Insan teristimewa Rasulullah SAW - Utusan Malaysia

Insan teristimewa Rasulullah SAW

'Qasidah al-Burdah' adalah kitab mengandung syair-syair memuji Nabi Muhammad SAW dan menceritakan sedikit kisah baginda. Qasidah ini sangat terkenal seantero dunia sehingga ke alam Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tarikh 12 Rabiulawal sentiasa dinantikan oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia. Hari yang sentiasa dirindui oleh para kekasih, bukan kerana mentarinya dan bukan juga kerana bulannya.

Sebaliknya, kerana insan teristimewa yang dilahirkan padanya.

Muslimin dari seluruh dunia menzahirkan kesyukuran dan kebahagiaan mereka atas nikmat pengutusan rasul terakhir Saidina Muhammad SAW.

Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014H) menyatakan di dalam karyanya al-Mawlid al-Rawi fi Mawlid al-Nabi [m/s: 13-17] bagaimana umat Islam di Mesir dan Syam, raja-raja di Andalusia, negara-negara India dan golongan ‘Ajam meraikan hari maulid.

Beliau juga menyebut bagaimana ahli Mekah meraikannya dan ahli Madinah menyiapkan pelbagai jenis makanan pada malam hari tersebut.

Sememangnya ada khilaf ulama dalam penentuan tarikh kelahiran Nabi SAW. Namun pendapat bahawa Nabi Muhammad lahir pada 12 Rabiulawal dipegang oleh pakar-pakar Sirah Nabawiyyah seperti Ibn Ishaq (w. 151H), Ibn Hisyam (w. 218H), dan al-Suhayli (w. 581H).

Ia juga pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama seperti yang ditegaskan oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali (w. 795H) di dalam Latha’if al-Ma‘arif. (m/s: 95)

Tidak kira apa pun tarikh yang dinyatakan oleh para ulama, intipati sambutan Maulid al-Rasul adalah sama; iaitu menzahirkan kebahagiaan dan memanjatkan kesyukuran atas nikmat terbesar ini, nikmat dikurniakan seorang qasul yang menjadi pintu rahmat Allah.

Sahabat nabi, saidina Ibn ‘Abbas r.a telah menjelaskan anjuran bergembira dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW ketika beliau menafsirkan firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) dengan kelebihan Allah dan dengan rahmat-Nya; maka hendaklah mereka bergembira hanya dengan yang demikian itu. (Yunus: 58)

Saidina Ibn ‘Abbas menjelaskan, kelebihan Allah yang dimaksudkan di sini adalah ilmu, manakala rahmat-Nya itu pula adalah Nabi Muhammad SAW. (Tafsir al-Bahr al-Muhith: 5/169).

Namun, kegembiraan dengan kedatangan Baginda SAW tidak akan dapat dirasai jika kita tidak benar-benar mengenal peribadi Nabi, tidak benar-benar memahami dan menghayati makna rahmat sarwa alam ini. Diri kita juga termasuk dalam alam. Jadi kita sepatutnya merenung dan memikirkan apakah rahmat Nabi yang terlimpah kepada diri ini?

Lihatlah bagaimana keadaan Bani Israel pada masa dahulu; apabila mereka melakukan maksiat dan dosa, mereka akan mendapati di pintu-pintu rumah mereka tertulis dosa yang mereka lakukan dan cara untuk menebus kesalahan mereka. Aib mereka dapat diketahui oleh semua orang.

Namun, umat Nabi Muhammad tidak didedahkan amalan buruk mereka selagi mana kita sendiri tidak mendedahkannya kepada orang ramai.

Umat terdahulu perlu membunuh diri untuk bertaubat, memotong lidah yang menipu, memotong kemaluan yang berzina dan membutakan mata yang memandang perempuan ajnabi.

Sedangkan umat Nabi Muhammad SAW cukup dengan menyesal, tidak mengulanginya dan meminta ampun dari Allah SWT. (Khasa’is al-Ummah al-Muhammadiyyah: 13)

Rahmat Nabi SAW tidak hanya terbatas pada hukum-hakam. Sebaliknya ia juga dapat dilihat pada akhlak dan keperibadian Baginda SAW.

Lihatlah bagaimana pergaulan Baginda SAW dengan jiran tetangganya. Saidina Zaid bin Tsabit menceritakan bahawa beliau adalah jiran Rasulullah SAW.

Ketika wahyu turun, baginda sentiasa memanggilnya untuk menulis wahyu itu untuk baginda. Ketika jiran-jirannya membincangkan persoalan dunia baginda pun turut membicarakannya bersama-sama mereka.

Ketika mereka membincangkan persoalan akhirat baginda pun turut membincangkannya bersama-sama mereka.

MERAIKAN UMATNYA

Begitu juga ketika mereka membincangkan berkenaan makanan, Nabi SAW turut bersama mereka membicarakannya. Begitulah akhlak Nabi; sentiasa meraikan umatnya. (al-Shamail al-Muhammadiyyah: 195-196)

Di dalam sebuah hadis, Saidina ‘Amr bin al-‘As menceritakan Nabi SAW sentiasa menghadapkan wajahnya dan bersikap ramah dengannya sehinggakan beliau menyangka dirinya adalah semulia-mulia sahabat Nabi. (al-Shamail al-Muhammadiyyah: 196)

Imam al-Tirmidzi pula meriwayatkan sebuah hadis yang sahih iaitu seorang Arab Badwi yang masuk ke masjid ketika Nabi SAW sedang duduk di dalam masjid itu. Arab Badwi ini bersolat lalu berdoa: “Ya Allah, rahmatilah aku dan Muhammad, dan janganlah Engkau rahmati seorangpun bersama kami.”

Nabi beralih ke arah lelaki tersebut dan bersabda: “Kamu telah menyempitkan hal yang luas” (iaitu rahmat Allah).

Kemudian, tidak berapa lama setelah itu lelaki tadi kencing di dalam masjid. Orang ramaipun segera mendapatkan lelaki tersebut untuk menegah dan memberi amaran kepadanya.

Lalu Nabi bersabda: “Tuanglah ke atas air kencing itu setimba air”. Kemudian baginda bersabda: “Hanya sahaja kalian diutuskan sebagai orang yang memudahkan urusan, kalian tidak diutuskan sebagai orang yang menyusahkan urusan.”

Begitulah kecantikan akhlak Nabi SAW dan kebesaran rahmat yang dibawa baginda. Keagungan peribadinya dan keajaiban rupa dirinya tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Bagindalah seindah-indah makhluk dan semurni-murni jiwa. Imam al-Busiri (w. 1294M) di dalam Qasidah al-Burdah memberi isyarat kepada makna ini melalui kata-katanya yang bermaksud: “Tinggalkanlah apa yang didakwa oleh Nasrani pada Nabi mereka, pujilah Nabi dengan apa sahaja pujian yang sudah pasti baginya. Sebutlah apa sahaja kemulian batang tubuh Baginda, sebutlah apa sahaja ketinggian darjatnya yang mulia. Sungguh kelebihan Rasul itu tidak bermuara, sehingga dapat diterjemah dengan kata-kata”.

Qasidah al-Burdah iaitu sebuah kitab mengandung syair-syair memuji Nabi Muhammad SAW serta menceritakan sedikit kisah Baginda SAW. Qasidah ini sangat terkenal seantero dunia sehingga ke alam Melayu.

Qasidah ini pernah diterjemahkan oleh Syaikh Ismail bin Abd al-Qadir al-Fatani, dan diterbitkan manuskripnya oleh Khazanah Fataniyyah.

Buku ini pula diterjemahkan dengan Dwi Bahasa oleh Ustaz Imran Angullia al-Hafiz dan Mostafa Azzam.

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya