TIDAK lama sebelum ini, sekitar Ogos tak silap saya. Ramai yang memperkatakan perihal seorang anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar.
Anak seni ini tular selepas dirakam menjual buah-buahan di tepi jalan. Ketika itu, negara tenat bertarung wabak. Terlalu ramai terkesan. Kes jangkitan meningkat, ada dibuang kerja, hilang punca pendapatan, perniagaan gulung tikar dan semua terpaksa berkurung di rumah.
Paling menyedihkan, kes bunuh diri. Bertambah-tambah. Azlee yang juga terkesan dengan situasi itu, buat seketika, menjadi trending dalam media sosial. Media tempatan apa lagi, berebut-rebut untuk mendapatkan dia.
Minta penjelasannya berhubung perkara tersebut. Jual buah tepi jalan, apa yang peliknya? Tak ada yang aneh. Cuma, dia insan terkenal.
Jadi, ramai orang mahu tahu. Beberapa hari lalu saya hubungi Azlee, bertanya khabar. Nasib baik, dalam sibuknya dia, sempat luangkan masa bercakap dengan saya.
“Alhamdulillah, kesihatan saya baik. Cuma biasalah, darah tinggi sedikit. Penyakit serius itu tak adalah. Doa-doakan saya,” jawabnya perihal kesihatan.
“Abang tak berniaga dah ke?” Soal saya. “Belum musim. Rehat dulu. Nanti bila sudah ada musim baru jual balik. Masa saya jual itu, ramai artis hilang kerja. Bukan saya sahaja. Berkira jugalah macam mana hendak teruskan hidup.
“Ada (artis) yang balik kampung, tak tahu apa nak buat di Kuala Lumpur. Kerja pun tak ada. Moratorium pula cuma untuk rumah dan kereta. Bil api air tetap kena bayar.
“Saya tak boleh berdiam diri. Kena buat sesuatu. Kalau tak buat apa-apa macam mana hendak sara keluarga? Janganlah mentang-mentang artis, kita malu nak berniaga tepi jalan. Tak boleh macam itu,” katanya.
Saya minta Azlee ceritakan, sukarnya dia sebelum bergelar anak seni. Katanya, dahulu bukan senang. Walaupun dibesarkan dalam keluarga seni, cabaran tetap ada.
“Dahulu susah. Nak jadi artis kena masuk pertandingan. Sekarang ini, senang. Ada Youtube. Engkau bagus, engkau popular. Jadi anak seni bukan senang. Kena banyak berkorban.
“Saya dibesarkan dalam keluarga sederhana, ada darah seni. Emak menyanyi nasyid, ayah pula guru vokal. Ayah garang, saya tak boleh belajar dengan dia.