Lucunya pengalaman naik Dolmus - Utusan Malaysia

Lucunya pengalaman naik Dolmus

Dolmus sejenis teksi kongsi Turki yang menjadi pilihan bagi mereka yang tidak ingin berbelanja lebih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Turki, sebuah negara antara dua benua ini dilihat semakin berkembang pesat baik dari sektor ekonomi mahupun pelancongan. Sejak sedekad lalu, berbondong-bondong pelancong tanah air negara melawat Turki. Masjid Biru atau Masjid Sultan Ahmed di Istanbul tak pernah sepi tanpa pelawat. Masjid ini siap dibina pada 1616 oleh Sultan Ahmed I dari Empayar Uthmaniyah. Ia mempunyai 6 menara berukuran 64 meter serta ruangan dalam yang mampu memuatkan 10,000 jemaah.

Namun di sebalik keindahan Masjid Biru, ternyata Turki menyimpan pelbagai kisah aneh dan lucu. Cerita di sebalik tabir ini hanya diketahui oleh mereka yang bermastautin dalam tempoh yang lama di Turki seperti saya.

Dolmus atau teksi kongsi merupakan salah satu pengangkutan awam yang sangat terkenal di Turki. Ia bersaiz bas mini. Selalunya berwarna biru dan lokasi bermula dan berakhir mereka di stesen terakhir tren. Rupa bentuknya ada seperti old school tetapi ada yang moden.

Ketika menuntut di Izmir dulu, seingat saya tambangnya bermula pada kadar 3tl (93 sen). Kini kos tambang naik sekitar 5tl (RM 1.56).

Namun tambang masih berbeza mengikut jarak lokasi manakala para pelajar diberikan potongan harga.

Penumpang boleh memaklumkan destinasi kepada pemandu, bahkan boleh mengarahkan pemandu memberhentikan pada lokasi tertentu. Teksi kongsi ini biasanya berfungsi menghubungkan pekan atau jalan utama ke kawasan perumahan atau kampung terpencil.

Setiap teksi kongsi mempunyai lokasi mereka tersendiri. Kalau terlihat teksi ini di mana-mana sahaja, hanya lambaikan tangan, ia pasti berhenti.
Kalau terlepas, jangan risau, memandangkan mereka bebas bergerak tanpa ikut masa, maka setelah beberapa minit kemudian, teksi berikutnya akan tiba.

PENUH, BARU JALAN
Selain itu, pemandu teksi kongsi di terminal tidak akan memulakan perjalanan selagi tempat duduk masih kosong. Mereka akan menunggu sehingga penumpang penuh. Selalunya teksi ini akan menjadi sangat sesak dengan para penumpang yang berhimpit di antara satu sama lain.

Boleh dikatakan yang setiap pemandu bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan lebih ramai penumpang. Oleh itu, janganlah terkejut sekiranya anda melihat pemanduan mereka sangat laju dan berbahaya persis pelumba Formula-1. Mereka akan pastikan teksi mereka dinaiki lebih ramai penumpang dari teksi lain.

Kalau tak bertuah, anda akan disajikan dengan pemandu-pemandu teksi ini bergaduh antara satu sama lain kerana berebutkan penumpang. Cara membayar tambang pun menarik. Anda boleh menghulurkan wang tersebut kepada penumpang di hadapan dan mereka akan berikan kepada pemandu tersebut. Kalau ada baki, duit itu akan bertukar tangan sehinggalah anda mendapatkannya. Begitulah caranya kalau teksi sesak dengan orang ramai.

Menurut undang-undang pengangkutan awam di Turki, setiap teksi kongsi tidak boleh mengambil penumpang lebih dari 12 tempat kerusi duduk yang disediakan. Teringat kali pertama menaiki teksi kongsi ini pada waktu kemuncak di Ankara dulu. Ia begitu sesak dan sarat dengan penumpang.

Saya terpaksa berhimpit dan kalau teksi berhenti mengejut, orang yang kat depan akan jadi mangsa dirempuh penumpang belakang. Setelah beberapa minit perjalanan, tiba-tiba pemandu teksi dengan gelabahnya menjerit meminta setiap penumpang yang berdiri supaya sama ada menundukkan kepala ke bawah, bercangkung atau terus baring ke lantai.

Peristiwa itu membuatkan saya terkejut dan buntu, tetapi, saya turuti sahaja permintaannya. Setelah seminit kemudian, semua para penumpang kembali berdiri semula seperti sedia kala. Kerana bingung dengan apa yang berlaku, saya tanyakan kepada salah seorang penumpang yang berdiri berhampiran.

“Oh! Tadi ada polis, kalau dia nampak kita berdiri, pemandu teksi akan disaman dan kita semua kena keluar dari sini sebab melebihi had penumpang”, jelasnya.

Buat anda yang ingin melancong ke Turki, jangan lupa cuba merasai keunikan teksi kongsi. Tak salah bersesak-sesak sejenak daripada dibohongi pemandu teksi kereta biasa.

Kita sendiri pun dah dengar dan baca pelbagai pengalaman pahit pelancong kita di Turki yang kerap ditipu oleh pemandu teksi kereta. Modus operandi pemandu-pemandu teksi ini berbeza-beza. Ada pemandu yang tak nak buka meter perjalanan yang kemudiannya akan meminta anda membayar tambang yang mahal setelah tiba ke lokasi.

Kalau dah sampai di Istanbul nanti, jangan lepaskan juga peluang melawat negara jiran seperti Bulgaria yang boleh diakses dengan jalan darat.

Pelbagai jenis perkhidmatan bas yang turut dapat membawa anda menempuhi lebih 500 kilometer ke sana!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya