Peranan wanita dalam keilmuan Islam - Utusan Malaysia

Peranan wanita dalam keilmuan Islam

Tertera 52 jilid kitab al-Wafa’ bi Asma’ al-Nisa’ iaitu sebuah Ensiklopedia Ulama Hadis Wanita terbesar di dunia yang ditulis oleh seorang ulama iaitu Dr. Akram al-Nadwi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua minggu lalu, penulis berkongsi tentang ahli hadis wanita. Artikel tersebut lebih mencerminkan tentang bagaimana Islam menjunjung tinggi para wanita dalam bidang hadis.

Ia juga bagi menjawab tohmahan golongan yang prejudis dan menyamakan Islam dengan agama lain yang tidak memberi peluang kepada kaum wanita di dalam agama mereka untuk menjadi tokoh agama.

Disebabkan banyaknya permintaan pembaca untuk mengetahui tentang posisi wanita dalam Islam berkaitan dengan ilmu dan apakah batas-batas wanita di dalam Islam berkaitan ilmu, maka dalam penulisan kali ini, penulis cuba menjelaskan peranan wanita dalam keilmuan Islam.

Ia melalui karya magnum opus Dr. Akram al-Nadwi iaitu al-Wafa bi Asma’ al-Nisa’ sebanyak 52 jilid. Penulisan ini memberi perhatian khusus kepada bab yang ke-6 daripada jilid 1 kitab tersebut.

Bagi membahas peranan wanita dalam keilmuan Islam, Dr. Akram al-Nadwi membahagikannya kepada tiga kategori: 1) Pelbagai jenis murid daripada ulama wanita tersebut, 2) Cara-cara meriwayatkan ilmu, 3) Jenis-jenis majlis ilmu ulama wanita.

Menurut Dr. Akram al-Nadwi, sebahagian orang menyangka bahawa wanita hanya meriwayatkan ilmu atau mengajar sesama jantina mereka. Dalam erti tidak boleh bagi wanita mengajar lelaki sama sekali.

Perkara ini adalah jauh daripada kebenaran dan kenyataan yang terjadi. Walhal dalam sejarah Islam ramai lelaki yang menghadiri majlis ilmu yang dipimpin oleh ulama wanita. Perkara ini dapat dibuktikan dengan beberapa fakta yang jelas.

Termasuk daripada fakta sejarah; Saidatina Aisyah Abi Bakar r.a, Umm al-Mu’minin sendiri menjadi guru wanita yang tersohor bagi sahabat lelaki yang lain. Termasuk sahabat-sahabat yang meriwayatkan daripadanya adalah bapanya sendiri iaitu Saidina Abu Bakar, Umar al-Khattab, Abdullah bin Umar, Abu Hurayrah, Abu Musa al-Ash’ari, Abdullah bin Abbas dan lain-lain.

Juga tidak dilupakan Ummahat al-Mu’min (isteri-isteri Nabi Muhammad SAW) yang lain turut menjadi guru para lelaki seperti Umm Salmah, Hafsah, Umm Habibah dan Juwayriyyah.

Mereka semua terkenal dengan ilmu dan budi yang mulia. Bahkan Saidina Ali bin Abi Talib sendiri pernah meriwayatkan ilmu daripada Maimunah binti Sa’ad r.ha. (al-Wafa’: 1/353).

Dalam sejarah Islam, para alim ulama mujtahid yang terkenal juga menuntut ilmu daripada ulama wanita yang solehah.

Imam Abu Hanifah (w. 150H) misalnya mengambil ilmu dari Aisyah binti Ajrad. Imam Malik bin Anas (w. 179H) pernah mengambil ilmu daripada Aisyah binti Sa’ad bin Abi Waqas. Lebih menarik, Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H) juga pernah belajar di bawah bimbingan Umm Umar binti Hassan al-Tsaqafi. (al-Wafa’: 1/356)

Ini semua membuktikan dakwaan lelaki tidak boleh menuntut ilmu di bawah wanita atau sebaliknya adalah salah. Tiada yang menegah pembelajaran di sekolah yang bercampur lelaki dan perempuan dengan syarat menjaga adab-adab seperti aurat dan pergaulan.

Majlis pengajian Dr. Akram al-Nadwi (kanan) bersama Datuk Dr. Afifi al-Akiti di Zawiyah Roseles, Sepanyol tahun 2017 anjuran al-Salam Institute.

Ulama-ulama agung Islam juga tidak pernah menghalang diri mereka untuk membaca hadis misalnya dan ditashih oleh guru-guru wanita yang hebat.

Imam Ibn Jawzi al-Hanbali menceritakan al-Khatib, Ibn al-Mutallib, al-Sam’ani dan lain-lain membaca hadis di hadapan Karimah al-Marwaziyyah kitab Sahih (al-Bukhari). (al-Wafa’: 1/402)
Ini membuktikan banyak ulama lelaki yang mengunjungi ulama wanita dan mengambil ilmu daripada mereka.

Lalu mengapa hari ini ada pandangan wanita tidak boleh mengajar lelaki dan hanya boleh mengajar perempuan? Apa yang menghalang wanita daripada menjadi Ahli Jawatankuasa Fatwa atau Panel Pakar di dalam hukum-hakam Islam?

Bahkan yang lebih menarik, Dr. Akram membuktikan bahawa ulama wanita tidak pernah dihalang mengajar di masjid walaupun di hadapan lelaki yang bukan mahram.

Misalnya Imam al-Burzuli (w. 844H) meriwayatkan beliau mengaji di bawah bimbingan Sarah binti Abd al-Rahman di Masjidilharam, Mekah. Imam Ibn Qayyim, Imam al-Subki dan lain-lain juga pernah mengaji di bawah bimbingan Fatimah binti Ibrahim al-Ba’labaki al-Bata’ihi (w. 711H) di Masjid Nabawi, Madinah.

Ruang dakwah dalam Islam tidak sepatutnya dibataskan peluang hanya kepada kaum lelaki. Justeru ia sepatutnya diusahakan oleh kaum hawa kerana wanita jelas memiliki kelebihan tersendiri di dalam berdakwah yang tidak dimiliki lelaki.

Kelebihan mereka adalah seperti tidak mudah beremosi ketika mengajar; berdedikasi tinggi dalam pendidikan murid bahkan di ambang kewafatan; sabar mendengarkan murid; terbuka untuk berbincang dengan murid dan menyamaratakan satu murid dengan murid yang lain.

Dalam hal ini, Dr. Akram al-Nadwi menyatakan setiap kelebihan ini dengan bukti sejarah seperti yang tercatat dalam ensiklopedia ini.

Justeru kelebihan yang terdapat bagi ulama wanita inilah yang menjadi sebab utama mereka memiliki banyak murid.

Misalnya, Shuhdah binti Abi Nasr Ahmad al-Daynuri (w. 574H) memiliki sekurang-kurangnya 50 murid lelaki. (al-Wafa’: 1/385)

Semoga penulisan ini dapat menjawab tohmahan yang membatasi ulama wanita mengajar secara lebih luas kepada umat Islam dan calon-calon yang akan menggantikan mereka di masa depan.

Dengan Ensiklopedia al-Wafa’ bi Asma’ al-Nisa’ karangan Dr. Akram ini, banyak lagi faedah ilmu tentang kewanitaan yang dapat kita pelajari. Wallahu a’lam bi al-Sawab.

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM & Felo Kehormat IKIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya