UTeM komited lahirkan graduan tekno hufaz holistik - Utusan Malaysia

UTeM komited lahirkan graduan tekno hufaz holistik

PARA pelajar menjalani sesi pemilihan penyertaan program pensijilan tahfiz. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HENDAK seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Itu peribahasa tepat untuk menggambarkan kesungguhan para pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang mengikuti program Pensijilan Tahfiz UTeM – Darul Quran Jakim.

Pengambilan pertama melibatkan 18 pelajar perintis pada semester satu sesi 2016/2017.

Pelajar yang dipilih perlu melepasi syarat-syarat ditetapkan seperti boleh membaca al-Quran dengan baik berdasarkan hukum tajwid, boleh menulis jawi, menghafal satu muka surat al-Quran dalam tempoh satu jam serta mempunyai minat yang tinggi dan penampilan yang baik.

Sehingga kini, dua kumpulan (kohort) pelajar telah menamatkan pengajian dan seramai 12 pelajar berjaya mendapatkan Sijil Khatam al-Quran daripada Darul Quran Jakim.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah program, Dr. Radzuan Nordin berkata, program bertujuan melahirkan tekno hafiz yang holistik iaitu berkemahiran dalam bidang teknikal dan pada masa sama, seorang penghafaz al-Quran yang mampu membentuk peribadi insan cemerlang.

DR. RADZUAN NORDIN

Katanya, UTeM menjalin kerjasama dengan Darul Quran kerana institusi itu mempunyai modul dan rekod kejayaan cemerlang dalam melahirkan ramai hafiz al-Quran.

“Tenaga pengajar pula melibatkan dua kumpulan iaitu pengajar al-Quran oleh pihak luar yang mempunyai kelayakan yang diiktiraf Darul Quran Jakim sementara pensyarah UTeM akan mengajar subjek akademik seperti tajwid, adab, ibadah, akidah dan tafsir al-Quran.

“Pelajar dinilai setiap semester berdasarkan markah yang diperoleh dan peperiksaan akhir. Penaziran daripada pihak Darul Quran dijalankan pada minggu ke-14 setiap semester bagi melihat prestasi pelajar berkaitan rekod hafalan sebanyak lima juzuk setiap semester.

“Selain itu, kehadiran pelajar turut dinilai sama ada mereka layak menduduki peperiksaan akhir. Mereka perlu lulus peperiksaan akhir setiap semester untuk melayakkan mendapat Sijil Khatam al-Quran,” katanya.

Melahirkan hafiz yang cemerlang bukan sekadar melibatkan kualiti tenaga pengajar, malah perancangan jadual pengajian juga perlu efektif dan sistematik supaya tidak bertindih dengan jadual akademik perdana.

Pelajar akan memulakan hafalan seawal 6.30 hingga 8.30 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

Selepas waktu itu sehingga pukul 5 petang, mereka akan mengikuti sesi pembelajaran akademik perdana.

Subjek akademik tahfiz dijalankan setiap Selasa dan Khamis bermula pukul 5 hingga 7 petang.

UTeM akan menawarkan program Pensijilan Tahfiz UTeM – Darul Quran Jakim kepada pelajar peringkat diploma bermula September tahun depan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar menyertai program berkenaan.

Program tahfiz itu menjadi antara faktor daya penarik kepada pelajar untuk memilih UTeM sebagai lokasi menyambung pengajian.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutamanya yang telah menghafal al-Quran dan ingin meneruskan hafazan di peringkat diploma boleh menjadikan UTeM sebagai institusi pengajian pilihan.

Tekun, disiplin, fokus kunci kejayaan hafiz UTeM

Menghafal surah-surah lazim (pendek) semasa kecil sudah menjadi kebiasaan masyarakat di Malaysia. Namun untuk menjadi seorang hafiz al-Quran, ia memerlukan ketekunan, disiplin dan fokus yang berterusan.

Bagi lepasan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Wafa’ Idris, 25, yang juga pelajar kohort kedua program Pensijilan Tahfiz UTeM-Darul Quran Jakim, dia berdepan kesukaran pada peringkat awal yang mana untuk menghafal satu muka surat sahaja mengambil masa sehingga seminggu.

WAFA’ IDRIS

Dengan tekad yang kuat untuk bergelar hafiz, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) itu kemudiannya mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam tempoh yang singkat.

“Paling cepat adalah 15 minit. Bagi saya, perkara yang paling mencabar adalah untuk mengekalkan hafalan tersebut.

“Saya akan bangun sebelum Subuh untuk tahajud dan mengulang hafalan. Selain itu, hubungan sesama manusia harus dijaga supaya hati sentiasa tenang dan mengamalkan pemakanan seimbang seperti kacang cerdik (pistachio) dan gajus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Program tahfiz yang ditawarkan di UTeM menarik minatnya untuk menyambung pengajian di situ, selain mahu memantapkan lagi hafalan al-Quran semasa di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah di Kelantan.

Katanya, pembahagian masa sangat penting selepas bergelar mahasiswa kerana komitmen pembelajaran memerlukan dia melakukan ‘dua kerja’ pada masa yang sama.

“Pada hari biasa, waktu Subuh dan Maghrib adalah untuk al-Quran dan selain itu, saya gunakan untuk menyiapkan projek, tugasan, aktiviti kelab dan lain-lain.

“Pada hari cuti, saya mengambil masa 30 minit selepas setiap solat fardu untuk bersama al-Quran,” katanya yang kini bekerja sebagai pembangun laman sesawang dan guru tuisyen di sebuah syarikat swasta.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Hafizuddin Mansor, 23, berkata, pada peringkat awal keluarganya menyuarakan kebimbangan dia berdepan kesukaran memberi tumpuan antara pengajian tahfiz dan akademik utama.

MUHAMMAD HAFIZUDDIN MANSOR

“Kerisauan tetap ada walaupun keluarga gembira dan menyokong penuh dengan hasrat saya untuk mengambil sijil tahfiz.

“Bagaimanapun, kebimbangan ini dapat diatasi berkat doa dan sokongan padu yang diterima daripada semua pihak termasuk tenaga pengajar.

“Sijil tahfiz ini sebenarnya memberikan nilai tambah selepas saya menamatkan pengajian kelak dengan aplikasinya mampu memberi manfaat dan membantu sesama masyarakat,” kata pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya