‘Kamaruddin’ punca pengikut naik 300,000 – Azroy - Utusan Malaysia

‘Kamaruddin’ punca pengikut naik 300,000 – Azroy

Azroy bukan ‘glamor’ dalam masa sehari, sebaliknya selepas lima tahun mengharungi cabaran sebagai penternak kambing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“IMPAK daripada kambing yang saya beri nama tular di laman media sosial, perniagaan saya menghadapi perubahan ‘luar biasa’. Permintaan meningkat dengan drastik hingga kandang saya berkembang pesat”.

Demikian jelas seorang penternak di ladang ternak Temasik Agro di Gombak Batu 9, Selangor.

Azroy Abdul Manaf, 38, tidak menyangka yang dahulunya hobi membela kambing untuk mengisi masa lapang, kini menjadi titik permulaan kejayaannya sebagai penternak di era teknologi ini.

“Saya dahulu bekerja sebagai pegawai pemasaran di dalam syarikat permotoran selama 12 tahun, dalam waktu sama saya mempunyai hobi membela kambing sekadar untuk mengisi masa lapang dan melepaskan tekanan selepas penat bekerja.

“Tetapi saban hari haiwan ternakan saya semakin bertambah, jadi saya putuskan daripada sekadar hobi berubah menjadi kerjaya sepenuh masa sejak 2017 dan meninggalkan industri sebelum ini untuk beri fokus sepenuhnya pada kerjaya sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, selepas video kambingnya bernama ‘Kamaruddin’ tular, laman sosial TikTok nya menerima pertambahan lebih 300,000 pengikut.

“Ladang saya semakin dikenali dan terkenal, sekaligus permintaan kambing meningkat dengan drastik,” katanya.

Beliau menyifatkan kambing yang mempunyai nama sebagai pembawa tuah.

“Dulu permintaan hanya ada untuk program akikah dan katering tetapi semenjak tular, permintaan untuk kambing adalah pelbagai. Tidak hanya akikah dan katering tetapi turut ditempah untuk buat makan-makan. Ada juga penternak lain beli sebagai bekalan, malah ada ingin menjadikan haiwan belaan,” jelasnya.

Bertarung lima tahun jual kambing sebelum ‘glamor’
Keunikan ‘Kamaruddin’ kerana ia tidak makan makanan kambing sebaliknya suka makan makanan manusia. Selain ‘Kamaruddin’ sebanyak 30 kambing ‘bernama’ lain tidak akan dijual kerana ingin menghargai pengikut media sosialnya sebaliknya hanya akan menjual kambing tidak bernama sahaja.

“Pernah ada pelanggan mahu membeli ‘Rocky’ dan ‘Pablo’. Tetapi disebabkan pengikut terlampau sayang kepada kambing itu, mereka menghalang saya menjual. Sebaliknya mereka juga berkongsi duit menggantikan duit pelanggan saya iaitu sebanyak RM3,500 untuk mengekalkan haiwan tersebut,” jelasnya.

Sokongan pengikutnya menerusi platform media sosial banyak membantu dari segi penjualan dan perkembangan perniagaan. Malah beliau turut bercadang mengeluarkan cenderamata buat penggemar kambingnya. Baju T-shirt ‘kambing yang aneh’ dan cawan antara produk yang dirancang untuk dikeluarkan.

Azroy bukan ‘glamor’ dalam masa sehari, sebaliknya selepas lima tahun mengharungi cabaran sebagai penternak.

Katanya, kepada mereka yang ingin ceburi bidang ternakan, jangan melihat kepada kemudahan atau kesenangan yang dia paparkan di laman sosial tersebut semata-mata. Sebaliknya lihat kepayahan dan usaha memajukan ternakan terlebih dahulu.

“Saya galakkan penternak menggu­nakan media sosial seperti saya kerana ia sejajar dengan peredaran masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya