Kematian anak jadi kekuatan Febfi Setyawati - Utusan Malaysia

Kematian anak jadi kekuatan Febfi Setyawati

Segala-galanya bermula selepas wanita kelahiran Jakarta itu diuji dengan kehilangan anaknya, Akara Haykal yang meninggal dunia akibat gangguan neurologi yang jarang berlaku iaitu sindrom Moebius.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MUNGKIN akan ada hujan lagi setelah pelangi. Namun, ku yakin pelangi tak pernah ingkar janji. Pasti ada masa indah dan masa sulit yang silih berganti.”

Itu petikan kata-kata motivasi yang pernah dimuat naik oleh seorang aktivis Indonesia dalam media sosial sehingga usaha murninya mencuri tumpuan dunia, dua tahun lalu.

Masakan tidak ketika berusia 27 tahun, Febfi Setyawati sudah tersenarai dalam carta 100 Wanita Berpengaruh 2020 yang dipilih portal berita United Kingdom, BBC.

Pemilihan itu berdasarkan pelbagai latar belakang dengan melihat bagaimana seseorang wanita memimpin perubahan dalam sesebuah komuniti.

Febfi duduk sebaris dengan wanita lain dari seluruh dunia yang bergelar saintis, pakar kesihatan, ahli politik, pelakon, arkitek dan figura lain.

Sumbangannya kepada masyarakat menerusi Yayasan Untuk Teman Indonesia (untukteman.id) yang diwujudkan pada 2019 memberi impak besar sehingga diiktiraf di peringkat dunia.

Segala-galanya bermula selepas wanita kelahiran Jakarta itu diuji dengan kehilangan anaknya, Akara Haykal yang meninggal dunia akibat gangguan neurologi yang jarang berlaku iaitu sindrom Moebius.

Sindrom Moebius adalah masalah saraf yang menyerang beberapa bahagian otak yang berfungsi untuk mengendalikan otot-otot pada wajah, rahang, mulut, lidah dan kelopak mata.

Kondisi ini membuat penderitanya sukar menunjukkan ekspresi wajah, bahkan tidak mampu tersenyum, mengangkat atau mengerutkan bulu kening.

Sindrom ini berlaku kepada bayi sejak lahir sehingga menyukarkan mereka untuk makan, minum dan bercakap.

Febfi kerap mengalami masalah ketika mengandungkan Haykal dan kerap berulang alik ke hospital.

Pengalaman itu jadi pencetus buat dirinya mewujudkan platform bagi membantu golongan wanita yang mempunyai anak dengan penyakit kronik termasuk individu yang pernah dijangkiti Covid-19.

Sasarannya adalah golongan ibu bapa yang berdepan pelbagai kesukaran seperti masalah anak, kewangan, sokongan moral dan ilmu pengetahuan.

“Kalau dahulu, saya fokus membantu pesakit dan orang tua yang mengalami kesulitan ketika menjalani proses rawatan di hospital.

“Ketika ini, gerakan untukteman.id turut membantu mangsa jenayah,” katanya.

Menerusi yayasan itu, Febfi dan pasukannya turut membantu pelajar dalam komuniti mereka dengan membekalkan internet secara percuma dan perpustakaan bergerak.

“Kami juga menjalankan banyak aktiviti dalam usaha membantu literasi membaca kanak-kanak disebabkan kelas fizikal makin terhad akibat pandemik Covid-19,” katanya.

BINA RUMAH SINGGAH
Gerakan sosial yang dicetuskan oleh Febfi turut menerima banyak sokongan.

Dalam membantu individu yang mengalami kesukaran mengakses maklumat dan menghadapi masalah kewangan ketika mendapatkan rawatan kesihatan di hospital, Febfi dan rakan-rakannya menyediakan rumah singgah.

Rumah tersebut berfungsi sebagai tempat sementara bagi mereka yang memerlukan lokasi untuk menjalani aktiviti bersama keluarga ketika mendapatkan rawatan.

Bagi Febfi, menjadi aktivis sosial bersama untukteman.id bukan lagi tentang soal pilihan hidup kerana dia sendiri pernah diuji.

Katanya, ia lebih kepada perasaan ingin membantu individu lain agar mereka dapat menikmati peluang lebih baik dalam kehidupan.

Walaupun tidak memiliki pengikut berjuta-juta dalam Instagram, Febfi hanya berpegang kepada satu prinsip dalam hidup.

Katanya, dia sudah berpuas hati asalkan usaha murninya memberi manfaat kepada orang lain.

“Instagram itu bukan soal banyak atau sedikitnya pengikut, namun, seberapa besar hantaran kita bermanfaat untuk orang lain,” katanya.

HASRAT HASILKAN FILEM
Graduan Ijazah Sarjana Penciptaan Videografi dari Institut Seni Indonesia di Yogyakarta berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Sarjana kerana terdorong untuk menghasilkan sebuah filem.

Dia berharap usaha murninya selama ini akan memberikan manfaat kepada aktivis sosial lain, terutamanya kepada anak-anak yang mempunyai masalah kesihatan yang jarang berlaku.

“Saya ingin menghasilkan filem tentang pengalaman hidup sebagai ibu yang pernah mempunyai anak dengan masalah kesihatan yang rumit,” kongsinya yang tertarik dengan dunia penyiaran sejak zaman sekolah menengah lagi.

Menurutnya, bidang penyiaran merupakan medium untuk menyalurkan pelbagai maklumat lebih jelas kerana mengandungi suara dan paparan imej.

“Penyampaian sebuah mesej dan maklumat lebih mudah dengan paparan suara dan gambar kepada khalayak penonton.

“Sebab itu, saya berusaha mendalami bidang penyiaran menerusi pendidikan formal supaya dapat memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya