“Ikhlaskan niat kamu dan bekerjalah untuk sunnah dan hadis dalam keadaan kamu ikhlas kepada Allah. Wahai Tuhan-ku jika Kamu ajar kepada-ku ilmu nescaya aku akan memberi tunjuk ajar kepada hamba-hamba-Mu dan aku akan menyebarkan agama Nabi Muhammad SAW.
“Wahai muslim, jika ini yang kamu azamkan sudah pasti ilmu kamu akan berkembang. Namun begitu jika kamu niatkan untuk pujian dan menjadi terkenal dalam kalangan manusia dengan ilmu kamu maka ketahuilah kamu akan dihancurkan seumpama belakang kamu dipatahkan. Inilah nasihat ku kepada kamu. Ikhlaskan seluruh kerja mu hanya kerana Allah”.
Mutiara kata tersebut adalah salah satu ucapan al-Allamah Sheikh Muhammad Amin al-Harari al-Syafie. Beliau menguasai banyak bidang ilmu termasuk tafsir di mana kitab tafsir beliau iaitu Hadaiq al-Rauh wa al-Raihan Fi Rawabi Ulum al-Quran adalah 32 jilid.
Sheikh Muhammad al-Amin Harari dilahirkan di daerah al-Harar, Ethiopia pada 1348H bersamaan 1929M.
Beliau membesar di bawah didikan ayahnya kerana ibunya meninggal dunia semasa usianya masih kecil.
Semasa usianya enam tahun, beliau khatam al-Quran dan selepas itu menghafaz al-Quran dan beberapa kitab matan ilmu berkaitan fiqh, tauhid dan lain-lain.
Perjalanan Sheikh al-Harari dalam menimba ilmu adalah dalam tempoh yang panjang dan talaqqi ilmu daripada tokoh-tokoh ulama pada zamannya di Ethiopia.
Seorang daripada gurunya digelar Sibawaih kerana alim dalam bahasa Arab bernama Abu Muhammad al-Sheikh Musa Ibn Muhammad al-Adili.
Melalui gurunya ini, beliau mendalami ilmu fiqh yang dimulai dengan kitab syarah Jalaluddin al-Mahalli kepada Minhaj al-Nawawi.
Gurunya melihat kepintaran beliau dan telah memberi keutamaan untuk beliau mendalami kitab-kitab berkaitan nahu seumpama Matn Jurumiyyah dan beberapa syarahnya, Matn al-Azhariyyah, Matn Mulhatu al-‘Irab, Qatr al-Nada dan Matn al-Fiyyah Ibn Malik dengan beberapa syarahnya.
Selain itu, beliau juga mendalami kitab berkaitan sarf, balaghah, arudh, mantik, hadis dan juga tafsir dengan beberapa guru yang lain.
Kelebihan yang dimiliki dan diamalkan oleh Sheikh al-Harari ialah tidak tidur malam kecuali setelah khatam menghafal atau mengulang matan ilmu yang beliau hafal seperti Mulhat al’Irab, al-Fiyyah Ibn Malik dan lain-lain.
Ini sudah menjadi kebiasaan beliau iaitu kurang waktu tidur sejak masih remaja sehinggalah ke usia tua. Bahkan semasa usianya lanjut, beliau tidur empat jam sahaja kerana waktunya dihabiskan dengan muzakarah ilmu atau menulis.
Kisah talaqqi Sheikh al-Harari dengan tokoh ulama dan kitab yang beliau pelajari amat panjang. Semua gurunya memberi ijazah kepada beliau dan memperakui kealimannya sehinggakan sebahagian gurunya mengizinkan beliau membuat pengajaran di sebelah halaqah gurunya sejak usianya 14 tahun lagi.
Halaqah beliau menjadi perhatian penuntut ilmu. Mendapat sambutan antara 600 hingga 700 pelajar yang mengikuti halaqahnya yang bermula selepas solat Subuh hingga selepas Isyak dengan pelbagai ilmu.
PINDAH KE MEKAH
Pada tahun 1398H/1978M, Sheikh al-Harari berpindah ke Mekah selepas wujud konspirasi untuk menangkapnya disebabkan beliau menubuhkan satu pertubuhan Islam.
Pada malam kejadian, rumah beliau dikepung tetapi atas kehendak Allah, beliau berjaya keluar dengan pertolongan Allah SWT.
Setibanya di Mekah, beliau diterima menjadi guru di Darul al-Hadith al-Khairiyyah bermula pada tahun 1400 Hijrah. Di samping itu, pada malamnya, beliau mengajar di Masjidilharam selama lapan tahun. Kemudian Sheikh al-Harari banyak menggunakan masanya mengarang kitab di mana beliau berjaya hasilkan lebih 40 kitab.
HADAIQ AL-RAUH WA RAIHAN FI RAWABI ULUM AL-QURAN
Cetakan pertama kitab Hadaiq al-Rauh Wa al-Raihan ini diterbitkan pada tahun 1421H/2001M. Tarikh mula tafsir ini ditulis ialah 1406H dan siap ditulis pada 1417H.
Dalam mukadimah, penulisnya menyatakan pujian kepada Allah SWT dan selawat kepada Nabi SAW.
Beliau juga menyatakan bahawa ilmu tafsir adalah ilmu yang teragung kedudukannya, tinggi kemuliaan, tertinggi dalam agama, membina kaedah syarak dan asasnya serta luas perbahasannya.
Setiap kali kamu ingin memasuki pintunya kamu terasa amat kerdil untuk duduk di mihrabnya.
Namun, beliau mahu menyumbang seperti tokoh-tokoh yang hebat dalam ilmu tafsir dan mahu menghirup sisa-sisa minuman mereka walaupun tidak menyamai kehebatan ilmu dengan mereka di medan tafsir.
Ia juga mengikut ucapan ulama dahulu yang menyatakan: “Jika kamu tidak mampu menjadi seperti mereka maka cuba posisikan diri kamu seperti mereka kerana menyerupai orang mulia akan peroleh kejayaan”.
Memetik kata pujangga: “Kamu mahukan aku berkhidmat kepada al-Quran dengan diriku sedangkan al-Quran itu ibarat pemandanganku dan pendengaranku. Aku berkata kepadanya: kitab tafsir yang sudah ada tidak terhitung banyaknya dan apa yang kamu hajatkan tidak terdaya aku lakukan”.
Beliau memperakui tidak layak untuk menulisnya dan bercakap berkaitan tafsir kerana ia memerlukan kepakaran semua ilmu agama sama ada usul atau furu’.
Begitu juga perlu menguasai semua ilmu bahasa arab dan semua ilmu adab serta pecahannya. Di samping itu, beliau juga berfikir panjang terhadap hadis Nabi SAW: “Sesiapa yang bercakap tentang al-Quran dengan tanpa ilmu maka disediakan tempatnya di neraka. Dalam riwayat Tirmizi: “sesiapa berkata dengan pandangannya”.
Namun begitu keazaman beliau amat kuat sehingga pada suatu malam ketika berjaga ada satu suara yang memanggilnya untuk beliau memegang pen dan celupkan dengan dakwat.
“Wahai yang bernama Muhammad al-Amin tidakkah kamu mahu berkhidmat kepada kitab Tuhan-mu ini dengan ilmu yang ada pada kamu?”
Seruan tersebut dijawabnya dengan bersungguh-sungguh sambil memohon pertolongan kepada Allah SWT agar dikurniakan pembukaan dan ilmu. Beliau telah memulakan tafsiran yang sesuai, menaqalkan asbab nuzul, menghurai simpulan ayat dan menerangkan maksudnya.
Tafsir Hadaiq al-Rauh wa al-Raihan hakikatnya adalah satu ensiklopedia tafsir yang dihadiahkan kepada kita. Mengumpulkan tafsir sepanjang zaman dan menjaga segala yang tercicir dalam tafsiran terdahulu.
Rujukan yang amat teliti. Ilmu yang dicatat akan diperolehi pembaca ketika mengkajinya yang sepatutnya perlu dilihat kepada banyak kitab.
Ringkasnya Tafsir Hadaiq al-Rauh Wa al-Raihan adalah sembilan kitab yang dikumpul dalam satu kitab. Kaedah tafsirnya dibahagikan kepada munasabah, asbab nuzul, tafsir, ‘Irab, qiraat, balaghah, tasrif, huraian kalimah dan hukum-hakam.
Selepas memberi sumbangan yang besar kepada dunia Islam, pada 7 Rabiulawal 1441, Sheikh al-Harari meninggal dunia di rumahnya di Mekah dalam usia hampir 90 tahun. Jenazahnya disolatkan di Masjidilharam selepas solat Maghrib dan kemudian dikebumikan di perkuburan Ma’la.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.