Kebumi jenazah Covid-19 pengalaman baharu CTKI - Utusan Malaysia

Kebumi jenazah Covid-19 pengalaman baharu CTKI

Crew Tanah Kubur Ijok lengkap dengan PPE sebagai persiapan mengurus jenazah mangsa Covid-19. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 menjadi penyakit yang amat menggerunkan di negara ini sejak dua tahun lalu disebabkan jumlah kematian mencecah empat angka.

Jumlah kes Covid-19 juga kini mencecah tujuh angka di seluruh negara.

Setiap urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 sebelum ini dikendali kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Namun ekoran peningkatan kes kematian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menghulurkan bantuan untuk melaksanakan fardu kifayah tersebut.

Sebuah NGO di Kuala Selangor, Crew Tanah Kubur Ijok (CTKI) mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan urusan ‘perjalanan’ terakhir melibatkan lebih 10 jenazah sejak pertengahan Julai tahun ini.

Menurut Pengerusi CTKI, Mad Isa Adnan, 64, tanggungjawab menyempurnakan jenazah pesakit Covid-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga bagi NGO tersebut.

“Prosedur pengebumian, waris, wakil keluarga, pihak kariah surau, masjid akan menghubungi saya untuk memaklumkan ada jenazah akan dikebumikan pada waktu yang ditetapkan.

MAD ISA ADNAN

“Apabila semua maklumat diperoleh, saya akan mengumpulkan anggota CTKI untuk urusan menggali kubur. Alhamdulillah biasanya tujuh atau lapan orang akan hadir di kawasan Tanah Perkuburan Ijok di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mad Isa berkata, apabila ada permintaan pihak CTKI menguruskan jenazah pesakit Covid-19, pada awalnya mereka bimbang dijangkiti virus tersebut.

Namun setelah diberi taklimat oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) jelasnya, anak-anak buahnya bersetuju untuk melunaskan tanggungjawab mengebumikan jenazah pesakit Covid-19.

“Setakat ini lebih 10 jenazah pesakit Covid-19 pihak CTKI uruskan. Kesemuanya dari kawasan Ijok. Ada juga jenazah pesakit asal dari luar kariah yang tinggal di sini kita tetap melaksanakan fardu kifayah untuk segera dikebumikan,” katanya.

Mad Isa berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan kawasan perkuburan sentiasa bersih dan terjaga bagi memastikan ‘penduduk’ tetap disemadikan dengan sistematik.

PKD pantau proses kebumi

Sementara itu, Timbalan Pengerusi CTKI, Saiful Nazrin Rahmat, 44, berkata, pengalaman menguruskan jenazah pesakit Covid-19 sungguh berharga dan akan terpahat sepanjang hayatnya.

“Jika sebelum ini urusan pengebumian jenazah, ahli CTKI hanya memakai baju T dan berseluar panjang. Namun untuk jenazah pesakit Covid-19 pakaian khas perlu dipakai.

“Kami perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE), sarung tangan, pelindung muka dan lain-lain,” katanya.

SAIFUL NAZRIN RAHMAT

Saiful Nazrin berkata, sebelum ini dia hanya melihat petugas KKM memakai set lengkap pakaian perlindungan tersebut, namun setelah dia sendiri memakainya rasa insaf timbul dalam dirinya.

Katanya, untuk menguruskan jenazah pesakit Covid-19 segala SOP dari proses sanitasi hingga memakai PPE melibatkan anggota CTKI perlu diselia oleh pihak PKD.

“Bila saya dan ahli CTKI memakai PPE yang panas sepanjang urusan pengebumian barulah kita tahu cabaran sebenar petugas barisan hadapan. Cukup menginsafkan namun tugas ini harus dilakukan dengan sesempurna mungkin.

“Kes kematian semakin meningkat akibat pandemik ini.Sebagai ahli NGO saya membantu sebagai sebahagian fardu kifayah sesama saudara seislam,”katanya.

Bagi anggota CTKI, Borhan Kamuri, 63, dia sentiasa mematuhi SOP bagi memastikan tidak terkena jangkitan semasa menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

Borhan berkata, tugas menguruskan jenazah wajib dilakukan dengan ikhlas tidak mengira jenazah pesakit biasa atau pesakit Covid-19.

“Kita semua akan meninggalkan dunia ini. Maka sewajarnya kita menguruskan arwah dengan sempurna dari mula hingga akhir.

“Pengalaman memakai PPE membuatkan kita menghargai pengorbanan barisan hadapan yang masih bertungkus-lumus merawat pesakit Covid-19,”katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan perkuburan tersebut bukan sahaja bersih malahan tersusun untuk diziarahi para waris.

Crew Tanah Kubur Ijok menguruskan pengebumian jenazah mangsa Covid-19 mengikut SOP yang ditetapkan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya