KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Alvin Chong, meluahkan rasa panik apabila dia menerima notifikasi bil elektrik dan dakwanya pendapatan tidak banyak meskipun terpaksa melunaskan komitmen lain.
“Pendapatan tak banyak tapi tetap kena bayar hutang-hutang, KWSP, dan cukai pendapatan. Saya lebih panik apabila menerima notifikasi dari Tenaga Nasional Berhad fasal bil terkini. Oh tuhan katakanlah ini hanya mimpi ngeri.
“Saya berusaha sedaya upaya untuk kekal positif dalam fasa norma baharu ini. Bayangkan mereka yang berkeluarga bagaimana?,” luah Alvin di akaun Twitter miliknya baru-baru ini.
Menerusi ciapan TNB itu, pihak syarikat telah berhubung terus menerusi ciapan tersebut, meminta Alvin untuk menghubungi mereka.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia di ruangan komen mendapati beberapa pelayar Twitter meninggalkan komen kata-kata semangat untuknya kekal positif dan dapatkan bantuan daripada kawan-kawan serta keluarga terdekat.
Sementara itu, dalam ciapan berlainan, Alvin turut menyentuh soal kempen kibar bendera putih.
“Kempen itu bukan tanda kita lemah. Kalau anda perlukan bantuan untuk meneruskan hidup, jangan malu dan kibarkan saja,” katanya.