Wanita dan beg tangan bagaikan isi dengan kuku. Bukan sahaja berfungsi membawa pelbagai barang peribadi tetapi turut menjadi lambang gaya dan kedudukan ekonomi mereka.
Tidak kira apa jenama, kecil atau besar, beg tangan sudah menjadi satu kemestian setiap kali wanita melangkah keluar daripada rumah sama ada untuk ke pejabat, acara rasmi atau santai.
Malah pada masa ini orang lelaki terutama golongan muda pun sudah ramai membawa beg tangan tetapi dengan bentuk lebih maskulin, seperti beg bimbit, beg sandang atau galas.
Bijak memilih beg tangan yang sesuai boleh menambah sentuhan gaya dan penampilan lebih menyakinkan buat wanita mahupun lelaki. Ia seperti pakaian yang perlu digayakan dengan selesa dan secara tidak langsung membuatkan kita gembira.
Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, tentu ada yang sedang mencari tas tangan sesuai untuk digayakan dengan baju tradisional seperti baju kurung dan kebaya mahupun jubah.
Pada asasnya, beg berpotongan ringkas, serasi untuk sebelah siang manakala untuk malam, pilih gaya yang lebih elegan dengan tatahan hiasan batu atau manik.
Berikut enam tips dan perkara perlu dipertimbangkan dalam memilih beg tangan.
#1Selesa digayakan
Pastikan ia selesa apabila digalas di bahu dan tidak membuatkan bahu terasa sakit atau kerap terjatuh daripada bahu.
Cuba sangkutkan tali beg di bahu dan berjalan-jalan di dalam kedai untuk pastikan ia benar-benar selesa dibawa. Perhatikan juga talinya yang mungkin terlalu panjang atau pendek sehingga mengganggu kebebasan bergerak.
Kadang-kadang ada beg yang cantik dan menarik perhatian tetapi mungkin ia tidak selesa apabila digayakan sehingga menghalang anda bergerak bebas kerana talinya kerap terlondeh daripada bahu.
#2elakkan beg yang berat
Beg yang kosong sepatutnya tidak berat apabila disangkut pada bahu, dibimbit, disilang atau ketika disandang di belakang. Ia seharusnya membuatkan anda rasa seperti tidak membawa beban di bahu atau tangan.
Beg kulit biasanya agak berat ditambah dengan kemasannya pada tepi atau bahagian tali beg yang kadang-kadang diperbuat daripada besi yang boleh menambahkan berat beg berkenaan.
Jadi, sebelum membelinya, cuba bawa dulu tanpa sebarang barang atau objek di dalamnya untuk mengetahui berat sebenar beg berkenaan. Kalau kosong pun sudah berat, bayangkan bila sudah diisi dengan pelbagai barang nanti.
Beg yang berat juga dikhuatiri mengganggu postur tubuh dan lama kelamaan boleh menyebabkan tulang belakang bengkok atau bahu senget sebelah. Sudah tentu anda tidak mahu ini berlaku. Jadi, sebaiknya elakkan beg berat.
#3 Poket beg
Lebih banyak poket dalam beg lebih baik? Terpulang kepada anda sama ada mahukan yang banyak poket atau satu atau dua poket saja. Jumlah poket di dalam beg juga bergantung kepada keperluan anda. Biasanya lebih banyak poket membuatkan lebih banyak benda dimuatkan di dalamnya termasuk benda yang tidak perlu sehingga tisu terpakai pun diselitkan berbulan didalamnya sehingga hancur.
Cukuplah kalau ada poket untuk simpan pelitup muka, tempat letak telefon bimbit dan kunci kereta. Poket di luar beg mungkin berguna untuk simpan kunci kereta tetapi ia berisiko membuatkan ia tercicir tanpa disedari.
#4Beg berzip
Beg berzip antara yang menjadi pilihan ramai wanita kerana lebih selamat apabila dibawa ke mana saja. Kalau beg terjatuh pun, barang-barang didalamnya tidaklah terkeluar.
Begitupun, pilih beg yang zipnya tidak tersangkut-sangkut apabila dibuka dan ditutup bagi memudahkan anda bila mahu mengambil barang di dalamnya. Cuba buka dan tutup zip beg yang ingin dibeli bagi memastikan ia tidak menyusahkan anda kelak.
#5tona mudah dipadankan
Selain bentuk beg, anda juga perlu pertimbangkan pilihan warna sesuai supaya mudah dipadankan dengan pakaian, tudung mahupun kasut digayakan.
Mungkin rekaannya ringkas dan praktikal tetapi yang penting mempunyai warna yang memikat mata memandang.
Beg hitam boleh ditambah dengan aksesori bagi menjadikannya lebih versatil dan tidak membosankan. Kalau pakaian yang digayakan pun menggunakan warna asas seperti putih atau hitam, beg yang dibawa akan tampak lebih menonjol.
#6Rekabentuk dan saiz beg
Sesetengah wanita memiliki satu beg tangan sahaja untuk digayakan setiap masa tanpa mengambil berat pun sesuai atau tidak.
Setiap beg ada fungsi tertentu untuk digayakan mengikut kesesuaian suasana atau majlis yang dihadiri. Contohnya beg untuk majlis petang atau malam tentu saja berbeza dengan beg yang digayakan ke pejabat.
Sebaiknya cari beg yang didatangkan dengan rekabentuk dan saiz yang versatil iaitu boleh digayakan untuk semua situasi. Beg yang tidak terlalu besar atau kecil, umpamanya sesuai dibawa ke pejabat atau majlis rasmi serta acara makan malam.