MUKADIMAH
KETIKA tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya berbaki lima hari lagi, Presiden Pas, TAN SRI ABDUL HADI AWANG mengharapkan gelombang dari Sabah berlaku di negeri itu yang menyaksikan tiada mana-mana parti akan mendapat majoriti besar.
Beliau berkata, situasi yang menyebabkan pembentukan kerajaan hanya boleh dibuat jika parti-parti Melayu bergabung boleh berlaku jika pengundi muda, atas pagar dan bukan Islam yang tidak ekstrem memutuskan untuk keluar beramai-ramai mengundi Perikatan Nasional (PN), Sabtu ini.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau menjelaskan, Pas masih mahu bekerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) kerana kelemahan yang ada dalam parti itu berada di tahap ringan selain faktor bilangan kluster mahkamah dalam UMNO yang sedikit dan boleh dibilang dengan jari sahaja.
PERUBAHAN
UTUSAN: Bolehkah calon Pas yang bertanding 15 kerusi PRN Johor menang?
ABDUL HADI: Dilihat kepada majlis pelancaran gerak kerja pilihan raya yang saya hadir, kehadiran sangat meriah. Apa yang menarik ialah ramai pengundi muda yang datang, ini kita harap akan berlaku satu perubahan di Johor.
Untuk menarik pengundi muda, Pas (menerusi PN) menawarkan kestabilan dan penyelesaian masalah-masalah ekonomi termasuk mewujudkan peluang pekerjaan.
Seperti yang saya (selalu) sebut, UMNO/Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun, lama sangat, tentulah ada kelemahan-kelemahannya yang perlu dibaiki dan Pakatan Harapan (PH) pula mungkir janji-janji yang dibuat dalam manifesto mereka.
ABANG BESAR
Adakah ini bermakna Pas menolak UMNO termasuk kerana bimbang parti itu menjadi abang besar?
Saya tidak ambil kira cakap-cakap itu. Kita mengambil tanggungjawab bersama untuk selamatkan negara dengan kepimpinan Melayu Islam dan tak perlu abang besar, tak perlu apa-apa.
Saya melihat berdasarkan kepada apa yang berlaku di PRN Sabah, Sarawak dan Melaka, iaitu tiba masanya kerajaan mesti didominasi oleh orang Melayu Islam, itu sangat penting.
Jadi, untuk mendominasi, mestilah gabungan tiga parti besar Melayu Islam iaitu UMNO, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas bergabung, tak boleh UMNO bersendirian. Saya lihat apa yang saya hasratkan itu berlaku di Sabah pada PRN 2020.
Kebetulan Bersatu/PN mendapat kerusi yang banyak (17 kerusi) tetapi tidak boleh tubuh kerajaan dan bergabunglah dengan UMNO/BN (sebanyak 14 kerusi) dan parti-parti yang mesra PN (Parti Bersatu Sabah sebanyak tujuh kerusi). Pas juga diajak ikut serta dengan mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik (Setiausaha Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan).
Walaupun kita berbeza dengan UMNO tetapi di sana banyak titik-titik persamaan. Kita mengharapkan gelombang dari Sabah itu berlaku di Johor, iaitu (sokongan) pengundi muda, atas pagar termasuk bukan Islam yang tidak ekstrem. Kita mengharapkan satu perubahan berlaku di Johor.
KENANG BUDI
Ada penganalisis politik berpendapat Pas lebih cenderung kepada Bersatu kerana mengenang budi parti itu membawanya menyertai kerajaan Pusat?
Sebenarnya kita menerima dua-dua, PN dan MN. Yang perlu disedari, perubahan kerajaan daripada PH kepada PN ini diusahakan dahulu oleh Pas dan Bersatu.
Pada awalnya, saya berjumpa dengan pimpinan utama Bersatu, termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri supaya buat satu perubahan melalui Parlimen. Proses demokrasi dengan kita mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Islam dan yang tidak ekstrem dalam kalangan bukan Islam dan mendapat jumlah yang cukup, kita buat kerajaan campuran yang lain.
Ini kerana Pas sangat tidak senang dengan PH yang didominasi dalam kalangan liberal dan bukan Islam. Sebaik sahaja mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita melihat kenyataan-kenyataan yang sangat ekstrem yang mencabar Islam, raja-raja dan orang Melayu sendiri yang boleh menimbulkan ketegangan.
Cuma terdapat kekhilafan bila Tun (Dr. Mahathir) mahu buat kerajaan perpaduan melibatkan semua parti politik. Kita tak bersetuju kerana kalau buat kerajaan perpaduan, masih jumlah yang besar dalam kalangan itu (PH). Sebab itu, Pas mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (ganti Dr. Mahathir) dan beliau terima dan dapat jumlah yang cukup.
Kemudian kita jumpa Datuk Seri Mohamad Hasan (ketika itu Pemangku Presiden UMNO pada 2019), cadangkan perkara lebih besar lagi iaitu membuat perubahan dan mereka bersetuju. Lepas itu barulah UMNO ikut serta. Bila kita berjaya tubuh kerajaan, kita kena cari nama, buatlah PN. Nama itu kami sama-sama bincang
MABUK KUASA
Orang kata pemimpin Pas ini sudah jauh daripada agama kerana mabuk dengan jawatan dan diberi elaun oleh kerajaan?
Itu satu tuduhan yang tidak tepat. Kita pernah menyertai kerajaan, kita pernah dipecat daripada kerajaan dan kita parti yang tak mati bila keluar kerajaan. Kita terus hidup (walaupun tiada jawatan dalam kerajaan).
Banyak parti dalam negara kita yang tak perlu saya sebut, bila tak jadi kerajaan dia terus hilang, tinggal nama sahaja. Kita jadi parti yang makin maju, ahli dan pengikut kita makin ramai. Ada banyak dalam kalangan mereka yang mempunyai kelayakan untuk memerintah dan mentadbir negara.
TINDAKAN DISIPLIN
Boleh komen pengguguran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat dan Setiausaha Majlis Syura Ulama tanpa dipanggil Jawatankuasa Disiplin?
Itu adalah satu tindakan disiplin kerana kita melihat banyak salah laku yang bercanggah dengan amalan organisasi, di mana mengikut Fasal 85(9) Perlembagaan parti, Pas Pusat boleh mengambil tindakan disiplin terhadap ahli-ahli parti dan pimpinannya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Disiplin.
Saya sudah beri nasihat, berjumpa dengannya sebanyak dua kali. Jangan dia buat apa yang dia buat itu, itu salah kerana parti ini ada mesyuarat dan prosedurnya.
Yang ketiga, saya panggil, dia tak datang dan mesyuarat Pas Pusat sepatutnya dia ada, kita nak buat keputusan, dia tak datang juga. Kita terus ambil keputusan setelah berbincang dengan Majlis Syura Ulama.
Saya sendiri berbincang dengan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin tentang latar belakang majlis itu. Bila dilantik jadi setiausaha, dia cuba nak ubah majlis syura daripada asas sebenar.
Syura mengikut Perlembagaan, dia menjaga dasar parti. Masalah strategi parti, itu di peringkat pusat yang ada AJK Pas Pusat, Dewan Harian dan Jawatankuasa Politik.
Jadi, bila syura diheret dan nak buat strategi, itu sudah lari daripada landasan. Ini Mursyidul Am sendiri pun tidak senang dengan apa yang berlaku. Dengan sebab itu, saya memberi pandangan supaya satu tindakan disiplin diambil dan serah kepada Pas Pusat mengambil tindakan disiplin.
TARIK PELABUR
Sebagai Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri nampaknya lebih memberi tumpuan berjumpa wakil dari Afghanistan di Doha, Qatar pada awal Februari lalu. Bagaimana pula soal menarik pelabur Arab bagi memulihkan ekonomi Malaysia?
Saya laksanakan dua-dua sekali. Bukan sahaja berjumpa dengan wakil Taliban, malah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid Khalifa Abdul Aziz Al-Thani; Menteri Perdagangan dan Industri, Sheikh Mohamed Hamad Qassim Al-Abdullah Al-Thani dan Ketua Pengarah Qatar Fund for Development, Khalifa Jassem Al-Kuwari.
Jadi, dengan kesempatan itu, saya terus memberi pandangan sepatutnya Qatar utamakan negara Islam dari segi pelaburan. Jangan pandang ke Eropah dan Amerika Syarikat sahaja. Utamakan pasaran yang besar di Asia Tenggara yang jumlah umat Islam lebih 300 juta orang. Ini satu pasaran besar yang perlu dimanfaatkan.
Alhamdulillah, pandangan saya itu mendapat keputusan yang sangat positif.
UMNO MASIH ADA PEMIMPIN BERKALIBER
Bersetujukah dengan kenyataan Muhyiddin bahawa UMNO adalah parti kotor dan wajar ditinggalkan kerana mempunyai kumpulan kluster mahkamah?
Saya tahu itu kelemahan yang ada dalam UMNO. Kluster mahkamah ini bukan sahaja dalam UMNO, dalam PH pun ada kluster mahkamah. Cuma bezanya kluster mahkamah PH ini dibatalkan, sama ada yang tengah bicara dibatalkan mahkamah, tak perlu saya sebutlah ataupun yang sudah dihukum diberi pengampunan melalui proses-proses yang menjadi pertikaian.
Tetapi dalam UMNO ini, kluster mahkamah dibicarakan dan melalui proses mahkamah. Mengikut kaedah Islam yang juga dipakai oleh undang-undang British, orang yang dituduh di mahkamah dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan. Itu kaedah perundangan. Dengan sebab itu, kita anggap mereka masih tidak bersalah selagi tidak dibuktikan. Yang kluster mahkamah ini masih dalam proses perbicaraan.
Sebab itu, kita merasakan kelemahan yang ada dalam UMNO lebih ringan daripada yang ada dalam PH. Dengan sebab itu kita boleh menerima (UMNO). Apa lagi dalam UMNO, kluster mahkamah boleh dibilang dengan jari sahaja.
Jumlah (pemimpin UMNO) yang lebih besar bukan kluster mahkamah yang kita boleh teruskan urusan kerja kita. Kita tidak menolak dalam UMNO masih ada kepimpinan berkaliber yang baik yang diperlukan dan tak boleh kita singkirkan.
ITIK PATAH KAKI
Pas mahu meneruskan kerjasama menerusi MN tetapi kenapa Tan Sri sebut UMNO itik yang patah kaki dan malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri?
Ya, saya menyambut kenyataan veteran UMNO, bila saya nasihat supaya gabung ketiga-tiga parti ini. Seorang mengatakan tak perlu ajar UMNO ini, dia itik yang pandai berenang. Tak payah kita ajar berenang.
Veteran UMNO cakap begitu, jadi saya jawab secara spontanlah. UMNO dalam keadaan yang kalah, tak jadi kerajaan, kita mendukung, kita buat gabungan ini, berjaya dan memasukkan balik UMNO dalam kerajaan.
Kita kena sedar bahawa (kerusi) UMNO sahaja tidak cukup, Bersatu sahaja tidak cukup, mestilah gabungkan semua, barulah cukup. Kita mahu mengembalikan seberapa banyak kerusi yang PN ini boleh menang di atas gabungan ketiga-tiga parti yang tak ekstrem ini (dalam PRU15). Kalau boleh dapat majoriti dua pertiga. – UTUSAN