Kelulusan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat yang membenarkan cuti paterniti selama tujuh hari kepada pekerja sektor swasta memang berita menggembirakan.
Pindaan tersebut juga memanjangkan cuti materniti atau cuti bersalin sektor awam dan sektor swasta masing-masing dari 60 hari dan 90 hari kepada 98 hari.
Kata mudahnya, cuti itu sebagai tambahan bagi memberi peluang si suami membantu dan memberi sokongan kepada isteri bersalin menguruskan keluarga dengan kehadiran ahli baharu.
Dah diberi cuti itu, manfaatkan dengan baik dengan membantu isteri. Lihatlah isu ini dengan hati terbuka dan implikasinya untuk jangka panjang.
Suami boleh memberikan sepenuhnya tumpuan kepada keluarga. Ibu boleh fokus kepada kesihatan bayi dan diri sendiri.
Pada masa sama penyusuan eksklusif dapat berlangsung dengan lancar.
Pemberian susu badan mencukupi pada tempoh itu membantu bayi lebih kuat dan ibu tidaklah risau menghantar anak ke rumah pengasuh dan taska bila habis berpantang.
Saya pun kadang-kala risau kalau lihat bayi yang masih merah sudah dihantar ke taska. Terlalu kecil dan bagaimana pengasuh mahu memberikan tumpuan terhadapnya?
Pada peringkat yang sekecil itu bayi perlu minum susu setiap dua jam. Walaupun tidur, mereka perlu digerakkan untuk minum.
Paling mustahak mengenai pindaan itu ialah ia memperlihatkan pengiktirafan peranan lelaki dan bapa dalam pembangunan keluarga dan rumahtangga.
Sebenarnya bapa muda hari ini, bukan lagi macam bapa dahulu yang kekok menguruskan bayi. Mereka sebaliknya lebih terbuka, seronok dan bangga dapat membantu isteri.
Media sosial menjadi saksi bagaimana perubahan kaum bapa di negara ini. Ia sesuatu yang sepatutnya kita galakkan kerana tanggungjawab membina keluarga adalah tanggungjawab bersama.
Sekitar tahun 70an memang benar orang selalu cakap mengurus anak tugas isteri, sebab ramai dalam kalangan isteri suri rumah sepenuh masa. Hari ini tidak lagi begitu.
Secara tidak langsung ia turut membantu pasangan menjalankan tanggungjawab bersama dalam pertumbuhan dan pendidikan anak-anak selain mengekalkan wanita dalam sektor pekerjaan.
Rumah adalah tempat terbaik untuk menghabiskan cuti berpantang.
Janganlah pula keluar makan angin atau berjalan ke mana-mana. Lebih-lebih lagi waktu Covid-19 yang belum benar-benar reda ini.
Saya katakan begini sebab saya selalu nampak ibu yang masih dalam pantang keluar membeli belah sambil mendukung bayi yang saya rasakan amat tidak wajar. Kenapa membiarkan si kecil ini terdedah ke tempat awam? Tak sempat sangat ke nak tunggu habis pantang?
———-
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.