Saya bukan peminat Barbie. Mungkin pernah sekali dua menemani kakak saya bermain Barbie ketika zaman kanak-kanak, tetapi bagi kaum wanita, Barbie mungkin sebahagian daripada sejarah dan memori manis sewaktu masih kecil.
Apabila The Grand Hyatt, Kuala Lumpur melancarkan Barbie Ultimate Staycation yang pertama seumpamanya di Malaysia, saya fikir inilah masa sesuai untuk membawa isteri tercinta untuk merasai pengalaman menjadi ‘Barbie’ sehari dua.
Apa salahnya, biarpun usia sudah menginjak ke angka 27, namun jiwanya masih ‘kanak-kanak’. Mana tidaknya, bulat biji mata penuh keriangan apabila saya mengajak untuk ‘bercuti’ di Barbie Ultimate Staycation sempena ulang tahun kelahirannya.
Kami tiba tepat pukul 3 petang. Tidak mahu melepaskan hatta seminit masa menginap di bilik yang penuh warna merah jambu itu. Melangkah sahaja masuk ke bilik, mata dipenuhi dengan gambar, anak patung dan apa sahaja; semuanya Barbie!
Sebagai informasi, terdapat 14 bilik bertemakan Barbie yang telah diubah suai seperti bilik jenama anak patung kegemaran ramai itu sebagai penghargaan dan mengangkat jenama ikon anak patung itu.
Kami menginap di Made in Malibu yang berkeluasan 47 meter persegi. Dinding, tidak kira di bahagian bilik atau kamar mandi, semuanya ada kelibat dan cetakan Barbie yang bertemakan, You Can Be Anything.
Benar, menjadi ‘Barbie’ walaupun untuk sehari, anda boleh menjadi apa sahaja. Malah, turut disediakan pakaian seragam seperti doktor, juruterbang, penari balet dan ikan duyung untuk disarung anak-anak kecil.
Tetapi saya cukup teruja apabila melihat ruang makanan atau bar apabila semuanya di situ berwarna merah jambu. Susu berperisa strawberi, makanan ringan dan gula-gula, semuanya bertemakan merah jambu.
DEKORASI MEWAH, BARBIE
Meneruskan keterujaan, bilik airnya juga disertakan dengan anak patung dan set permainan Barbie sebagai peneman anak-anak anda (ataupun isteri untuk kembali menjadi kanak-kanak) ketika membersihkan diri.
Malah, tersedia juga set mainan rumah bersaiz gergasi berserta beberapa mainan anak patung Barbie sebagai fokus utama. Namun, untuk anak lelaki jangan risau, anda masih boleh bermain dan menikmati penginapan di Barbie Ultimate Staycation.
Turut disediakan khemah dan mainan berlampu berkonsepkan angkasa lepas untuk anda (kaum lelaki) menikmati permainan yang ada. Sekali sekali menemani isteri bermain Barbie apa salahnya kan? Tak hilang kejantanan pun!
Kami sempat berjalan-jalan sekitar lobi yang tetap dihiasi dengan Barbie dan set permainannya sebagai konsep mewujudkan dunia Barbie impian ramai. Semestinya kemewahan menetap di The Grand Hyatt tetap dirasai.
Menyelak tirai bilik, anda akan terpegun melihat keindahan kota raya Kuala Lumpur yang membangun pesat. Di kala malam pula, lampu-lampu jalan dan bangunan menemai langit yang gelap.
Kepada peminat Barbie, semestinya percutian ini menjadi impian anda. Bayangkan, anda seperti dalam dunia Barbie, pasti menyeronokkan!
Barbie Ultimate Staycation yang dilancarkan 18 Disember lalu sudah menjadi tular dan ramai selebriti seperti Ummi Nazeera, Ain Edruce dan beberapa lagi pempengaruh sudah memilih untuk menginap di situ.
Lihat sahaja keceriaan mereka bergaya ala Barbie. Mereka sanggup membawa penata rias untuk menyiapkan mereka tau! Sesuai pula dengan tema bilik, jadi banyak gambar yang dikongsi menggambarkan keunikan percutian kali ini.
MINUM PETANG ALA BARBIE
Jika tadi kita berkongsi pengalaman menginap, kali ini saya dan isteri bertukar pula seperti Barbie dan Ken. Pasangan anak patung yang menjadi idola serta kegemaran ramai. Bukan kami tetapi Barbie dan Ken!
Mana tidaknya, selain penginapan, anda juga berpeluang untuk minum petang di Barbie Cafe yang berdekatan dengan kolam renang The Grand Hyatt. Bila ke Barbie Cafe, mestilah hidangannya juga ala-ala ikon anak patung itu bukan?
Hampir semuanya berwarna merah jambu. Namun, keenakkannya aduh, masih terasa. Dengan harga RM228 seorang, anda akan kagum dengan seleksi hidangan minum petang yang cukup istimewa dan berbeza.
Dihidangkan bertingkat campuran manisan, pastri dan savoury, peminat Barbie turut dengan dekorasi yang cukup mengagumkan. Siap ada kotak patung tau. Jadi anda bleh berangan menjadi seperti Barbie.
Secara keseluruhan, penginapan di Barbie Ultimate Staycation dan pengalaman unik di Barbie Cafe adalah sesuatu yang seharusnya anda cuba. Anda semestikan akan teruja untuk menjadi Barbie!