Hati teringin hendak makan mee tetapi, stok mee tidak ada di rumah. Jangan risau. Kalau di rumah anda ada tepung gandum, garam halus dan serbuk kunyit, pun dah boleh.
Jika mahu jadikan sebagai simpanan stok, boleh juga simpan mee itu di dalam peti sejuk. Tetapi sebelum disimpan pastikan menggunakan teknik mee ditabur atau digaul dengan sedikit tepung. Ini bagi mengelakkan tepung melekat antara satu sama lain.
Kemudian rapikan mee dan simpan di dalam bekas sebelum meletakkannya di dalam peti sejuk.
Pengguna, Zurina Zulkefli berkongsi cara membuat mee dengan cara mudah dan cepat. Katanya, tidak sukar membuat mee ini kerana bahan-bahan yang diperlukan sudah pasti ada di setiap dapur rumah kita.
Disebabkan mee ini tidak menggunakan bahan pengawet, Zurina menyarankan agar mee ini diguna dalam masa empat hari sahaja.
Resipi Mee
(Anggaran untuk dua orang makan )
Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum – diayak terlebih dahulu
Secubit garam halus
Secubit serbuk kunyit
Air ikut citarasa sendiri
Cara membuat mee:
1-Campurkan tepung gandum, garam dan kunyit.
2-Ambil air dan tuangkan ke dalam bancuhan ini sedikit demi sedikit sehingga tepung yang diuli menjadi doh.
3-Setelah menjadi doh, rehatkan doh selama 10 minit.
4-Selepas 10 minit, ambil doh dan leperkan menggunakan mesin pembuat mee manual banyak kali sehingga doh betul-betul sebati dan nipis. Kalau tidak ada mesin boleh leper dan canaikan doh mengguna kayu penggelek tepung.
5-Ambil doh yang telah dileperkan dan potong menggunakan mesin. Kalau tiada mesin untuk memotong, boleh juga potong guna pisau. Potong mee secara memanjang.
6-Mee yang telah siap ini kemudiannya boleh direbus selama enam minit. Setelah siap direbus, angkat mee dan tos seketika sebelum direndam semula ke dalam air sejuk. Ini untuk mengekalkan tekstur kekenyalan mee. Angkat dan toskan mee sebelum digunakan.
7-Mee ini boleh digunakan dalam pelbagai resipi mee pilihan anda.
Nota : Jika mahu mendapatkan mee yang lebih kenyal, rehatkan doh di dalam peti sejuk selama 10 minit.
Sup sayur
Bahan-bahan:
2 ulas bawang putih – diketuk
Air – mengikut citarasa sendiri
Sedikit serbuk stok ayam
Garam secukup rasa
1 sudu makan minyak – untuk menumis
Sawi Jepun
Lobak merah
Cara membuat kuah sup:
1- Tumis bawang putih dan kemudian masukkan air.
2- Selepas itu masukkan sedikit serbuk serbuk stok ayam dan sedikit garam halus. Biarkan sup ini mendidih.
3- Masukkan pula sawi Jepun dan lobak merah. Biarkan seketika agar sawi Jepun dan lobak merah agak lembut sebelum menuangkan sup ini ke dalam mangkuk berisi mee.
Terima kasih : Zurina Zulkefli
Facebook: Zurina Zulkefli / https://www.facebook.com/zurina.zulkefli