Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang menghasilkan banyak penulisan. Beliau menulis 29 buku dan yang teragungnya ialah tasir Fi Zilal al-Quran.
Sebelum menghasilkan Fi Zilal al-Quran, Sayyid Qutb telah merancang untuk membangunkan satu program berkaitan al-Quran yang dinamakan Maktabah al-Quran Jadidah bermaksud perpustakaan baru al-Quran.
Salah satu buku yang dirancang adalah kitab Pemandangan Kiamat Dalam Quran.
Kandungan buku ini amat menarik kerana paparan dan penulisan yang digarap adalah berlainan dengan penulisan oleh penafsir al-Quran terdahulu.
Gambaran atau pemandangan adalah satu gaya bahasa yang digunakan dalam al-Quran. Uslub ini diolah oleh Sayyid Qutb dengan digambarkan secara jelas dan boleh ditangkap oleh fikiran pembaca tentang keadaan yang berlaku.
Segala peristiwa, pemandangan dan kisah dalam al-Quran diungkap seakan berada di hadapan kita. Pemandangan yang hidup, bergerak dan apabila ditambah skrip dialog maka sempurnalah sebuah gambaran.
Mereka yang mendengar ayat-ayat al-Quran berkaitan pemandangan hari kiamat seolah-olah dapat menyaksikannya dengan mata. Ini amat diambil berat oleh Sayyid Qutb kerana melakukan kajian terperinci ayat-ayat al-Quran yang membicarakan hal berkaitan.
Menurut penelitian dan kajian yang beliau lakukan, uslub pemandangan dan gambaran yang diguna dalam al-Quran secara keseluruhannya adalah lebih daripada tiga perempat.
Uslub ini adalah satu gaya bahasa dalam al-Quran yang sangat penting untuk dikuasai bagi menyempurnakan kefahaman makna al-Quran.
Memahami makna al-Quran adalah satu anugerah dan nikmat. Makna berinteraksi dengan akal dan sampai kepadanya dalam bentuk teduhan yang cantik. Makna juga berinteraksi dengan jiwa dan perasaan.
Kedua-dua interaksi ini sama ada dengan akal atau perasaan akan memberi pancaindera untuk membuat gambaran atau pemandangan.
Kaedah inilah sebenarnya yang mahu al-Quran gambarkan kejadian sebenar pada hari kiamat. Kita sebagai pembaca al-Quran sebenarnya harus kembalikan al-Quran kepada perasaan kita dalam bentuk baru sebagaimana bangsa yang pertama dahulu menerima al-Quran.
Mereka semua terpukau dengan al-Quran sehingga orang kafir berkata: Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan buatlah keriuhan terhadapnya supaya kamu dapat mengalahkannya. (Fusssilat: 26)
Al-Quran adalah kitab mukjizat yang tidak ada tolok banding akan kehebatan dan cantik bahasanya. Kitab yang paling berharga dalam senarai di maktabah (perpustakaan).
Sayyid Qutb tidak mahu membuat tafsiran al-Quran jauh daripada maknanya yang asal. Oleh itu, beliau tidak memasukkan perbahasan dari sudut bahasa atau perbahasan agama yang tidak menepati kehendak seni yang cantik.
Dalam pegangannya, bangsa arab pertama dahulu yang menerima al-Quran, mereka menerima kesenian bahasa yang ada dalam al-Quran. Mereka menghayati kesenian tersebut secara mendalam dalam lubuk hati yang menyebabkan jiwa mereka bergetar apabila mendengar al-Quran.
Gambaran dan pemandangan hari kiamat disebut dalam kebanyakan surah dalam al-Quran.
Majoritinya dalam surah Makkiyah iaitu surah yang diturunkan sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah.
SURAH TENTANG KIAMAT
Terdapat surah yang membicara kaitan kiamat disebut dalam beberapa gambaran sama ada pada surah yang panjang atau surah yang pendek mengikut keadaan ayat.
Dalam bukunya Pemandangan Kiamat Dalam Quran, Sayyid Qutb membawa 150 gambaran hari kiamat yang terdapat dalam al-Quran. Gambaran tersebut terdapat dalam 80 surah.
Maksud gambaran di sini ialah meliputi bentuk yang berlaku, gerakan dan juga hentakan bahasa ke dalam jiwa. Adapun ayat yang menyebut hari akhirat sahaja, menyebut syurga yang air mengalir di bawahnya, ayat yang menyebut azab yang pedih atau azab yang hina tanpa disertakan gambaran yang berlaku maka semua ayat ini tidak dihuraikan kerana ia terlalu banyak.
Boleh dikatakan setiap surah ada menyebut perkara tersebut atau mengisyaratkan kepadanya. Begitu juga dengan gambaran kiamat yang disebut secara ringkas.
Sunnah dunia ini amat mudah difahami dan dijelaskan dalam akidah Islam. Manusia berakhir dengan kematian, dibangkit semula untuk dihisab dan kemudia mendapat ganjaran sama ada nikmat syurga atau azab. Nauzubillah.
Mereka yang beriman dan beramal soleh akan memperoleh syurga dan segala nikmatnya. Sesiapa yang kufur dan tidak mempercayai perjumpaan dengan Allah pada hari akhirat maka bagi mereka neraka dan segala azabnya.
Gambaran hari kiamat diterangkan dalam banyak bentuk tetapi mempunyai keseragaman walaupun disebut dalam bentuk yang kecil sahaja. Bahkan lafaz yang digunakan terserlah makna yang sesuai dengan gambaran yang hendak dijelaskan sama ada permulaan kisah atau menguatkan dengan tujuan meneguhkan iman.
Gambaran hari kiamat dalam al-Quran adalah untuk beriman tetapi ia bersambung dengan perasaan melalui perasaan kesenian.
Sebagai contoh keributan dan kecelaruan yang berlaku pada hari kiamat. Perkara yang dahsyat ini meliputi alam dunia, manusia, haiwan secara keseluruhannya. Beliau membawakan ayat 1-14 surah al-Takwir sebagai contoh.
Sayyid Qutb telah menghimpun gambaran yang jelas berkaitan pemandangan hari kiamat melalui ayat-ayat al-Quran. Kesenian bahasa al-Quran amat tinggi sehingga bangsa Arab yang pertama dahulu mendengarnya berasa takut dan gementar.
Itulah sebenarnya yang perlu kita rasakan dalam jiwa apabila mendengar ayat-ayat al-Quran berkaitan azab dan hari kiamat.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM