Mukadimah
Dalam keadaan politik tak stabil, ditambah pula serangan wabak Covid-19, semua itu memberi tamparan hebat buat kerajaan mengemudi bahtera tanah air. Memberi lebih cabaran adalah apabila langkah memberi dos penggalak pula, dilihat mendorong beberapa kes yang mendatangkan mudarat kesihatan kepada penerima suntikan.
Bagi mendapatkan perspektif, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ dan JUANI MUNIR ABU BAKAR menemu bual dengan veteran UMNO, TAN SRI TENGKU RAZALEIGH HAMZAH di kediaman beliau di Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Ia dibantu jurukamera AFIQ RAZALI serta juruvideo MOHD. FIKRI FADZIL.
Antara lain, beliau mendedahkan satu pergerakan untuk membangkitkan kembali UMNO asal yang lahir pada 1946, yang mana pernah dibatalkan pendaftaran pada 1988 oleh kerajaan ketika itu. Beliau turut mengulas isu kartel vaksin antarabangsa yang mencucuk jarum-jarum halus ke tanah air.
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah langkah UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU15, dan bolehkah bentuk kerajaan dengan majoriti mudah?
Saya berpandangan tiada parti mampu mendapat majoriti dalam pilihan raya akan datang. Kita boleh cerita macam-macam formula, tetapi saya rasa itu cerita dongeng. Dengan kemasukan 6.5 juta pengundi baharu, mereka lebih liberal, lebih berpandangan jauh ke hadapan, mereka tidak memikirkan soal kaum, soal benda-benda yang dahulu berlegar di fikiran kita, kerana mereka berfikir dengan cara lain dan lebih progresif. Jadi kesannya, mungkin kita terpaksa hadapi kerajaan campuran, dan itulah keadaan yang saya lihat akan wujud selepas PRU15.
Mungkinkah akan wujud satu bentuk dimensi politik baru yang mana rakyat tolak sistem berasas parti, sebaliknya akan pilih berdasarkan faktor calon?
Ya, dan ini khusus kepada personaliti dan keupayaan kepimpinan yang ada daya fikir, serta mampu memberi hala tuju kepada masa depan negara. Orang bawah akan menerima kehadiran mereka.
Sebelum ini beberapa teknokrat mengusul idea ‘Reset Malaysia’, adakah ini sebahagian daripada dimensi politik baharu?
Mungkin ya. Tetapi saya punya reset lain sedikit, ia mestilah berasaskan Islam, tidak boleh tolak Islam dan mesti berasaskan Melayu. Hal ini kerana demografi negara ini berasaskan Melayu. Kalau tengok unjuran pertumbuhan penduduk 25 tahun akan datang, Melayu akan menjadi majoriti dan mungkin berlebihan daripada angka sekarang. Saya nampak majoriti Melayu akan berkekalan dan kita tidak boleh lari, ketepikan faktor ini iaitu Melayu Islam.
Maksudnya, Tengku sendiri pun ada rancangan reset politik tersendiri?
Saya punya rancangan reset, pertama sekali Perdana Menteri perlu dipilih melalui pilihan raya. Sekarang berebut sesama sendiri, semua fikir layak. Tetapi kita hendak ikon yang boleh menjadi pemimpin kita, yang boleh betul-betul menonjolkan masa depan, bukan untuk kita tetapi untuk masa depan. Saya berpandangan, kalau layak sila bertanding untuk jadi Perdana Menteri seperti di Amerika Syarikat. Biarlah Perdana Menteri bertanding dan dapat pengesahan Parlimen dan kemudian dikemukakan kepada raja.
Kedua, sudah tiba masa kita kaji semula pembahagian hasil dalam negara, sebab sekarang semua hasil dipungut oleh kerajaan pusat. Jadi (pada masa akan datang), saya rasa hasil daripada tol, lesen kereta, minyak kena dibahagikan sama adil, dan ini mesti difikirkan semula. Sebab tanggungjawab negeri sudah bertambah.
Ketiga, undang-undang mengenai kehakiman mesti dipinda. Sebab sekarang ini, hakim dilantik Agong atas disyorkan Perdana Menteri, tetapi sebenarnya patut suruhanjaya diraja yang boleh mengesyorkan orang tertentu mesti diterima Parlimen sebelum dikemukakan raja-raja. Sebab pergi kepada Perdana Menteri, dia pilih orang dia. Jadi banyak keputusan condong memihak kepada pihak berkuasa.
Boleh jelaskan lebih lanjut?
Seterusnya pendidikan, kita semak semula, kita boleh benar sekolah Cina, sekolah India, namun kita akan ubah sistem pendidikan kita supaya buka kepada orang yang mahu belajar bahasa Perancis dan sebagainya, mereka boleh belajar. Namun, macam sekolah Cina dan sebagainya, kita kena kawal guru, kalau hantar guru tidak bagus ke sekolah Cina, ibu bapa tidaklah hantar anak-anak ke sekolah Cina misalnya, maka dengan sendirinya sekolah Cina akan sendu dan ibu bapa akan pergi ke sekolah aliran yang ditentukan kerajaan. Tujuan untuk menyatukan rakyat. Jadi kita harus perkasa sekolah kebangsaan, dengan memperkasa guru terlebih dahulu. Dan ada beberapa perkara lain yang akan dijelaskan dari semasa ke semasa.
MUNCULKAN SEMULA UMNO 1946
Bagaimana mahu gerakan agenda reset ini?
Ini benda besar, dan saya sebenarnya sedang menyusun semula UMNO. Saya akan berjumpa dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk beritahu bahawa tindakan mereka membatalkan pendaftaran UMNO yang didaftarkan dalam tahun 1946 dulu, adalah salah.
Kenapa salah?
Ini kerana tiada dalam undang-undang yang memberi mereka kuasa membatal pendaftaran sesebuah parti, dan mereka hanya sembilan kuasa di bawah akta mereka, dan membatalkan parti bukan salah satu dari sembilan kuasa mereka. Hanya ahli-ahli yang boleh batalkan parti, dengan mengadakan mesyuarat agung, kemudian meluluskan usul untuk batalkan parti.
Siapa yang arahkan RoS batalkan pendaftaran UMNO dulu?
Mereka telah menerima arahan yang salah daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu, iaitu Dr. Mahathir Mohamad. Kerana beliau ada berkepentingan, sebab beliau waktu itu mahu tubuhkan UMNO baharu. Apabila beliau anggap UMNO yang didaftar pada 1946 dianggap haram, sedangkan itulah UMNO asal, maka beliau minta Pendaftar Pertubuhan ketika itu supaya membatalkan pendaftaran UMNO asal 1946. Saya tidak akan tubuhkan parti baharu, apa yang saya mahu ialah agar pendaftaran UMNO asal 1946 itu dibuat semula. Kena faham, bahawa UMNO baharu didaftarkan semula pada 1988. Sedangkan kita merdeka atas usaha UMNO pada 1957, bukan UMNO 1988. Itu sebab keputusan di mahkamah waktu itu tak betul, dalam terma undang-undang disebut ‘nullity’, maksudnya tak sah.
Apa tujuan daftarkan semula UMNO asal versi 1946, dan apa kaitan gerakan reset yang disebutkan tadi?
Kenapa saya mahu wujudkan semula UMNO versi asal? Sebab mahu membetulkan keadaan, saya mahu kembalikan UMNO yang sebenar, supaya nama dan imej UMNO, yang terpalit rasuah dan sebagainya itu boleh dibersihkan semula. Kesannya nanti, kita akan dapat semangat lama dan yang asal untuk membetulkan perjalanan UMNO. Untuk pengetahuan, segala kerosakan sekarang ini adalah berpunca dari UMNO baharu, yang mulakan sistem Malaysia Incorporated, pegawai kerajaan pun boleh berniaga dan beli saham, itu semua salah. Tapi kita kena betulkan. Sebab, UMNO lama tak akan benarkan ini semua berlaku.
PENYOKONG RESET BAHARU
Siapa yang bersama gerakan ini?
Orang-orang UMNO lama. Antaranya Bekas Ketua Pemuda UMNO 1978-1982 iaitu Datuk Suhaimi Kamaruddin, Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir, kemudian Tan Sri Mohd. Yussof Latiff dan ramai lagi. Mereka ini adalah ahli jawatankuasa pro-tem (jawatankuasa sementara), malah kita dah ada bahagian-bahagian di seluruh negara.
Apa strategi jika UMNO baharu enggan bersama dalam gerakan ini?
Kalau UMNO baharu ini tak mahu bersama dengan kita, maka kita akan hidupkan usaha jawatankuasa pro-tem ini. Jadi kalau perlu, kita akan lawan dalam pilihan raya. Namun hakikatnya, kita sebenarnya mahu kedua-dua UMNO disatukan, kemudian siapa mahu pimpin, ambillah. Namun yang itu bukan keutamaan, sebab apa yang kita mahu ialah wujudkan satu UMNO, yang mana UMNO itu ada sejarahnya, bukan yang dibentuk di tengah-tengah jalan, tahun 1988 baru muncul. Kita mahu UMNO yang bermula tahun 1946, kita mahu hantar surat kepada RoS serta salinan kepada raja-raja Melayu.
Bila gerakan ini akan dimuktamadkan dan dilancar besar-besaran secara menyeluruh?
Mungkin tahun ini, dan jika mereka (UMNO baharu) tak setuju dengan rancangan kita, maka mungkin kita akan lawan dalam pilihan raya akan datang. Tak tentu lagi berapa Parlimen yang akan kita lawan, dan kita tahu tak boleh menang semua sekali. Tapi andainya kita boleh menang 40 kerusi, kita boleh menentukan kerajaan. 40 saja, dapat 40 kerusi, kita boleh tentukan kerajaan. Dan ketika itulah kita akan perbaiki semua yang disebut dalam soal reset tadi. Kita juga mahu pinda Perlembagaan, supaya tentukan agar orang tak persoalkan hak-hak Melayu.
PERIKATAN NASIONAL
Boleh ulas nasib Perikatan Nasional (PN)?
Itu langsung tak boleh, kerana yang berada dalam parti Bersatu terdiri daripada mereka yang lompat dari UMNO sesudah menang dalam pilihan raya. Itu tiada maaf bagi UMNO, dan UMNO sudah buat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini, bahawa tiada sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu. Malah kerajaan sekarang ini tidak sah kerana usul PAU itu, kerana kerajaan sekarang bersandar juga kepada ahli Bersatu sebagai anggota Kabinet.
Tapi kalau tiada Bersatu, bukankah kerajaan hari ini tak wujud sebab tak cukup kerusi majoriti mudah dalam Parlimen?
Itulah keputusan UMNO, iaitu menghadap Yang di-Pertuan Agong supaya adakan pilihan raya umum. Mengapa mahu tunggu sehingga 2023? Sekarang lah sepatutnya, sebab kalau Melaka boleh adakan pilihan raya negeri, kemudian Sarawak, jadi mengapa tak boleh buat di peringkat persekutuan? Jadi tiada penyelesaian. Asyik berkelahi, dan akhirnya rakyat yang susah.
PRN JOHOR
Menyentuh soal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apa pandangan Tengku?
Barangkali kerana terpaksa bubar Dewan Undangan Negeri, malah kalau dengar penjelasan bekas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, seolah-olah tiada jalan lain yang boleh selesaikan masalah 50-50. Itupun mujur Speaker yang beri undi pemutus, kalau tidak tergantung tiada kerajaan. Jadi sewajarnya diadakan PRN supaya rakyat boleh beri mandat baharu.
Selepas PRN Johor, di mana pula seterusnya, atau terus buat PRU15?
Saya tak fikir ada cadangan untuk adakan pilihan raya di negeri-negeri selepas di Johor. Perak dah putus, apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijatuhkan melalui undi tak percaya, Kedah pula, kita tak berkuasa dan Pas berkuasa di sana. Namun, boleh jadi buat PRU15, sebab masa dah tiada. Sekarang dah bulan Februari, dan saya rasa PRU15 boleh jadi bulan September atau Oktober tahun ini. Saya percaya itu.
NEGARA GAGAL
Komen tentang budaya politik wang?
Sekarang banyak golongan kepentingan yang hendak berkuasa. Apabila berkuasa, mereka jadi kuat mencari peluang dan ini berlaku dalam UMNO selama-lamanya sejak diperkenalkan sistem bonus dalam perlembagaan UMNO. Kalau hendak bertanding, kena dapat pencalonan banyak, himpunan undi disifatkan sebagai undi bonus membolehkan layak bertanding. Jadi kerana ini, maka hebatlah mainan wang, dan bermulalah amalan politik wang. Orang hendak kepada undi, maka mula tawar menawar kuasa memberi sokongan undi kepada orang kehendak kepada jawatan, justeru bermula politik wang. Jadi orang berkehendakan kedudukan jawatan, mereka mula mencari wang. Bermulalah proses menawar, misalnya kontraktor, apabila jadi kontraktor mula masuk kontrak walaupun tidak tahu apa jenis kontrak. Cuma hendak kertas, kalau dikatakan tawaran kontrak dianggap bernilai RM10 juta barangkali kontrak itu bernilai RM5 juta, maka dia jual dan dapat RM5 juta, dan digunakan duit itu untuk tabur mencari kononnya pengaruh sokongan dan ini merosakkan UMNO.
Apa langkah untuk bendung?
Malaysia akan jadi negara gagal jika kita tak perbaiki sesuatu perkara dalam sistem pentadbiran negara. Akta Dana Politik harus diperkasa, jika tidak Malaysia akan jadi negara gagal. Kerana wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, sepatutnya bersuara bagi pihak orang yang memilih. Tapi dia pula ikut telunjuk orang yang bayar duit kepada mereka.
LOMPAT PARTI
Pandangan tentang Akta Lompat Parti?
Ini sebahagian daripada soal politik wang, sebab dari budaya inilah yang menggalakkan orang lompat parti. Antara kaedah adalah dengan menawarkan jawatan, tawarkan duit, tawarkan macam-macam.
Maksudnya, bukan menggunakan wang sahaja malah ada modus operandi lain juga?
Sebab nak kata wang saja, tak juga. Macam-macam cara, malah ada yang tawarkan perempuan, ada yang tawarkan harta benda. Pendek kata, ini budaya yang sangat buruk.
AKTA 342
Komen berhubung langkah pinda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), yang didakwa terlalu ‘menindas’ rakyat dengan bentuk hukuman seperti denda sampai RM10,000 dan penjara tujuh tahun?
Saya sebut dalam pertemuan kita tempoh hari, bahawa memang benar ia dibuat tergesa-gesa. Sebab sewaktu saya masuk ke dewan Parlimen, pembentangan akta ini sudah habis, tapi belum dilulus. Cuma setakat pembentangan saja. Jadi pembentangan akan disambung apabila kita bermesyuarat semula pada akhir Februari ini. Apapun, bagi saya, akta ini tak perlu.
Kenapa?
Apa perlunya satu undang-undang draconian (undang-undang menzalimi) macam ini? Padahal undang-undang sedia ada, sudah cukup sebenarnya untuk digunakan bagi memujuk rakyat menerima vaksin yang kita mahu suntik pada mereka.
AGENDA KARTEL VAKSIN
Dalam pertemuan sebelum ini, Tengku ada bincang soal kesan mudarat vaksin. Boleh jelaskan?
Vaksin ini, saya cuma boleh beri satu komen dulu. Biasanya kita ini cari doktor atau cari ubat, kerana ia boleh menyembuhkan. Tanpa paksaan kita pergi cari. Namun dalam soal vaksin, ini dipaksa. Malah selepas cucuk, belum ada jaminan boleh baik. Selepas cucuk sekali, kena cucuk kali kedua. Kemudian kali kedua tak jadi juga, ada yang mati. Dan tiba-tiba mahu bagi dos penggalak pula, dan tiada jaminan juga. Ada yang disuntik dos penggalak, mati. Ada yang sakit demam sampai kena stroke. Tapi kerajaan tak mengaku.
Kenapa?
Kerana kita dah tandatangan borang, sebelum kita disuntik. Jadi kita tak boleh dakwa kerajaan. Jadi, ini undang-undang apa? Serah diri kita dan dibunuh oleh kerajaan? Saya rasa tak patut.
Apa punca keadaan kecamuk dalam soal vaksin ini?
Ini kerana ia dikawal oleh apa yang disebut sebagai kartel global. Oleh pihak seperti Bill Gates, Rothschild dan sebagainya. Kumpulan ini mengawal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Perkara ini memang benar, WHO dikawal oleh mereka, dan kumpulan inilah yang disebut-sebut sebagai globalis.
Apa kumpulan ini buat?
Sekarang ini, vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat (yang ada kaitan dengan kumpulan ini), seperti syarikat farmaseutikal Pfizer, adalah untuk sementara bagi kegunaan kecemasan. Ini kerana tidak ada vaksin lain untuk mengubati wabak Covid-19, itu yang sebenarnya. Dan kandungan dalam vaksin Pfizer, iaitu jenis mRNA, ia bukan virus, bukan juga kuman, sebaliknya sejenis protein yang dibalut dengan lemak. Apabila tiga atau enam bulan, ia bermutasi. Dalam keadaan itulah ia pecah, jadi seratus, jadi lima ratus, jadi seribu. Itulah punca jadi penyakit, kalau berlawan sesama sendiri pula. Yang pergi ke jantung kita, yang semakin merumitkan penyakit-penyakit lain seperti diabetes.
Dari mana kerajaan dapat duit bayar Pfizer?
Tak ada duit, cuma peruntukan ada. Maknanya kita kena pinjamlah.
Pinjam dari siapa?
Pinjam dari bank, bukan bank dalam negara tapi dari bank luar. Saya tak tahu lagi kerana belum bentang dalam Parlimen apa yang mahu dibuat. Namun lazimnya, kita pinjam dari pihak luar. Ada kemungkinan kita akan pinjam dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kalau tiada saluran lain yang boleh kita pinjam.
Tengku setuju kalau kita pinjam IMF?
Saya nak tengok dulu apa yang mereka mahu buat, dan kita tak akan beri restu kalau benda itu tidak munasabah. – MINGGUAN MALAYSIA