Keluarga melayan Azie seperti musuh - Utusan Malaysia

Keluarga melayan Azie seperti musuh

Walaupun Azie cemerlang dalam SPM, dia tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran atas alasan keluarga tidak mampu menanggung yuran pengajiannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini saya berkongsi kisah seorang wanita Azie (bukan nama sebenar) yang diuji apabila ibu bapa dan adik beradik kandung melayannya seperti musuh.

Sejak kecil Azie sering dihina dan dianaktirikan oleh ibu bapa kandung sehingga setelah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Cerita Azie, dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya sejak berusia satu tahun.

Ibu bapa kandung Azie setuju menyerahkannya kepada datuk dan nenek setelah mereka melihat kesukaran ditanggung membesarkan enam anak yang masih kecil ketika itu.

Ketika diserahkan kepada Samad dan Saerah (bukan nama sebenar), ibu Azie sedang hamil anak ketujuh.

Sejak dari itu Azie dibesarkan dengan penuh kasih sayang tanpa kurang sedikitpun oleh datuk dan neneknya. Makan, pakai serba lengkap.

Memasuki usia lima tahun, Azie dihantar ke sekolah tadika berhampiran sehinggalah ke sekolah rendah dan menengah.

Samad membesarkan Azie dengan pendapatan sebagai tukang kebun di salah sebuah sekolah rendah di kampung mereka.

Atas rasa tanggungjawab, mereka tidak kisah berhabis wang dan tenaga demi membesarkan Azie. Azie hanya bertemu dengan ibu bapa dan adik beradik kandungnya pada hari raya sahaja.

Sejak berpindah ke Johor Bahru setelah mendapat pekerjaan baru sebagai pemandu peribadi seorang ahli perniagaan bapanya, Hatta (bukan nama sebenar) jarang pulang ke kampung.

Setiap kali ibu bapa dan adik beradiknya balik kampung, Azie seperti orang asing.

Dia terasa ingin dipeluk dan dibelai seperti adik beradiknya yang lain. Namun saat-saat indah itu tidak pernah sekali dirasai.

Langit tidak selalu cerah. Datuk dan nenek Azie terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menemaninya mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah.

Dalam kemalangan itu, Azie hanya cedera ringan. Pemergian arwah datuk dan nenek begitu meninggalkan kesan dalam hidupnya.

Bermulalah episod duka dalam hidup Azie.

Sejak itu Azie kembali tinggal bersama ibu bapanya yang dilihat agak berat menerima kehadirannya.

Walaupun Azie mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, Azie tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran atas alasan mereka tidak mampu menanggung yuran pengajiannya.

Sebaliknya, Azie diminta menguruskan rumah tangga dan menjaga mereka. Dia dilayan seperti orang gaji. Tidak dibenarkan makan bersama apa lagi dibawa keluar berjalan-jalan.

Azie bersyukur kerana dia dibesarkan dengan didikan agama oleh datuk dan neneknya.

Disebabkan itu juga dia tetap bersabar dengan layanan buruk daripada ibu bapa dan adik beradiknya.

Jodoh Azie sampai lebih awal. Pertemuannya dengan Amir (bukan nama sebenar) yang ketika itu menghadiri majlis persaraan bapanya membuka episod baru dalam hidup Azie.

Amir merupakan anak kepada bekas majikan bapanya.

Walaupun ibu bapa Azie, keberatan membenarkannya berkahwin, mereka tiada pilihan lain.

Setelah berkahwin, Azie mengikut Amir tinggal bersama ibu bapanya. Layanan diterima daripada suami dan ibu bapa mentua benar-benar membuatkan dirinya dihargai dan tidak sendirian lagi.

Akui Azie, ketidakadilan ibu bapanya dapat dirasai sejak dari kecil hinggalah dia berumahtangga. Namun dia sentiasa ingat status dan darjat ibu bapa sangat tinggi.

Azie tetap sabar dan sentiasa bermuhasabah. Amir yang pada mulanya tidak mengetahui perbezaan kasih sayang dan layanan yang diterima isterinya selama ini mulai perasaan. Mujurlah Amir seorang yang memahami dan keluarga mentua Azie juga sangat baik. Berkat kesabaran, Azie sekeluarga bertambah murah rezeki. Malah kedudukannya lebih baik daripada adik beradiknya yang lain.

Azie dan suami tidak lokek berkongsi kesenangan.

Niatnya kerana Allah dan harapannya cuma satu agar ibu bapa dan adik beradik lembut hati menerimanya dengan penuh kasih sayang.

Kebaikan Amir tidak hanya mengizinkan Azie menghulurkan wang untuk ibu bapanya membesarkan rumah dan membeli kereta baru, tetapi turut sedia mengeluarkan modal memulakan perniagaan kepada abang keduanya.

Bagaimanapun niat murni Azie untuk membantu keluarga kandung langsung tidak dihargai dan mereka tetap tidak menyenangi kehidupan yang dikecapi Azie.

Lebih menimbulkan rasa terkilan ibu bapanya sendiri turut menghasut anak-anak agar terus membenci Azie. Hampir lima tahun mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua anak, layanan ibu bapa dan adik beradik kandungnya tidak pernah berubah.

Mereka hanya berpura-pura baik melayan Azie dan anak-anak sekiranya Amir ada bersama mereka. Bagaimanapun Azie sentiasa ingat pesanan arwah datuk dan neneknya bahawa setiap manusia itu pasti akan diuji.

Sebagaimana Firman Allah bermaksud: Yakinlah disebalik kesusahan pasti ada kemudahan. (Surah Al-Baqarah : Ayat 214).

Walaupun sehingga hari ini Azie masih tidak diterima darah daging sendiri, dia tetap bersyukur dikurniakan suami yang baik dan memahami.

Akui Azie walaupun menerima layanan buruk daripada ibu bapa dan adik-beradik dia tetap memaafkan mereka.

Dia sentiasa berdoa semoga Allah membuka hati ibu bapa dan adik beradik kandungnya untuk menyedari kesilapan mereka dan berubah.

Di dalam Islam sendiri Azie sedar anak-anak dituntut mematuhi arahan ibu bapa, menghormati dan menyayangi mereka selain tidak membawa kepada kekufuran atau mensyirikkan Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya