Peniaga tiada pilihan, juadah di bazar Ramadan naik - Utusan Malaysia

Peniaga tiada pilihan, juadah di bazar Ramadan naik

Ramai peniaga menjangkakan menaikkan harga jualan sehingga 30 peratus pada Ramadan tahun ini susulan kenaikan banyak barang mentah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang ketibaan Ramadan awal bulan depan, peniaga di beberapa negeri menjangkakan terpaksa menaikkan harga juadah yang dijual di bazar-bazar bagi menampung modal harga bahan mentah yang terus melambung.

Bayangan kenaikan tersebut diluahkan peniaga dan persatuan peniaga di Kedah, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan yang terpaksa membuat pilihan sama ada bersedia menjual dengan harga makanan lebih mahal atau tidak berniaga.

Tinjauan Utusan Malaysia di Seri Kembangan, Selangor semalam mendapati harga ayam mentah jika tahun lalu sekitar RM8.99 sekilogram (kg) tetapi pada tahun ini kira-kira RM9.50 sekilogram.

Tepung gandum yang menjadi bahan asas untuk membuat kuih jika tahun lalu boleh dibeli dengan RM1.40 sekilogram tetapi tahun ini naik hingga RM2.40, telur ayam dari RM10.90 meningkat kepada RM13.60 untuk satu papan.

Bawang merah meningkat RM0.50 bagi setiap satu kilogram yang kini dijual sekitar RM7 sekilogram manakala bawang putih naik RM2 menjadikan kini banyak dijual sampai RM10 sekilogram.

 

Menampung kos

Di ALOR SETAR, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali berkata, harga makanan di bazar Ramadan di negeri ini dijangka meningkat antara 20 hingga 30 peratus bagi menampung kos peningkatan harga bahan mentah dan sewa tapak daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut beliau, kenaikan harga barang itu tidak dapat dielakkan bagi memboleh peniaga-peniaga mendapat sedikit keuntungan.

“Peniaga terpaksa menaikkan harga makanan, misalnya murtabak dulu RM3 sekeping tahun ini mungkin RM4, nasi ayam dulu RM4 sebungkus tahun ini mungkin RM4.50 atau RM5,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, peniaga terbeban dengan kenaikan barangan asas seperti telur ayam, bawang, kelapa, ayam dan daging yang melambung.

“Ini kerana, peniaga terpaksa menyediakan modal lebih besar untuk membuat persiapan berniaga makanan pada bulan Ramadan,” ujarnya.

Katanya, persatuan turut terkilan dengan tindakan PBT yang menaikkan harga sewa tapak bazar Ramadan sehingga mencecah RM260 pada tahun ini berbanding hanya RM150 pada tahun lalu.

Di SHAH ALAM, Naib Yang Dipertua 2, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor, Kamal Ahmad Abdullah berkata, peniaga negeri ini mungkin menaikkan harga jualan makanan antara 10 hingga 20 peratus.

Menurut beliau, ini kerana jika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna gagal menguruskan harga barang denan baik sehingga dijual mahal maka peniaga juga akan menaikkan harga makanan.

 

Kos sewa tapak

Selain itu, menurut beliau, kos sewa tapak untuk bazar tahun ini juga naik sehingga RM400 di kawasan-kawasan tertentu yang turut menjadi faktor kenaikan harga jualan nanti.

“Dahulu harga tapak sekitar RM200, tetapi kali ini di bawah PBT ada yang menjangkau sehingga RM400,” ujarnya.

Peniaga air di Semenyih yang sebagai Pak Wan berkata, dia yang menjual pelbagai jenis minuman termasuk air tebu sedang berkira-kira untuk menaikkan harga semua minumannya sekitar RM .50 sen bagi setiap sukatan 1 liter ketika berniaga di bazar Ramadan.

Kata peniaga berusia 50-an berkenaan, pendapatan peniaga bukan sahaja tidak pernah baik tetapi bertambah merudum apabila kenaikan harga barang asas tidak pernah turun.

“Suri rumah mengeluh, setiap hari pergi pasar terpaksa beli ayam dengan harga mahal, cili, telur dan ikan semua jenis pun lebih RM15 ringgit sekilogram,” kata Pak Wan.

Bagaimanapun, peniaga Mohd. Zamri Daud, 51, dari Kampung Rantau Panjang, Klang pula berkata, dia yang menjual pelbagai lauk pauk setiap kali Ramadan tahun ini `menyerah kalah’ tidak mahu berniaga lagi.

“Melihat harga barang mentah yang mahal dan kadangkala tidak ada, saya tidak mahu ambil risiko,” katanya.

Di SEREMBAN peniaga memaklumkan, kenaikan harga makanan dan minuman di Negeri Sembilan tidak boleh dielakkan kerana kenaikan kos dan harga barangan mentah yang terpaksa ditanggung peniaga.

 

Kenaikan harga

Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan (PPPKNS) Cawangan Daerah Seremban, Mohamad Yusoff berkata, kenaikan harga barang jualan di bazar Ramadan dijangka sekitar 10 peratus berbanding tahun sebelum ini.

“Harga barang mentah meningkat, hari-hari harga semakin naik dan itu yang sedang dihadapi oleh peniaga. Bagaimanapun, peniaga tahu di mana tahap dan setakat mana harga yang boleh mereka jual nanti,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen berniaga di bazar Ramadan dengan mengurangkan pembayaran lesen tersebut.

“Sebenarnya, menjelang bulan Ramadan, harga barangan lain turut meningkat seperti plastik pembungkusan, setiap tahun berlaku kerana pengeluar tahu permintaan terhadap barangan sebegitu tinggi dan selepas itu ia akan turun semula,” katanya.

Di PERAK , Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Negeri Perak mengakui bimbang ahli-ahlinya mungkin terpaksa menaikkan harga jualan makanan di bazar jika bahan mentah tidak turun.

Yang Dipertuanya, Asmadi Teh berkata, persatuan mahu kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga bahan mentah asas makanan.

“Kawalan harga dan stok bahan mentah inilah perkara paling utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan jika kita mahu memastikan peniaga tidak menaikkan harga jualan di bazar Ramadan,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya