KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara serba boleh, Ifa Raziah terkilan dengan segelintir pihak yang melemparkan tuduhan tidak benar mengenai isu memilih suntikan vaksin sehingga tular baru-baru ini.
Dia kecewa apabila ada pihak yang menyifatkan dirinya ‘mengada-ngada’ kerana enggan menerima suntikan vaksin selain Pfizer BioNtech, walhal, tidak mengetahui cerita di sebalik alasan tersebut.
“Ketika hadir janji temu untuk mendapatkan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), saya diminta untuk memberitahu tentang kesihatan saya dan jenis ubatan yang saya ambil.
“Setelah itu, mereka menyarankan saya untuk bertemu doktor yang bertugas di PPV itu pada ketika itu untuk khidmat nasihat yang lebih mendalam sebelum mengambil suntikan. Selepas meneliti keadaan saya, doktor berkenaan menasihatkan agar hanya mengambil suntikan vaksin Pfizer bagi mengelakkan alahan teruk.
“Disebabkan saya dijadualkan untuk menerima suntikan Sinovac, saya memohon jika mereka dapat memindahkan ke bahagian yang memberikan suntikan Pfizer pada hari itu. Namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi dan mereka telah memberikan saya janji temu lain untuk vaksin Pfizer,” katanya yang kecewa dengan netizen yang menuduh tanpa mengetahui cerita sebenar.
Ifa berkata, dia sedih apabila dituduh mengada-ngada dan dikategorikan sebagai ‘kayangan’ hanya kerana isu tersebut.
“Saya kecewa apabila tindakan saya yang berkongsi perkara ini untuk tujuan memberi kesedaran disalah ertikan ramai pihak.
“Mereka sesuka hati berkata yang bukan-bukan. Perkara ini mudah, kalau anda ambil positif, positif lah ia dan begitu sebaliknya.
“Saya tak boleh puaskan hati semua orang, tak boleh nak buat mereka suka pada saya.
“Jadi kita hadap sahajalah tuduhan dan kecaman mereka,” katanya jujur.
Tambah pelakon ini, dia amat menghargai kerjasama petugas kesihatan ketika dia hadir temu janji di PPV MITEC dan berterima kasih atas bantuan yang banyak memudahkan proses pada hari berkenaan.
“Saya ingin berterima kasih atas layanan baik dan kerjasama yang mereka berikan. Alhamdulillah mereka telah memberikan janji temu yang baharu dan saya hanya perlu menunggu pada tarikh yang ditetapkan.
“Pada yang akan mengambil suntikan vaksin diharapkan anda dapat berlaku jujur dan memberitahu dengan jelas kondisi kesihatan anda agar petugas kesihatan dan doktor yang betugas maklum dan dapat memberikan saranan yang bersesuaian untuk diri anda.
“Sebenarnya dengan berkongsi pengalaman itu, saya harapkan dapat membantu orang ramai membuat persiapan sebelum hadir mendapatkan suntikan vaksin.
“Tapi malangnya kecaman dan tuduhan-tuduhan palsu pula yang saya terima,” ujarnya. – UTUSAN