Kita selalu diingatkan untuk berfikir sebelum melontar kata-kata. Takut kalau kata-kata itu mengguris hati orang lain.
Pepatah Melayu turut mengingatkan perihal komunikasi menggunakan bahasa yang elok dan baik dengan terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya.
Waktu ingatan itu dikarang hubungan pastilah secara bersemuka. Namun dalam situasi hari ini yang ramai daripada kita menatap media sosial, keadaannya pun lebih kurang sama sebenarnya. Yang berbeza hanyalah medium perhubungannya iaitu dalam talian.
Ramai orang menuntut untuk lantang bersuara dan hak bersuaralah kononnya, namun tak faham mengenai pengertiannya. Kalau nak bersuara, perlu ada adab dan dilakukan pada tempat dan saluran yang betul juga.
Bukannya menulis sesuka hati tanpa memikirkan imlikasi tulisan kita itu kepada orang yang kita kata itu. Contohnya banyak dengan terbaharu membabitkan seorang pensyarah yang dikatakan menghina golongan B40. Betul atau tidak banyak bergantung kepada penerimaan individu.
Yang mengeluarkan kata-kata itu pun seorang pendidik yang bertaraf mak-mak. Terasa? Rapuhnya hati.
Menilai individu menerusi klip video pendek, bukan sahaja tidak adil untuk orang yang kita tonton itu, tetapi pada diri kita yang menulis komen.
Komen yang tidak beradab dan sesedap rasa sudah pasti menghiris hati empunya diri. Dia pun tiada ruang untuk mempertahankan dirinya.
Cuba bayangkan ia berlaku kepada diri kita? Sedang kita bercakap dengan anak sambil memegang penyapu dan cekak pinggang, lalu ia di videokan. Sedangkan kita memang jenis bercakap kuat jenis ‘telan microphone’ dan waktu itu memang mahu mengemas rumah. Pasti orang ingat kita nak penyapukan anak pula? Lagaknya pula tak manis, maklumlah hanya berada di rumah.
Tetapi itulah dunia fitnah yang bermaharaja lela hari ini. Dengan bentuk kerja menulis inipun, memang jiwa kena kuat dengan komen-komen nista. Seolah-olah kerja kita memang mencari dosa dan khalayak sahaja yang maksum?. Sedangkan kita tulis dan tegur sebab sayang.
Ingatlah, daripada Sayyidina Anas RA daripada Nabi SAW bersabda: Tidak akan beriman seseorangpun di kalangan kamu (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.(Hadis Riwayat Imam Bukhari). Salam Ramadan.
NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.