Kuasai taranum berkat didikan ibu - Utusan Malaysia

Kuasai taranum berkat didikan ibu

SUHAILAH ZULKIFLY sentiasa berlatih taranum di rumahnya di Taman Pinggiran Pedas, Rembau, Negeri Sembilan. Gambar RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kecil Suhailah Zulkifly, 32, sudah memasang impian untuk berada di pentas tertinggi tilawah al-Quran. Namun empunya diri masih meragui kemampuan kerana baharu setahun jagung belajar ilmu taranum.

Menurut johan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-60 itu, ibunya, Robeah Ahmad mula mengajarnya mengaji seawal usia dua tahun dan sentiasa memperdengarkan bacaan al-Quran melalui kaset.

“Ibu sangat meminati bidang taranum dan berzanji. Dia akan pasang bacaan al-Quran setiap hari bagi membiasakan saya dengan irama dan kemudian saya cuba meniru irama bacaan tersebut.

“Saya kemudiannya menyertai ujian tilawah al-Quran peringkat sekolah semasa berusia 11 tahun. Selepas dinobatkan sebagai johan, saya dipilih pula mewakili daerah, negeri dan kebangsaan,” kata anak sulung daripada empat beradik itu kepada Utusan Malaysia.

Pertandingan tersebut juga menjadi batu loncatan dan membuka mata ramai pihak dengan kebolehan bertaranum anak kelahiran Kampung Londang, Masjid Tanah itu.

SUHAILAH ZULKIFLY

Suhailah mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan sebanyak lima kali pada 2011, 2012, 2015, 2017 dan 2018.

Menurut Suhailah, muncul johan qariah MTHQA pada 2018 adalah kejayaan paling manis bagi dirinya.

Impiannya sejak kecil untuk mewakili negara sudah tertunai, tetapi ia tidak datang dengan mudah.

Guru tahfiz di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail itu mengakui, pernah satu ketika dia hampir berputus asa untuk mempelajari ilmu taranum kerana memerlukan masa yang panjang untuk mahir dengan pelbagai irama.

“Kesukaran menguasai gabungan dua lagu dalam satu ayat contohnya bayati dan jiharkah membuatkan saya malas mahu berlatih.

“Proses ini perlu diulang setiap hari dan paling lama ambil masa sebulan untuk menguasai satu-satu irama.

“Apabila difikirkan balik proses pembelajaran memang sukar dan tiada siapa mampu mahir dalam sekelip mata. Selain itu, nasihat ibu juga dijadikan pegangan untuk bangkit menghadapi setiap cabaran,” jelasnya.

Selepas melakar kejayaan tertinggi, Suhailah kini aktif sebagai jurulatih negeri, mengajar di masjid-masjid dan memenuhi jemputan program televisyen.

Suhailah menjadikan kasih ibu dan pengorbanan ayahnya, Zulkifly Johar sebagai tunjang kekuatan untuk terus berjaya.

Dia juga mengakui, akan bersama ibunya ke mana sahaja pertandingan yang disertai.

“Berbeza dengan ayah, dia jenis gementar dan akan pulang ke rumah selepas menghantar saya ke pertandingan. Tetapi dia tetap memberikan sokongan dengan menonton di televisyen.

“Selain itu, suami juga sangat memahami dan menyokong kerjaya saya. Baru seminggu berkahwin, saya perlu menghadiri kursus kejurulatihan dan selepas itu saya ke Sabah selama dua minggu bagi mengiringi peserta di sana,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Haneefa Shahrom pada Januari tahun lalu.

Lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Open University Malaysia (OUM) ini berkata, dia kini dalam perancangan menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah.

“Saya juga mahu membuka akademi talaqi dan taranum pada masa depan. Buat masa ini, saya sedang menyiapkan modul serta dokumentasi dan apabila dibuka kelak, saya bersama suami akan menguruskannya,” ujarnya.

Suhailah Zulkifly berkongsi minat dengan suami, Haneefa Shahrom dalam pengajian al-Quran di rumah.

Jaga makan, beriadah untuk suara yang sihat

Kelunakan dan kemerduan suara adalah elemen penting bagi seorang qari dan qariah semasa memperdengarkan bacaan al-Quran.

Selain mempengaruhi pemarkahan juri, ia juga mampu menarik perhatian pendengar.

Menurut Suhailah, mengekalkan kelunakan suara bukan suatu tugas yang mudah kerana memerlukan usaha, disiplin serta pengorbanan yang berterusan bagi memastikan ‘aset’ penting tersebut sentiasa pada prestasi terbaik.

Katanya, dia tidak mengambil diet makanan yang pedas, berminyak, bergetah dan berais.

“Disiplin pemakanan sangat penting ketika suara masih dalam proses pembentukan. Saya mula menjaga pemakanan terutamanya yang berais sejak darjah lima sehingga tingkatan dua,” katanya.

Tambah Suhailah, selain menjaga makan, dia turut beriadah bagi meningkatkan stamina suara dan tenaga.

Katanya, aspek pemakanan semasa hari pertandingan turut dititiberatkan seperti makan dua biji telur separuh masak dengan roti putih dan air mineral.

Beliau mengakui sedikit bimbang jika dapat surah-surah pendek dan surah yang terdapat banyak mad iwad pada hujung ayat seperti surah An-Nisa’.

Katanya, ayat yang banyak mad iwad agak sukar untuk diletakkan lagu berbanding mad aridh lissukun kerana perhentian pada setiap ayat tidak dibenarkan mengulang irama yang sama.

“Dari segi giliran pula, saya sebolehnya cuba mengelak menjadi peserta awal. Ini kerana saya akan perhati persembahan peserta lain dahulu, keadaan pentas dan kualiti mikrofon yang digunakan,” jelasnya.

 

BIODATA:
Nama: Suhailah Zulkifly
Tarikh Lahir: 15 Februari 1989
Adik Beradik: Anak sulung daripada empat beradik
Asal: Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka

Tahap Pendidikan
1) Sekolah Rendah:
Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Beringin
2) Sekolah Menengah
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad al-Ehya el-Karim, Tanjung Bidara
3) IPTA/IPTS
• Diploma Tahfiz wal Qiraat, Darul Quran, Jakim
• Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu & Warisan Islam (Quran & Sunnah) kepujian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
• Ijazah Sarjana Pengajian Islam (kepujian), Open University Malaysia (OUM)

Pekerjaan & Jawatan Sekarang:
Guru Tahfiz di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail

Pencapaian
• Johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2018• Johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018
• Johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran Belia 4B Peringkat Kebangsaan 2013
• Ketiga Majlis Tilawah al-Quran Dunia Melayu Dunia Islam Peringkat Antarabangsa 2013

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya