“Jika betul minat berlakon, minat kesenian. Perlu bersabar banyak dengan industri ini”
Itulah serangkap ayat yang keluar dari mulut pelakon berbakat besar, Sara Ali, ketika ditanya mengenai industri hiburan tanah air, pada masa ini.
Mengira sudah lebih satu dekad memahat nama, semestinya banyak pancaroba dan asam garam kehidupan yang sudah dilalui figura ini sebagai seorang anak layar.
Mengenali Sara Ali, apa sahaja watak yang diberikan kepada anak seni bertubuh genit ini, pasti akan dilunaskan sehabis baik.
Dia yang boleh dikira sudah banyak pengalaman dalam industri ini berpendapat, bakat baharu yang ingin mula mengorak langkah dalam industri pada masa kini perlu bersaing dari pelbagai sudut.
“Kerana mungkin, zaman saya masih okey lagi. Namun, pada zaman sekarang, persaingan adalah dengan media sosial, bakat dan rupa,” katanya ketika ditemu bual.
Mengulas lanjut, pelakon Kami Histeria ini juga menyatakan, jika benar seseorang itu mempunyai minat terhadap seni, perlu fokus dan tabahkan untuk menjadi seorang anak seni yang berjaya.
“Saya cuma mahu cakap, jika betul anda lakukan perkara ini kerana passion, fokus dan goal itu mesti ada.
“Saya percaya anda akan dapat apa yang anda mahukan dalam industri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Masih tak biasa dengan situasi.
Menerusi perkembangan terkini dia kini sedang sibuk menghabiskan pengambaran naskhah terbaharu berjudul Hotel Cahaya Bulan yang bakal ditayangkan pada Ogos ini.
Kongsi pelakon filem Songlap itu, dia akui sehingga hari ini, dirinya masih tidak biasa dalam mengadaptasi situasi sekarang terutama melibatkan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang rapi ketika di set pengambaran.
Tambah Sara, bimbang dengan kes harian virus Covid-19 yang dilihat semakin meningkat, dia perlu menjaga diri sebaik mungkin agar tidak menyusahkan orang sekeliling jikalau dijangkiti virus berkenaan.
“Cabaran terbesar dalam menjayakan naskhah ini adalah isu pandemik. Sehingga kini, saya masih tidak biasa dengan situasi yang kita perlu menjaga SOP.
“Ini kerana kita tidak pasti kan, mungkin soon or later, some of us terkena jangkitan virus tersebut. Jadi, ia risiko yang tinggi sebenarnya.
“Jika positif, bimbang menyusahkan orang. Bagi saya, itulah risiko dan cabaran harus dipikul,” katanya.
Kehadiran pembunuh secara senyap, virus Covid-19 yang bertahta di bumi selama hampir dua tahun ini telah merencatkan sektor ekonomi negara.
Ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, sekali gus memberi impak kepada industri kreatif tempatan yang turut sama terpalit.
Walau turut sama terjejas, Sara bagaimanapun menitipkan rasa syukur kerana kehidupannya kembali normal seperti sedia kala selepas kerajaan membenarkan industri kreatif bernafas semula.
“Tidak dinafikan, dua tahun sebelum ini ramai yang terjejas akibat pandemik ini. Selepas itu, kita sudah reboot dan mulakan semula, kehidupan saya kini normal seperti sebelum ini.
“Pada tahun 2020, tahap panik terhadap pandemik ini boleh dikatakan 100 peratus. Namun, pada waktu ini, saya rasa perkara itu sudah normal kerana anxiety sudah tidak terlalu teruk’,” tuturnya.
Mengulas lanjut, dengan berbekalkan suntikan vaksinasi Covid-19 yang diberi kerajaan, dia semakin berani untuk kembali bekerja seperti sebelum ini.
Namun, pelakon ini akan reda jikalau virus itu berjaya bertahta dalam tubuhnya pada kemudian hari.
“Kita pun semua sudah mengambil suntikan vaksinasi Covid-19, jadi saya percaya kepada kerajaan.
“Sekarang mungkin saya tidak dijangkiti lagi, namun saya tahu pada masa akan datang akan kena juga. Jadi, nak tak nak saya reda sahaja lah. Tetapi berharap tidak dijangkiti,” ujarnya.
Pertama kali bawa watak komedi
Seperti sudah jarang kali melihat figura ini mewarnai layar skrin tempatan seperti sebelum ini. Adakah sebab lambakan bakat-bakat baharu pada waktu ini?
Semestinya dan pasti, para peminatnya merindui dan ternanti-nanti kemunculan selebriti kesayanganya ini dalam naskhah tempatan.
Sara Ali sebelum ini sering kali dilihat membawa watak serius, kali ini dia tampil dengan karakter sulungnya sebagai wanita komedi yang diberi nama Ameera Abdullah, menerusi nakshah Hotel Cahaya Bulan.
“Saya memegang watak bernama Amirah Abdullah. Dia seorang gadis pulau dan anak tunggal. Bekerja di sebuah resort bertaraf lima bintang sebagai pekerja biasa.
“Ini adalah pertama kali saya membawa karakter komedi.
“Kadang kala perlu menjadi lemah, selepas itu dapat watak wanita kuat pula. Tetapi sekarang, saya dapat karakter yang kelakar pula. Apa pun, saya seronok berlakon” kongsinya.