Biasakan rakyat dengan harga berubah-ubah - Utusan Malaysia

Biasakan rakyat dengan harga berubah-ubah

NOOR AZLAN GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
RUNGUTAN demi rungutan diluahkan rakyat ekoran peningkatan kos sara hidup terutama barangan keperluan.
Terbaharu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus sehingga mencetuskan pelbagai polemik berkaitan situasi ekonomi terkini.
Bagi mendapatkan perspektif tersebut, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurugambar, FAIRUS ROSADIO menemuramah bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pakar ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali bagi mendapatkan jawapan lanjut.

MINGGUAN MALAYSIA: Adakah keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) merupakan satu tekanan yang dilihat memberi implikasi kepada ekonomi?
NOOR AZLAN: Pertama kita harus faham bahawa OPR adalah pelaksanaan berkaitaan polisi moneteri BNM. Jadi ia polisi fiskal dan kawalan harga. Apa yang agak hangat sekarang adalah polisi dasar monetari. BNM dan bank di dunia umumnya mengawal polisi kecairan dalam ekonomi.
Prinsipnya begini. Kerendahan OPR menyebabkan inflasi tinggi kerana banyak yang mampu untuk berbelanja.Tapi dalam masa sama, ada gangguan kepada bekalan. Sebagai contoh sebelum ini pun saya ada berbincang dengan produk Apple yang mengakui ada gangguan pengeluaran disebabkan bekalan komponen kurang. Apabila bekalan tidak cukup dan permintaan banyak ia akan jadi inflasi dengan harga terus meningkat.
Walau apa pun, secara asasnya jawatankuasa MPC akan buat penilaian ekonomi dalam negara dan daripada situ barulah keputusan seterusnya dibuat. Yang jadi perdebatan adalah pada kadar sangat rendah sebelum ini, adakah wajar ia dinaikkan? Ia untuk mengurangkan peningkatan ketara kadar inflasi atau harga barangan di samping mengukuhkan semula nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Sebenarnya keputusan menaikkan OPR adalah mencabar kerana ia dibuat dalam tempoh pemulihan dan keseimbangan ekonomi mengikut konteks antarabangsa serta tekanan inflasi. Kita mahu mencari keseimbangan disamping tidak mahu rencatkan pertumbuhan. Perlu diingat, keputusan negara besar mempengaruhi kedudukan Malaysia . Di AS mereka berhadapan kadar inflasi yang semakin meningkat. AS dan negara besar dunia turut mengetatkan dasar kewangan dengan menaikkan faedah dan kurangkan penawaran wang. Ia antara faktor untuk kawal inflasi di sana.

INFLASI TURUN

Bila jangkaan Prof. turunnya inflasi?
Ia mengambil masa lama untuk mengawal inflasi kerana biasanya inflasi yang cuba dikawal ini adalah demand pull (permintaan meningkat). Inflasi kita juga disebabkan sebab kadar tukaran dan import lemah.

Dengan kadar tukaran mata wang Ringgit yang lemah pada masa sekarang adakah wajar jika ia ditambat?
Saya lebih cenderung kadar tukaran asing yang bebas bergerak mengikut kuasa pasaran. Apabila ditambat, nilai mata wang sebagai tanda kepada kedudukan ekonomi akan hilang.Kadar tukaran wang asing adalah harga.
Sebagai contoh RM6,000 per telefon atau erti kata lain sebuah telefon. Begitu juga dengan RM5 per 1 USD. Saya berpegang kuat pada harga dan ia perlu bergerak mengikut kuasa pasaran yang adil. Begitu juga dengan harga ayam sebagaimana menjadi isu baru-baru ini.

Maksud harga barangan lain, ayam juga tidak perlu harga lantai?
Ya. Saya cenderung untuk tidak buat kawalan harga. Sebenarnya kita perlu faham mengapa harga naik. Kerana ia bergerak mengikut pasaran yang adil. Lain ceritanya jika ada manipulasi seperti sorok barang. Untuk jadi negara maju perlu biasakan rakyat kita hidup dengan harga berubah-ubah (bukan sebab manipulasi).
Di Malaysia kita terperangkap dengan minda yang salah, nak murah. Pada mereka murah itu bagus. Bila berpaksikan pada murah lihat apa yang terjadi? Kita tidak fikir nak tingkatkan produktiviti. Halia sebagai contoh. Kita masih mahu import walhal kita boleh tanam. Tapi disebabkan hendak murah kita sanggup import dengan mengetepikan pendapatan lebih tinggi untuk petani. Bagaimana kita mahu jadi negara maju dan pendapatan lebih tinggi tapi dalam konteks nak murah dengan mengikut cara lama?

JADI MACAM SRI LANKA

Adakah Malaysia berkemungkinan akan menjadi seperti Sri Lanka jika hutang negara naik berterusan?
Isu kedudukan fiskal dijadikan modal politik. Hubungan hutang kepada peratus Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) kepada kekayaan ekonomi tidak mutlak. Negara kaya hutang mereka tinggi. Hutang kita cecah lebih 50 peratus daripada KDNK.Malaysia dulu hutang lagi banyak tapi orang kita tidak lihat data.
Tahun 80-an dulu hutang negara lagi tinggi. Masalahnya ada orang tafsir hutang negara macam hutang peribadi. Negara kita dulu negara miskin sekarang negara kita hendak ke arah negara berpendapatan tinggi. Negara dan orang berbeza. Negara makin lama makin tinggi kapasiti. Jadi, saya rasa tidak tepat mahu merumuskan secara terus hutang itu buruk.

GST PERLU ADA?

Dengan nilai tukaran mata wang yang rendah, adakah wajar dilaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semula dalam masa terdekat?
Kalau sanggup lupakan politik dan melihat kepada keperluan mengapa tidak diperkenalkan? Tapi sebenarnya kaedah pelaksanaan GST yang boleh innovasikan. Kalau di AS setiap negeri kadarnya berbeza-beza. Sebenarnya polisi awam di negara kita perlu lebih inovatif.
Sebab apa? Saya ambil contoh gaji minimum. Kalau gaji RM1500 untuk keseluruhan satu negara ia tak betul. Apa jadi kalau meniaga di kedai runcit di Batu Kurau tapi gaji RM1,500? Sepatutnya perlu ikut kawasan. Begitu juga dengan garis paras kemiskinan dan bantuan selain takrifan golongan berpendapatan rendah (B40) itu sendiri.
Di bandar dan pedalaman kos sara hidup tidak sama. Tapi kita pukul rata. Semua yang gaji dikategorikan B40 dapat bantuan walhal individu itu duduk di pedalaman dan boleh dikategorikan orang senang kerana kos sara hidup. Lalu bantuan diberikan.
Adilkah diberikan bantuan kepada B40 yang duduk di pedalaman ? Jangan ajar rakyat semuanya akan diberi bantuan. Lagi banyak orang dapat bantuan secara terus lagi banyak kita tahu ia adalah salah.
Macam mana hendak cakap negara maju kalau 40 peratus masih terima lagi bantuan? Jadi, saya berpandangan kalau mahu perkenalkan GST ikut negeri atau kawasan. Yang penting sistem itu ada. Kadar boleh disesuaikan. Pernah saya cadangkan kenapa tidak gunakan GST ikut wilayah. Ia boleh sebarkan pertumbuhan dan tidak hanya tertumpu kepada bandar besar sahaja. Kawasan yang dikategorikan kurang bagus kita rendahkan GST.
Begitu juga garis B40. Gunakan istilah pendapatan selesa mengikut wilayah atau negeri. Selain itu, kita perkenalkan konsep ikut kemanusaian dalam petunjuk ekonomi. Contoh awak bekerja dan tidak menganggur. Tapi kalau gaji sikit apa maknanya? Kita laporkan kadar pengangguran turun 4.2 peratus. Kita tanya tak gaji dia berapa? Berjuta pekerja kita berpendapatan rendah.
Konsep bersyukur kena ada tetapi jiwa tak tenteram. Kerajaan perlu tahu adakah rakyat Malaysia hidup selesa. Hendak jadi negara maju tak patut cakap pasal miskin. Kalau ada hujung bulan fikir kurang duit itu tak selesa. cara lama tak betul kita ukur dan nilai tak betul akhirnya kita buat polisi salah.

SUBSIDI BERSASAR

Melihat kepada keadaan ekonomi sekarang adakah wajar pelbagai subsidi ditarik balik?
Subsidi hendaklah bersasar. Semua barangan untuk subsidi bersasar perlu jelas dan mengandungi empat perkara iaitu kenapa kita perlu beri subsidi, siapa kita nak beri subsidi, bagaimana nak kenal pasti mereka yang beri subsidi dan sehingga bila nak beri. Jika tiada jawapannya kita terperangkap. Jika awak pakai motor besar awak bayar tol? Tidak. Kerana penetapannya adalah mengikut kenderaan bukannya berkonsepkan ekonomi. Konsep subsidi ini tidak perlu dihapuskan tapi dirasionalisasikan.
Bantuan tidak boleh selamanya dalam hidup. Sebanyak 40 peratus rakyat perlu dibantu dan ia jumlah banyak dan bagaimana kita hendak cakap kita negara maju kalau masih ramai terima bantuan? Sudahlah GST tiada. Yang bayar cukai pula kurang daripada separuh dan yang hendak ditanggung pula adalah 32 juta rakyat.

HARGA BARANG NAIK

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan 60 peratus harga barangan naik. Komen Prof?
Kalau betul-betul mahu meredakan kos sara hidup, kita tumpukan kepada tiga perkara sudah cukup. Pertama makanan, kedua rumah dan ketiga pengangkutan. Ia satu kesilapan apabila kita terjemahkan mereka yang berkereta yang akhirnya menjerat kita dengan hutang selama sembilan tahun.
Di luar negara orang tidak beli kereta dan lebih selesa menggunakan kenderaan awam. Tapi di sana kenderaan awam mereka efisen dan setiap saat dikira. Begitu juga makanan. Kita terlepas dalam bidang pertanian yang sepatutnya kita beri penekanan sebelum ini, tapi sebaliknya kita tumpu pada perindustrian. Untuk sektor perumahan pula, kita tidak boleh lagi jadikan ia sebagai pelaburan sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi .
Kalau di Hong Kong rumah yang tidak terjual akan dikenakan cukai. Denda pemaju yang tidak boleh jual projek perumahan.

SESUAIKAH PRU-15 MASA INI?

Wajarkah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat ketika rakyat merungut berkenaan peningkatan kos sara hidup?
Mahu atau tidak tahun depan perlu buat. Tapi apa beza sebulan atau dua. Sebenarnya, ekonomi dan kestabilan politik satu keperluan yang sangat utama untuk bangunkan negara. Dalam tempoh empat tahun tiga perdana menteri sudah cukup untuk beritahu kerajaan kita tidak stabil. Kalau awak jadi pelabur, berani masuk ke negara yang tidak stabil? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya