Tak sah tunai zakat fitrah lepas solat raya? Ini antara soalan yang pernah ditanya. Sebenarnya pandangan sedemikian disandarkan kepada sebuah hadis daripada Ibnu Abbas r.a yang bermaksud:
Barangsiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum solat (eid) maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah solat (eid) maka itu hanya dianggap sebagai sedekah dari berbagai-bagai sedekah (biasa). (Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Majah)
Memang ada pendapat menyimpulkan hukum menunaikan zakat fitrah selepas solat raya, maka ia sudah menjadi sedekah biasa. Namun begitu, perbahasan fikah mengenainya perlulah melihat kepada dalil lain yang lebih luas.
Dalam kitab Hukum Zakat, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi memetik pelbagai pendapat dalam kalangan fuqaha mazhab mengenai status waktu pembayaran zakat fitrah, sama ada diawalkan atau dilambatkan sehingga melewati solat raya. Hasilnya, para fuqaha membahagikan waktu menunaikan zakat fitrah itu kepada lima fasa, iaitu:
Waktu harus – bermula sebelum masuknya Ramadan.
Waktu sunat – bermula dari satu Ramadan sehingga hari terakhir Ramadan.
Waktu wajib – bermula dari malam satu Syawal hingga solat hari raya didirikan.
Waktu makruh – bermula dari selepas solat raya hingga terbenam matahari satu Syawal.
Waktu haram – bermula terbenam matahari 1 Syawal sehinggalah ke seterusnya.
Berdasarkan pembahagian waktu ini, para fuqaha sepakat bahawa pembayaran zakat fitrah selepas solat hari raya masih lagi dikira sebagai zakat fitrah dan tidak berubah menjadi sedekah biasa. Ia hanya menjadi makruh.
Ada hadis yang dijadikan dalil bahawa zakat fitrah itu boleh dibayar sepanjang hari pada 1 Syawal, selagi belum masuknya 2 Syawal, iaitu Abu Said al-Khudri r.a, menyatakan yang maksudnya: Pada zaman Rasulullah SAW, kami (para sahabat) mengeluarkan satu sha’ makanan di hari raya Aidilfitri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata, zahir hadis ini menunjukkan zakat fitrah boleh ditunaikan sepanjang hari dalam 1 Syawal (dalam tempoh 24 jam).
SAH SYAWAL
Imam as-Syafie juga menyatakan hukum menunaikan zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri adalah sunat. Namun masih sah ditunaikan selagi dalam tempoh 1 Syawal.
Selain itu, hal ini juga disandarkan kepada keumuman hadis, ‘cukupkan mereka (kaum fakir miskin) pada hari itu’ yang hakikatnya membawa maksud tempoh atau julat masa menunaikan zakat fitrah adalah lebih luas (sepanjang satu Syawal).
Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya, Fath al-Bari, (Hukum Zakat, hal. 960).
Di samping itu, Imam as-Syaukani pula menyatakan, apa yang dimaksudkan menjadi sedekah itu adalah pahalanya, bukan perbuatannya.
Ertinya, pahala sudah diturunkan darjatnya kepada pahala sedekah, kerana ia mencanggahi amalan nabi yang memerintahkan zakat fitrah dikeluarkan sebelum solat eid (raya), (rujuk pandangan Imam as-Syaukani di dalam kitab Nail al-Authar, Hukum Zakat, hal. 960-961).
Dr. Yusuf al-Qaradawi akhirnya menyimpulkan, pandangan majoriti ahli fiqh dalam isu mengeluarkan zakat fitrah selepas solat raya adalah makruh semata-mata dan ia masih sah sebagai zakat fitrah, bukannya menjadi sedekah biasa. (Hukum Zakat, hal. 960).
HUKUM TERLUPA
Bagaimana jika seseorang itu terlupa atau sengaja menangguhkan bayaran zakat fitrah sehingga melewati 1 Syawal dan masuk 2 atau 3 Syawal?
Orang yang terlupa atau sengaja mengabaikan pembayaran zakat fitrah sehingga melewati 1 Syawal wajib mengqadakan zakat fitrahnya itu dengan segera.
Ini kerana, setiap amalan fardu atau wajib yang ditinggalkan sama ada terlupa atau disengajakan, maka wajib diqada.
Qada zakat termasuklah qada zakat fitrah dikiaskan kepada qada solat. Ia berdasarkan hadis sahih daripada Anas bin Malik r.a, iaitu maksudnya: Jika salah seorang di antara kamu tertidur atau dia terlupa dari solat, maka hendaklah dia solat ketika dia ingat (yang dia belum mengerjakan solatnya). (Riwayat Muslim)
Maka, orang Islam yang mengabaikan zakat fitrah hingga melepasi 1 Syawal, wajib mengqadanya dengan segera.
Namun ada yang bertanya, bukankah bila melepasi waktu 1 Syawal, maka sudah masuk waktu haram.
Jawapannya, ia bukan haram dalam membayar zakat tetapi bermakna orang yang tidak membayar zakat fitrah itulah yang berada dalam keadaan haram.
Semakin lama dia menangguhkan bayaran zakat fitrahnya, maka dia akan terus berada dalam keadaan haram. Maksudnya, dia akan terus dalam keadaan berdosa.
Mari bandingkan dengan orang yang lalai mengerjakan solat, sehingga masuk waktu haram. Adakah dia terlepas dari mengerjakan solatnya?
Jawapannya, tidak. Malah dia wajib segera mengerjakan solatnya pada ketika itu juga, kerana semakin lama dia melalaikan solatnya, maka selama itulah dia berdosa. Inilah pandangan jumhur fuqaha mazhab Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah.
Samalah dengan zakat fitrah. Jika dia teringat pada hari ke-14 Syawal atau bulan Zulhijjah sekali pun, maka wajib dia membayar zakat fitrah itu pada masa itu juga.
Tidak perlu menunggu hingga masuk Ramadan akan datang baru mahu mengqada zakat fitrahnya.
Seperti mana orang yang ingin mengqada solat Zuhur, dia boleh melakukannya pada bila-bila masa dan tidak tertakluk kepada waktu Zuhur sahaja.
Maka, jangan tangguhkan mengqada zakat fitrah jika sudah terlupa. Dosa mengabaikannya akan terus bertambah pada setiap hari, hinggalah orang itu segera melunaskannya.
Lebih menakutkan jika orang itu meninggal dunia dan dia belum sempat menunaikan zakat fitrahnya, lalu dia kembali kepada Allah SWT dalam keadaan berhutang.
Sementara itu, bagi umat Islam di Selangor, boleh melayari https://fpx.zakatselangor.com.my/ dan pilihlah QADA ZAKAT bagi melunaskannya. Tidak ada pilihan button Qada Zakat Fitrah, kerana button Qada Zakat adalah bersifat umum bagi tujuan semua orang boleh mengqadakan apa sahaja zakatnya di situ, termasuk zakat fitrah.
Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS).