Kita bakal menyambut kedatangan bulan Muharam tidak lama lagi. Semestinya bulan yang mulia ini akan mengingatkan kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari kota Mekah ke kota Madinah.
Sehingga ada orang yang beranggapan bahawa penghijrahan baginda berlaku pada Muharam kerana sambutan hijrah diadakan saban tahun pada Muharam. Ini sebenarnya tidak benar.
Sejarah mencatatkan Nabi SAW mengarahkan para sahabat baginda di Mekah berhijrah ke bumi Madinah. Gesaan meninggalkan kota Mekah berlaku setelah selesai perjanjian al-Aqabah kali yang kedua. Ia berlaku pada malam 12 Zulhijah tahun 13 Kenabian.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya saya telah diperlihatkan (oleh Allah SWT di dalam mimpi saya) akan negeri hijrah anda semua yang mempunyai pohon-pohon kurma yang berada di antara dua kawasan berbatu hitam. (Riwayat Bukhari)
Maka para sahabat Nabi SAW di Mekah mula meninggalkan kota Mekah selepas arahan ini. Dapatlah dibuat kesimpulan bahawa penghijrahan para sahabat berlaku antara pertengahan Zulhijah Tahun 13 Kenabian dengan Rabiulawal tahun 14 Kenabian.
Keizinan Yang Khusus
Sekalipun baginda telah meminta para sahabat untuk berhijrah ke Madinah, baginda sendiri tidak terus berhijrah ke Madinah. Baginda menunggu terlebih dahulu keizinan khusus daripada Allah SWT untuk berhijrah.
Menurut guru kami Fadhilat al-Sheikh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy; “Rasulullah tidak terus berhijrah ke Madinah sebaliknya menunggu keizinan yang khusus daripada Allah kerana baginda tidak mahu mengambil sikap Nabi Yunus bin Matta a.s dalam soal penghijrahan”.
Ini kerana setelah dakwah Islam yang disampaikan oleh Nabi Yunus a.s ditolak dan ditentang oleh kaum baginda, baginda berpandangan tindakan yang terbaik seterusnya adalah meninggalkan kaum baginda dan berhijrah ke tempat baharu. Ia agar dakwah Islam dapat disebarkan kepada kaum yang lain yang mungkin akan menerima agama Islam.
Menurut Dr. Yusri, sekalipun pandangan Nabi Yunus a.s itu adalah pandangan yang baik yang didasari dengan niat yang ikhlas kepada Allah, namun tindakan yang paling baik bagi seorang nabi adalah menunggu keizinan Allah dan bukannya berijtihad.
Lalu Allah meminta Rasulullah SAW tidak berijtihad dalam soal penghijrahan supaya baginda memilih tindakan yang terbaik. Bukan sekadar mengambil tindakan yang bagus semata-mata.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Maka anda (wahai Nabi Muhammad) bersabarlah terhadap ketentuan tuhan anda dan janganlah anda menjadi seperti (orang yang ditelan oleh) ikan (iaitu Nabi Yunus) ketika baginda menyeru (Allah) dalam keadaan baginda ditimpa kesedihan. (al-Qalam: 48)
Akhirnya Allah mengizinkan Nabi SAW berhijrah ke Madinah menerusi ayat ke-48 surah al-Qalam.
Hijrah Nabi SAW
Menurut al-Mubarkafuriyy di dalam kitabnya al-Rohiq al-Makhtum, Rasulullah SAW mula keluar rumah untuk berhijrah ke Madinah pada malam 27 Safar tahun 1 Hijrah iaitu 12 September 622 Masihi.
Baginda pergi ke rumah Saidina Abu Bakar lalu mereka berdua bergerak ke gua al-Thur agar tiba di gua tersebut sebelum terbit fajar 27 Safar.
Menurut al-Samhudiyy di dalam kitabnya Wafa’ al-Wafa Bi Akhbar Dar al-Mustofa, malam Rasulullah SAW dan Abu Bakar bertolak ke gua al-Thur adalah malam Khamis.
Kemudian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar selama tiga malam seterusnya iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad terus berada di gua bersejarah itu sebagai satu taktik supaya para pemuka Quraisy merasai yang mereka sudah kehilangan jejak Rasulullah SAW.
Setelah berada dalam gua, maka pada malam Isnin 1 Rabiulawal tahun 1 Hijrah bersamaan 16 September 622 Masihi, Nabi SAW memulakan perjalanan hijrah dari gua al-Thur ke bumi Madinah.
Menurut Sheikh Musa bin Roshid al-Azimiyy dalam kitabnya al-Lu’lu’ al-Maknun Fi Siroh Al-Nabiyy Al-Ma’mun, Rasulullah SAW keluar dari gua itu pada akhir malam Isnin sebelum waktu subuh.
Menurut al-Mubarkafuriyy, Nabi SAW tiba di perkampungan Quba’ pada siang Isnin 8 Rabiulawal tahun 1 Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi. Baginda berada di Quba’ sehingga pagi Jumaat 12 Rabiulawal Tahun 1 Hijrah bersamaan 27 September 622 Masihi.
Pada siang Jumaat tersebut, baginda bergerak ke lokasi perkampungan Bani al-Najjar yang pada hari ini terletaknya Masjid Nabawi.
Idea Kalendar Islam
Sekalipun orang Arab mengetahui nama-nama bagi 12 bulan dalam setahun, mereka tidak mempunyai satu takwim yang khusus dalam merekodkan tarikh sesuatu peristiwa yang penting.
Mereka menyandarkan tarikh kepada peristiwa-peristiwa agung yang berlaku. Sebagai contoh, apabila tentera bergajah diketuai oleh Abrahah dimusnahkan oleh Allah SWT, maka sebarang peristiwa yang berlaku pada tahun itu disandarkan kepada Tahun Gajah.
Contohnya, kelahiran Nabi SAW dicatatkan berlaku pada Rabiulawal Tahun Gajah. Jika ada peristiwa lain yang berlaku selepas setahun peristiwa kekalahan tentera bergajah, mereka akan menyatakan pula: “Peristiwa begian telah berlaku pada bulan Rejab Tahun 2 Gajah”.
Apabila berlaku pula peristiwa besar yang lain seperti perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir, maka tahun itu dinamakan pula sebagai Tahun 1 Kenabian.
Lalu kita akhirnya telah menemui catatan peristiwa perjanjian al-Aqabah Kali Kedua contohnya berlaku pada malam 12 Zulhijah tahun 13 Kenabian.
Al-Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya Al-Bidayah Wa Al-Nihayah menyatakan Saidina Umar ketika menjadi Khalifah menerima satu dokumen yang mencatatkan bahawa si penghutang hendaklah membayar hutangnya pada bulan Syaaban.
Lalu Saidina Umar bertanya: “Syaaban yang mana satu? Syaaban pada tahun ini yang kita sedang berada di dalamnya atau Syaaban pada tahun yang lepas atau Syaaban tahun yang akan datang”?
Lalu beliau memanggil para sahabat Rasulullah SAW untuk sama-sama membincangkan mengenai pengasasan tarikh yang akan menyebabkan segala hutang-piutang dapat diketahui waktu pembayarannya secara jelas.
Setelah berbincang panjang dan meneliti pelbagai pandangan, para sahabat akhirnya sependapat menjadikan tahun berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai tahun pertama dalam takwim Islam. Sekalipun Rasulullah SAW telah berhijrah bermula pada 27 Safar tahun 13 Kenabian.
Para sahabat dalam perbincangan tersebut sepakat menjadikan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam takwim Islam.
Maka daripada sinilah bermulanya perayaan sambutan Hijrah pada setiap kali tibanya Muharam.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.