Perayaan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji berkaitan dengan ibadah korban dan haji dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia.
Jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Korban sedikit berbeza iaitu dengan disyariatkan amal ibadah korban walaupun cara solat hari rayanya adalah sama.
Umat Islam digalakkan melakukan ibadah korban seperti perintah Allah dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).leh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al-Kautsar 1-2)
Rasulullah SAW melakukan ibadah korban sebagai memenuhi perintah Allah SWT dengan 100 ekor unta semasa haji wada’.
Baginda turut menyeru umatnya tidak meninggalkan ibadah korban. Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang mempunyai kemampuan sedangkan dia tidak melakukan ibadat korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami. (Riwayat Ibnu Majah).
Dalam hadis ini nampak ketegasan melakukan ibadah korban sehingga dilarang mendekati tempat solat bagi mereka yang tidak berkorban walaupun ia mampu. Seolah-olah tidak dikehendaki kehadirannya di tempat solat.
Pasti ada satu pesanan sangat penting di dalamnya. Pesanan itu adalah sikap solidariti antara yang kaya dan miskin, antara yang berkemampuan dan yang tidak.
Tempat solat adalah tempat berkumpul dan pertemuan masyarakat. Mereka saling mengenali satu dengan yang lain sesama yang kaya dan yang miskin.
Apabila orang kaya tidak melakukan ibadah korban, lalu ia datang ke tempat solat bertemu orang miskin, maka orang miskin akan rasa terkilan kerana tidak dapat menikmati daging korban yang hanya dilakukan oleh orang yang berkemampuan.
Oleh kerana itu. Islam mengajar agar umatnya saling membantu satu dengan yang lain dan menjaga perasaan sesama mereka. Sabda Rasulullah SAW: Tidaklah sempurna iman seseorang yang kenyang perutnya sementara jirannya kelaparan. (Adab Mufrad)
Hari Raya korban akan tiba tidak lama lagi. Kita semua pasti pernah mendengar sejarah kisah Nabi Ibrahim a.s dan anak sulungnya, Nabi Ismail a.s.
Pengorbanan Nabi Ibrahim adalah pengorbanan yang amat besar. Sebabnya, Nabi Ibrahim telah menunggu lama untuk mempunyai seorang anak. Namun Nabi Ibrahim masih terus berusaha dan tidak putus-putus berdoa kepada Allah.
Ia dirakam menerusi friman Allah SWT: Ya Tuhanku, Engkau anugerahkanlah kepada aku (seorang anak) yang tergolong daripada orang-orang soleh, Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. (as-Saffat: 100-101)
Dalam catatan sejarah, Nabi Ibrahim berusia 86 tahun pada saat berdoa. Pada usia itu adalah mustahil untuk mendapatkan keturunan tetapi doa Nabi Ibrahim didengar dan dimakbulkan oleh Allah.
Hikmah di sebalik doa baginda ialah agar tidak memandang remeh pada kekuatan doa. Juga agar tidak berputus asa saat berdoa walaupun memakan waktu yang lama, di samping berharap dan berserah kepada Allah SWT untuk menentukan yang terbaik bagi kita.
MOHON ZURIAT
Baginda yang sangat mengimpikan mendapat keturunan, tidak hanya memohon keturunan melainkan keturunan yang baik. Ini kerana keturunan yang baik akan membawa kebaikan bagi seluruh keluarga itu.
Sebaliknya keturunan yang tidak baik akan menjadi kesengsaraan bagi seluruh keluarga. Firman Allah SWT: Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (al-Furqan: 74)
Allah kabulkan doa Nabi Ibrahim a.s lalu dianugerahkan seorang anak yang sangat penyabar, iaitu merujuk kepada kesabaranya dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
Ini terbukti ketika ayahnya hendak menyembelihnya sebagai mentaati perintah Allah, maka Ismail pun sehaluan dengan ayahnya dalam mentaati perintah Allah dan tidak membantah.
Nabi Ismail a.s berkata: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. (as-Saaffat: 102)
Sabar itu terbahagi kepada tiga bahagian: sabar berbuat taat, sabar meninggalkan maksiat dan sabar dalam musibah.
Sudah semestinya ini suatu dugaan yang sangat berat dihadapi oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail juga Siti Hajar yang juga reda dan ikhlas melaksanakan perintah Allah SWT.
Oleh yang demikian, ibadah korban mengajar kita erti reda dan taat melaksanakan perintah Allah SWT serta ikhlas dalam beribadah yang akan menjadikan kita sebagai mukmin sejati.
Dengan itu disyariatkan ibadah korban pada setiap Hari Raya Aidiladha bagi mengingati nilai pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya.
Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban). (Riwayat al-Tirmidzi).
- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah