Layanan tidak adil sebab bertudung – Halima Aden - Utusan Malaysia

Layanan tidak adil sebab bertudung – Halima Aden

HALIMA Aden mencipta gelombang populariti dalam industri fesyen antarabangsa apabila menjadi supermodel pertama dunia yang memakai hijab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HALIMA Aden mencipta gelombang populariti dalam industri fesyen antarabangsa apabila menjadi supermodel pertama dunia yang memakai hijab.

Wanita berusia 24 tahun itu juga pernah menghiasi muka depan majalah fesyen terkenal seperti Vogue.

Malah, Halima juga merupakan wanita berhijab pertama menjadi model untuk majalah sukan Amerika, Sports Illustrated.

Dia juga pernah memperagakan pelbagai koleksi pakaian pereka terkemuka dunia di pentas peragaan di Minggu Fesyen Milan, London, New York dan Paris.

Namun dua tahun lalu, ketika berada di puncak populariti, model kelahiran Somalia-Amerika itu mengumumkan persaraan dari dunia fesyen.

Halima menerusi Twitter mengakui merasakan sudah hilang identiti diri dalam industri yang tidak sesuai dengan pegangan agamanya.

Halima mendedahkan sering berasa kecewa apabila waktu solatnya terganggu akibat jadual penggambaran tidak menentu.

Malah, dia pernah dipaksa melupakan seketika imejnya sebagai model muslimah dan berhijab apabila pernah disuruh mempergayakan seluar jeans di kepala dan itu melanggar prinsip hidupnya.

Pada September tahun lalu, Halima kembali semula ke dunia peragaan namun dia meletakkan syarat agar dapat kekal setia kepada imejnya sebagai model berhijab.

Halima menjadi duta jenama global untuk Modanisa yang merupakan peruncit fesyen sopan khusus Muslimah yang mementingkan aurat dan hijabista.

“Saya mahu kembali bekerja dengan syarikat yang berkongsi nilai teras sama dengan saya.

“Amat penting bagi saya untuk kembali dengan syarat sendiri dan saya berasa syukur kerana berpeluang melakukan perkara mengikut cara saya,” katanya dalam satu temubual kepada Page Six Style.

LATAR BELAKANG
Halima dilahirkan di kem pelarian Kakuma di Kenya selepas keluarganya melarikan diri ketika perang saudara di Somalia.

Dia tinggal di kem pelarian selama tujuh tahun sebelum berpindah bersama ibunya ke St. Cloud, Minnesota di Amerika Syarikat (AS) pada 2005.

Halima yang ketika itu menggunakan bahasa ibundanya Somali, memasuki sekolah dengan sistem percakapan bahasa Inggeris dalam kurikulumnya.

Bagaimanapun, dia berjaya menangani masalah itu dengan mengambil kelas bimbingan bahasa Inggeris ketika di Sekolah Tinggi Apollo.

Halima meraih perhatian dunia apabila muncul sebagai wanita pertama menyertai pertandingan Miss Minnesota 2016 dengan imej berhijab.

Dalam pertandingan ratu cantik itu, Halima mengenakan baju renang muslimah dengan pelbagai warna berbeza dan berjaya mara hingga ke peringkat semi final.

CIPTA KERJAYA
Setahun kemudian, Halima menandatangani kontrak peragaan bersama agensi model terbesar dunia, IMG selama tiga tahun.

Dalam klausa kontrak itu, Halima dijanjikan ruang berasingan bagi membolehkannya menukar pakaian secara privasi ketika penggambaran dan pertunjukan fesyen.

Klausa kontrak itu turut menekankan bahawa penampilan Halima tidak akan tersasar daripada imej wanita berhijab.

“Kontrak peragaan ini diimpikan oleh ramai gadis namun saya sedia melepaskannya sekiranya syarat-syarat tersebut tidak diterima,” katanya dalam satu temubual bersama BBC.

Sejak itu, Halima memperoleh pelbagai peluang termasuk dipilih menjadi model berhijab pertama bagi menghiasi muka depan majalah Vogue Arabia, Allure, Teen Vogue dan British Vogue.

KEPUTUSAN BERSARA
Memang benar, tidak semuanya indah dalam dunia fesyen.

Di sebalik populariti diraih dalam industri peragaan, Halima mengakui berasa tidak senang hati memikirkan imej hijab yang disarungkan dan bagaimana dia digambarkan dalam sesi fotografi untuk jenama terkenal.

Halima mendedahkan bidang fesyen masih belum memahami golongan wanita berhijab.

Dia mendakwa beberapa pereka gaya berasa kurang selesa dengan penampilan dirinya.

Ada yang cuba meremehkan imej hijab dibawanya dengan menggantikannya dengan pakaian lain untuk mengubah penampilan sebenarnya.

“Saya terpaksa bersetuju untuk mengenakan sepasang seluar jeans keluaran syarikat berkenaan di atas kepala sebagai menggantikan tudung.

“Cara mereka menggayakannya ternyata jauh sekali berbeza daripada imej sebenar saya.

“Penampilan saya sebagai wanita Islam berhijab semakin mengecil sewaktu penggambaran tersebut,” katanya kepada BBC ketika mengumumkan persaraannya.

Pada ketika itu katanya, ibunya tidak gemar dia berkecimpung dalam industri peragaan yang hanya mementingkan kecantikan luaran semata-mata.

Kata Halima, dia dan ibunya juga sering berbincang mengenai kepercayaannya, identiti dan tanggungjawabnya sebagai role model kepada wanita Islam.

“Bukan mudah menjadi minoriti dalam kalangan komuniti kecil malah sebagai wanita Islam berketurunan Amerika Somalia dan bekas pelarian, saya mempunyai banyak identiti yang membentuk diri saya,” katanya.

Di sebalik ‘kemelut dalaman’ yang berterusan, Halima sedar berada dalam situasi terpaksa ‘bertolak ansur’ dengan kepercayaannya atas nama fesyen.

Namun, tidak lama kemudian, Halima tidak dapat berkompromi lagi apabila sepupunya meminta bimbingannya untuk menyertai dunia fesyen.

“Saya menjadi panik. Saya tidak mahu sepupu saya berdepan masalah sama, saya sedar ini bukan industri selamat untuk wanita muda yang berhijab.

“Ketika saya menolak untuk membantunya, saya juga bertanya pada diri sendiri ‘mengapa saya masih berada dalam industri yang tidak cukup selamat untuk semua wanita’.

“Setelah itu, saya membuat keputusan untuk berundur dari dunia peragaan kerana tidak mahu hipokrit,” katanya.

Sebelum meninggalkan industri fesyen, Halima berkongsi sekeping gambar penggambarannya dengan Rihanna’s Fenty Beauty dalam laman media sosial.

Dia juga memuat naik hantaran tertera (Rihanna) izinkan saya memakai hijab yang saya bawa ke set penggambaran, inilah ‘wanita’ yang ingin saya kembali, Halima yang sebenar’.

KEMBALI SEMULA
Walaupun ibu Halima dikatakan menjadi salah satu punca kepada persaraannya, wanita itu juga merupakan antara sebab Halima kembali semula ke industri peragaan.

“Ibu adalah penguat semangat saya. Ibu juga adalah orang pertama yang menasihati saya untuk tidak berputus asa dan kembali dengan kuat dan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kini saya menggunakan platform ini dengan cara tersendiri tanpa melampaui batasan dan pegangan hidup.

“Ibu merupakan peminat dan penyokong terbesar dalam kehidupan saya,” katanya.

NASIHAT
Sepanjang penyertaan semula dalam industri fesyen, Halima menggunakan platform berkenaan untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi kisahnya.

Dia juga bekerjasama dengan beberapa syarikat yang hanya selaras dengan kepercayaannya.

Halima berharap agar dapat menjadi role model kepada wanita dengan menggalakkan mereka kekal setia pada diri sendiri.

“Jangan berkompromi dengan identiti, berbangga dengan asal usul anda.

“Tetapkan batasan yang jelas dan sekiranya ia diganggu, tampillah bersuara,” nasihatnya untuk wanita yang mahu menceburi dunia glamor itu.

Halima turut percaya tiada apa yang mustahil sekiranya tidak cepat berputus asa dan sentiasa mencari jalan untuk meneruskan usaha. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya