PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menitiskan air mata apabila peserta Big Stage 2021, Aisha Retno mendendangkan lagu Kesetiaan milik nyanyian Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, semalam.
Menurut Siti, dia tidak dapat lagi menahan rasa sebak apabila mengenangkan rakan artisnya itu yang telah dijemput Ilahi pada 9 Ogos tahun lalu akibat Covid-19.
“Saya teringat pada arwah, itu sahaja,” katanya bernada sebak.
Penyanyi lagu Kau Kekasihku itu tampil memberi reaksi tersebut selepas ditanya pengacara, Sherry Alhadad sama ada dia ingin mengucapkan sesuatu atau sebaliknya.
Selain Siti, penyanyi dan juga komposer, Ajai turut kelihatan sebak dan memohon para penonton sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan kesejahteraan buat arwah Siti Sarah.
“Sudah kebetulan mendengar lagu arwah, marilah kita sedekahkan Al-Fatihah untuknya.
“Ya Allah Ya Tuhanku, Al-Fatihah ini aku sedekahkan kepada arwah Siti Sarah Raissuddin. Ampunkan dosanya, jauhkan dari seksa kubur, luaskan serta terangkanlah kuburnya
“Sesungguhnya Ya Allah Ya Tuhanku, Kaulah yang pengasih lagi maha pengampun,” ujarnya.
Menjengah di platform media sosial, rata-rata warganet juga menzahirkan perasaan yang sama semasa penyanyi itu mengalunkan lagu berkenaan.