Lebih banyak komplen daripada komen membina - Utusan Malaysia

Lebih banyak komplen daripada komen membina

Ikutlah cara Rasulullah SAW yang lebih suka memuji daripada mencela. Makanan itupun merupakan rezeki yang diberikan Allah kepada setiap hambaNya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tengoklah ni, karipap oksigen. Harga mahal, isi tak de. Peniaga nak pergi balik hari ke Mekah agaknya’,”

Ini hanyalah sebahagian daripada status di media sosial mengenai juadah dijual di bazar Ramadan yang dikatakan mahal berbanding tahun sebelum ini.

Kalau tengok media sosial, komplen seperti ini memang bersepah. Lebih banyak komplen daripada berkongsi perkara baik berhubung hal keagamaan di bulan Ramadan ini.

Membaca komen setiap perkongsian status pun memang boleh menyirap darah membacanya. Apa lagi bila ada pihak yang memberi saranan bijak – pulangkan semula karipap oksigen tu depan muka peniaga.

Rakam dan viralkan.

Begitu sekali idea yang saya anggap gila dan keterlaluan sebahagian pengguna media sosial kita ini.

Kalau memberikan cadangan yang bagus dan meredakan kepanasan status pemilik akaun, tak pe lah juga. Ini sengaja bagai mencurah api ke minyak panas. Kalau ia benar-benar dilakukan bagaimana? Tak sedarkah mengenai implikasi kata-kata sedemikian?

Melihatkan laporan-laporan berita mengenai harga mahal, saya pun menyinggah ke sebuah bazar di Gombak.

Saya akui ada harga yang boleh tahan, tapi peliknya pengunjung tetap ramai. Nak membayar pun kena beratur panjang. Ia membuktikan pengguna kita mampu membayar dan memahami situasi harga meningkat waktu ini.

Pada saya sebahagian yang suka berkongsi dan komplen di media sosial ini sekadar meraih perhatian murahan dengan harapan peniaga insaf atas ‘jenayah’ dilakukan itu.

Bila peniagaan itu gulung tikar, mulalah memberikan tohmahan karma sebab aniaya pelanggan?. Puas hati agaknya bila ada pihak teraniaya tanpa memikirkan ini bulan Ramadan?

Jadilah pengguna yang jujur. Kalau tidak puas hati, tidak perlu tular dan sebarkan. Kalau anak-anak melihat perangai ibu dan ahli keluarga sebegitu, bagaimana? Boleh jadi peniaga terlepas pandang.

Sebab kadangkala peniaga yang menjual makanan di bazar, bukan dia yang buat, tetapi dibekalkan orang lain.

Jika sesuatu makanan dibeli itu tidak disukai, kurang menyelerakan atau tidak sedap, perkara betul boleh dilakukan adalah berdiam dan menahan diri daripada mencela.

Nabi SAW tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya maka Baginda akan memakannya dan jika Baginda tidak menyukainya, maka Baginda akan meninggalkannya.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ikutlah cara Rasulullah SAW yang lebih suka memuji daripada mencela. Makanan itupun merupakan rezeki yang diberikan Allah kepada setiap hambaNya.

Begitupun dalam hal ini peniaga wajib jujur dan telus berniaga.

Tetapkan spesifikasi sajian tertentu sebelum membenarkan peniaga meletakkan menu di bazar atau kedai anda.

Sebabnya kalau tidak menepati selera orang ramai, sudah pasti nama anda yang buruk.

NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya