Lelaki juga wajib ganti puasa, bayar fidyah - Utusan Malaysia

Lelaki juga wajib ganti puasa, bayar fidyah

LELAKI tidak boleh sengaja melakukan kerja berat supaya datang kepayahan sebagai alasan untuk berbuka puasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIBA sahaja bulan Ramadan pasti isu ganti puasa sering menjadi peringatan khususnya kepada wanita untuk menggantikannya sebelum terlambat.

Walhal ramai lelaki tidak mengganti puasa kerana sengaja meninggalkannya atau melakukan kerja berat.

Ujar Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustazah Nazirah Abu Bakar, lelaki mahupun wanita, kedua-duanya wajib untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan sama ada sakit, haid, bermusafir atau bekerja kuat pada siangnya.

“Jika seseorang itu lalai dan tidak mengganti puasa sehinggalah tiba bulan Ramadan yang berikutnya, maka berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan mengikut kebiasaan penduduk setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hukum ganti puasa adalah wajib diselesaikan melainkan dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid atau bermusafir.

“Niat puasa adalah bertujuan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan dan sekiranya seseorang itu sudah mula berpuasa ganti, maka tidak boleh membatalkannya atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa,” katanya.

BOLEHKAH MELAMBAT-LAMBATKAN GANTI?
Sungguhpun menggantikan puasa adalah wajib, tetapi ia boleh ditangguhkan selagi tidak masuk bulan Ramadan tahun akan datang.

Kalau melepasi tempoh tersebut dengan sengaja, hukumnya berdosa.

“Apabila seseorang tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang Ramadan yang berikutnya, maka menurut sebahagian ulama termasuk Mazhab Syafie, diwajibkan ke atas orang itu membayar fidyah di samping menggantikan puasa tersebut,” katanya.

Bagaimana, kata Nazirah sekiranya tidak pasti atau lupa jumlah hari puasa ditinggalkan, boleh diganti dengan membuat anggaran yang diyakini dan ganti berdasarkan jumlah tersebut.

Namun bagi mereka yang melambat-lambatkan ganti puasa hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan), maka dikenakan denda membayar fidyah dan wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan.

“Taksiran fidyah dibuat mengikut hari yang ditinggalkan, digandakan mengikut tahun yang ditinggalkan dan dibuat nilaiannya dengan kadar satu mud atau satu cupak.
(Hari yang ditinggalkan) x (tahun gandaan) x (satu cupak beras) = jumlah fidyah.

“Mengikut pandangan ulama, nilaian satu cupak beras ini boleh juga dijelaskan dalam bentuk nilaian ringgit yang serupa.

“Misalnya, kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sehingga 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM4,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ada sesetengah negeri, bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan berbanding di negeri yang lain, ia tidak berganda dan perlu merujuk Majlis Agama Islam Negeri atau Pusat Zakat Negeri masing-masing.

CARA GANTI PUASA BAGI LELAKI YANG BEKERJA BERAT
Tambah Nazirah, wajib ke atas orang yang meninggalkan puasa dengan sebab melakukan pekerjaan yang berat untuk qada atau ganti puasanya sebanyak hari yang ditinggalkan.

“Hal ini kerana, hukumnya adalah sama seperti hukum orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja. Oleh itu, lelaki yang meninggalkan puasa disebabkan melakukan kerja berat wajib menggantikan puasa,” katanya.

Merujuk kepada permasalahan ibadat puasa bagi orang yang melakukan kerja berat, Imam Ba’alawi menyebutkan, terdapat rukhsah bagi orang yang bekerja berat untuk berbuka puasa dengan syarat-syarat tertentu.

1) Kerja berat itu tidak boleh ditangguh selepas bulan Ramadan.
2) Kerja itu tidak dapat dilakukan pada malam hari.
3) Kepayahan puasa yang tidak mampu ditanggung menurut kebiasaan.
4) Wajib niat puasa pada tiap-tiap malam dan tidak boleh berbuka puasa melainkan setelah datang kepayahan.
5) Mestilah berniat rukhsah ketika berbuka puasa supaya membezakan antara puasa yang dibenarkan berbuka dan yang tidak dibenarkan.
6) Jangan disengajakan untuk melakukan kerja berat supaya datang kepayahan sebagai alasan berbuka puasa.

MENINGGAL DAN TIDAK GANTI PUASA
Disebutkan di dalam kitab Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafie, sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan, berpanjangan permusafirannya, pengsan, hamil, menyusu dan seumpamanya, maka ia tidak dikira berdosa.

“Tidak wajib ke atasnya menggantikan puasa sehinggalah dia meninggal dunia dan telah gugur hukum berpuasa buatnya.

“Sekiranya dia mampu untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan sama ada kerana uzur ataupun tidak, namun tidak digantikan sehingga meninggal dunia, menurut pandangan sebahagian ulama (al-Qadim) dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah wajib untuk menggantikannya,” katanya.

Namun jelas Nazirah, sekiranya tiada wakil dalam kalangan waris yang berpuasa, maka digantikan bagi hari yang ditinggalkan hari puasa tersebut dengan fidyah pada kadar satu cupak.

“Jika si mati tidak meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah,” katanya.

KIRAAN FIDYAH MENGIKUT PPZ MAIWP

Untuk memahami kaedah kiraan fidyah, sebagai contoh Fatimah meninggalkan puasa selama tujuh hari kerana haid pada Ramadan 2017. Berikut adalah contoh kiraan berdasarkan situasi:

Situasi 1
Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadan berikutnya pada 2018.

Formula Kiraan: Bilangan hari tidak berpuasa X kadar fidyah
7 hari x RM4 = RM28

Situasi 2
Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Dia tidak berpuasa pada Ramadan 2017 dan puasa ini masih belum berganti sehingga 2020. Fatimah berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah.

Formula Kiraan: Bilangan hari tidak berpuasa X kadar fidyah X bilangan tahun yang ditinggalkan (7 hari x RM4) x 3 tahun = RM84

TANGGAPAN SALAH KETIKA BERPUASA

Salah faham: Korek hidung membatalkan puasa.
Fakta: Tidak membatalkan puasa. Tetapi jika dibuat secara berlebihan sehingga sampai ke pangkal hidung atau kaisyum itu adalah dimakruhkan.

Salah faham: Berkumur dengan ubat kumur membatalkan puasa.
Fakta: Tidak membatalkan puasa sekiranya tidak berlebihan.

Salah faham: Makruh memakai minyak wangi sewaktu berpuasa.
Fakta: Diharuskan dan tidak termasuk perkara membatalkan puasa.

Salah faham: Titik mata atau ubat ke mata, telinga atau hidung membatalkan puasa.
Fakta: Menggunakan ubat titis mata, hidung, telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga) tidak membatalkan puasa.

Salah faham: Rawatan gigi membatalkan puasa.
Fakta: Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pemeriksaan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya