Iktibar daripada kelahiran Nabi SAW - Utusan Malaysia

Iktibar daripada kelahiran Nabi SAW

NABI SAW dimakamkan di masjid baginda di Madinah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kelahiran Nabi SAW adalah pembebasan keinsanan manusia. Perutusan Nabi SAW pula adalah noktah bermulanya kemajuan dalam kehidupan mereka. Umat Nabi SAW adalah sebaik umat yang dikeluarkan untuk manusia.

Keperibadian Nabi SAW pula adalah contoh tertinggi dalam menghadapi segala bentuk dugaan sepanjang zaman.

Allah SWT mencipta manusia atas muka bumi ini untuk memikul satu tanggungjawab yang besar.

Mereka ditaklifkan dengan kewajipan beribadat kepada Allah di mana mereka dikurniakan kelebihan akal dan pemberian yang lain yang melayakkan mereka menjadi khalifah di bumi ini.

Namun begitu akal manusia mudah terkesan dengan persekitaran yang mereka jalani kehidupan seharian sama ada dari sudut kepercayaan dan adat budaya yang diwarisi daripada generasi sebelumnya.

Bangsa Arab pada mulanya jauh dari kemajuan. Mereka mendiami di pedalaman dan persekitaran mereka adalah padang pasir yang luas. Kepercayaan mereka dibelenggu dengan perkara waham, khurafat dan adat yang jauh dari kebenaran.

Masyarakat Arab yang tinggal di Mekah ketika itu pula tertutup daripada keilmuan. Tindak tanduk mereka penuh kejahilan dalam semua bentuk sehinggalah sanggup menanam anak perempuan, minum arak, makan riba, berzina, amalan sihir berleluasa, menyembah berhala dan mensucikannya. Mereka tenggelam dalam kesyirikan, hidup dalam maksiat.

Dalam suasana sebegitu, dilahirkan Nabi Muhammad SAW dengan cahaya yang menerangi alam. Kelahiran Nabi SAW menghancurkan kegelapan kejahilan dan meruntuhkan kemunduran.

Dengan tarbiah Nabi SAW, lahirlah para sahabat r.a dari khemah-khemah di padang pasir yang menjadi pemerintah yang cekap dan pendakwah Islam yang handal. Mereka menerajui kemajuan dan memimpin umat sedangkan sebelumnya mereka adalah pengembala kambing dan unta.

Pengajaran yang boleh diambil daripada kelahiran Nabi SAW ialah besar dugaan dan mehnah (ujian) akan peroleh besar kurniaan dan minhah (anugerah). Pada mulanya mereka hidup dalam suasana jahiliah. Kehidupan mereka penuh dengan bayang-bayang yang bukan realiti.

Mereka tidak berhak mendapat kehidupan yang sebenar kecuali orang yang dilantik mengurus urusan mereka. Golongan itulah yang mendapat kemuliaan. Selain golongan tersebut, mereka dihukum dengan kehinaan sepanjang hidup.

Mereka hidup dalam kejahilan dan kezaliman. Ditindas dengan kehinaan. Dalam besarnya ujian, diutus seorang rasul dalam kalangan mereka sendiri. Mereka mengenali salasilah keturunan Nabi SAW, akhlak dan kelebihan Nabi SAW.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat ke atas golongan yang beriman dengan mengutuskan kepada mereka seorang rasul dalam kalangan mereka sendiri; yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah; membersihkan jiwa mereka; dan mengajar mereka al-Quran dan Sunnah. Sesungguhnya mereka sebelum kedatangan rasul itu berada dalam kesesatan yang nyata. (ali-‘Imran: 164)

NABI PEMBUKA BELENGGU KEHAMBAAN

Allah jadikan Nabi SAW sebagai pembuka belenggu kehambaan sesama manusia dan membebaskan mereka daripada kezaliman. Mereka berada di jurang kehancuran dan kehinaan.

Firman Allah SWT: ..Sedangkan pada ketika itu kamu sudah berada di tepi jurang neraka lalu Allah menyelamatkan kamu. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya agar kamu mendapat petunjuk. (ali-‘Imran: 103)

Demikianlah Allah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya ilmu, daripada kehidupan yang berpecah-belah kepada keharmonian dengan berkasih sayang.

Firman Allah SWT: Dan berpegang teguhlah kamu kepada agama Allah, janganlah kamu berpecah belah, ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu saling bermusuhan semasa jahiliah lalu Allah menyatukan hati-hatimu sehingga menjadi bersaudara dengan kurniaan Allah..(ali-‘Imran: 103)

Pengajaran berikutnya adalah bebas daripada perhambaan. Allah mengutus Nabi SAW dengan kebenaran dan berada di atas jalan yang lurus. Baginda SAW diberi perhatian dengan cahaya rabbaniah untuk melayakkan menerima amanah. Nabi SAW melaksanakan sepenuhnya amanah tersebut dengan menyampaikan risalah.

Dengan sebab Nabi SAW, Allah SWT mengeluarkan manusia daripada penyembahan berhala dan yang lain daripada Allah kepada meng-Esakan Allah. Pada-Nyalah seluruh kekuasan, kemuliaan dan tidak ada tuhan kecuali Allah.

Nabi SAW menyelamatkan manusia daripada terjerumus dalam jurang yang dalam dengan menegakkan mereka di atas kebenaran. Kelahiran baginda mengangkat ketinggian manusia.

Firman Allah SWT: Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi memimpin manusia. Kamu menyuruh manusia berbuat makruf, melarang mereka daripada perkara mungkar dan kamu beriman kepada Allah. Seandainya ahlul kitab itu beriman dengan Nabi Muhammad, tentulah iman itu adalah lebih baik bagi mereka.… (ali-’Imran: 110)

Satu lagi pengajaran penting yang perlu diambil perhatian ialah hidup yatim Nabi SAW. Ayah Nabi SAW meninggal dunia semasa baginda dalam kandungan ibunya.

Dalam usia enam tahun ibunya, Aminah binti Wahab meninggal dunia dan pada usia lapan tahun, datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Rahsia perkara itu adalah untuk membersihkan dirinya dan menimbulkan rasa kasih dan sayang kepada golongan miskin dan anak yatim.

Baginda SAW merasai keperitan yang dirasai oleh golongan miskin kerana telah melaluinya. Bahkan Nabi SAW memberi kasih sayang dan bersenda gurau dengan mereka. Baginda adalah pembawa hidayah, nikmat, pemberi khabar gembira, pemberi amaran dan rahmat.

Firman Allah SWT: Dan tidaklah Kami utuskan kamu wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’: 107)

Akhirnya marilah sama kita hayati pesanan bekas Rektor Universiti al-Azhar, Dr. Umar Hasyim.

Beliau memberi amaran kepada yang berkelakukan menyakitkan Nabi SAW dengan berkata dalam rangkap syairnya yang bermaksud:

“Wahai orang yang menyakitkan dengan lukisan kamu kepada pemberi syafaat kepada kami, maka akan cacatlah dua telapak tangan kamu sepanjang zaman.

“Bagaimana beraninya kamu lakukan perkara demikian kepada sebaik makhluk dengan perkara yang bodoh sebegitu. Sesungguhnya kamu telah menempah kehinaan yang amat gelap dan pendustaan. Sesungguhnya Rasul adalah bercahaya kepada seluruh alam ini tetapi kedua mata kamu buta hal sedemikian.

“Wahai umat Islam di seluruh dunia, lihatlah dengan cermat dan iktibar kedudukan Nabi SAW. Jagalah akidah kamu dan jagalah nabi kamu.

“Allah SWT telah menjelaskan bahawa Nabi SAW mempunyai kedudukan yang terpuji dan di akhirat nanti mempunyai telaga kauthar yang dijanjikan”.

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya