pagi dan menghabiskan waktu petang di taman permainan bersama anak-anak pensyarah di universiti berkenaan,” jelasnya.
Tidak lama kemudian, Shagufta dan abangnya berpindah ke Dhaka dan Sanzid mula bekerja di jabatan sumber manusia di sebuah syarikat perniagaan multinasional.
Bagi Shagufta, ibu dan bapanya menasihatkan dia supaya belajar perundangan untuk menjadi peguam.
Shagufta hanya mengikut cakap ibu dan ayahnya tanpa ada niat di hati untuk bergelar peguam. Dia sebaliknya mempunyai cita-cita untuk menyertai pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa atau menjadi pendidik.
Cerita wanita itu, pada minggu kejadian, bapanya datang ke Dhaka untuk melawat mereka selama beberapa hari pada 1 Februari 2006 sebelum kembali semula ke Rajshahi.
Pada 2 Februari 2006, bapanya sepatutnya menghadiri satu mesyuarat bagi membincangkan isu berkaitan rakan sekerjanya, Dr. Mia Mohammad Mohiuddin yang didakwa melakukan plagiat dan perbuatan itu dikesan oleh bapa Shagufta.
Sebelum ini, mereka berdua merupakan rakan karib di universiti tersebut.
Namun, bapa Shagufta tidak menghadiri mesyuarat itu dan dia juga tidak ditemukan di rumahnya dan perkara itu segera dimaklumkan kepada isterinya.
Ibu Shagufta meminta Sanzid segera pergi ke Rajshahi dan mayat bapa mereka ditemukan pada keesokannya, 3 Februari 2006 di dalam tangki septik yang terletak di taman di universiti tersebut.
SIASATAN BERMULA
Shagufta menceritakan, kes pembunuhan bapanya mendapat liputan meluas media di Bangladesh, malah keluarganya juga menjadi tumpuan pelbagai pihak.
Kata, dalam tempoh beberapa minggu, polis menahan enam individu termasuk Dr. Mia dan penjaga universiti, Jangir Alam bagi membantu siasatan dan didakwa membunuh bapanya.
Ketika dibicarakan, seorang daripada suspek yang bertugas di universiti mengakui Dr. Mia mengarahkan dia dan saudaranya membunuh bapa Shagufta dan mereka dijanjikan bayaran lumayan, namun Mia segera menafikan tuduhann itu.
Pada 2008, empat tertuduh disabit kesalahan dan dikenakan hukuman mati dan dua lagi dibebaskan, namun empat tertuduh berkenaan membuat rayuan supaya hukuman mati mereka dibatalkan.
Biarpun keluarganya penat dengan ‘perjuangan menuntut keadilan bagi kematian bapanya’, mereka tetap meyakinkan Shagufta untuk menghabiskan pengajian sehinggalah pada 2011. Mahkamah Tinggi membenarkan ikat jamin untuk Dr. Mia dan dia dibebaskan, selain mengupah 10 peguam untuk terus membebaskannya dari pertuduhan membunuh.
“Saya tamatkan pengajian pada 2012 dan terus memulakan perjaya dalam bidang guaman. Saya nekad untuk mencari siapa pembunuh sebenar bapa saya dan tegakkan kebenaran.
“Pada 2013, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman mati kepada Dr. Mia dan Jangir, manakala dua lagi dipenjara seumur hidup. Namun, Mia dan Jangirlah dalang pembunuhan bapa saya,” katanya.
TUNGGU 16 TAHUN
Shagufta bergelut dengan pelbagai kesukaran dan berusaha pelbagai cara untuk mengheret Dr. Mia ke muka pengadilan sehinggalah 5 April 2022.
Pada tarikh itu, barisan panel hakim di Mahkamah Agung diketuai oleh Hakim Hasan Foez Siddique memutuskan Dr. Mia bersalah dalam kes pembunuhan bapa Shagufta, sekali gus hukuman mati terhadapnya dikekalkan.
Selepas keputusan itu dibacakan, Shagufta membuat kenyataan mewakili keluarganya dan memaklumkan, mereka berasa lega dan bersyukur dengan keputusan tersebut.
“Tiada apa yang mampu kami ucapkan selain hanya bersyukur dengan apa yang berlaku. Kami sudah menunggu selama 16 tahun untuk saat ini.
“Kematian bapa saya sudah terbela dan saya ingin berterima kasih kepada ibu dan ayah kerana sebab merekalah saya menjadi peguam dan mengheret pembunuh bapa saya ke muka pengadilan,” ujarnya.